UMNO Teluk Belanga's Fan Box

UMNO Teluk Belanga on Facebook

Followers

Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan....... Dato' Seri Najib Tun Abd Razak (PERDANA MENTERI MALAYSIA)

Tuesday, July 20, 2010

Pertahankan hak Melayu


PERJALANAN orang Melayu untuk mewujudkan sebuah negara yang berpandukan perlembagaan bukan saja amat sukar, berliku-liku serta penuh onak dan duri, bahkan sebenarnya orang Melayu mengalaminya dengan amat dahsyat sekali.

Sungguhpun orang Melayu tidak mandi darah ketika perlembagaan diwujudkan, namun ia sukar untuk memberi jaminan sengketa antara kaum tidak akan berlaku pada masa akan datang. Peristiwa 13 Mei 1969 tercetus kerana orang bukan Melayu tidak memahami asas-asas pembentukan negara.

Pertama sekali, orang Melayu tidak menerima penjajah British dengan mudah. Sejarah penjajahan di Tanah Melayu ditentang oleh orang Melayu sejak dari zaman Melaka ketika dijajah oleh Portugis, Belanda, British, Jepun, Siam dan kembali kepada British.

Penentangan Datuk Maharajalela di Pasir Salak, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Haji Mat Hasan Tok Janggut di Kelantan, tentangan Haji Abdul Rahman Limbong dan lain-lain perjuangan Melayu yang berlaku antara kurun ke-19 dan kurun ke-20 menunjukkan dengan jelas orang Melayu tidak suka kepada orang asing, apatah lagi orang asing yang bernama penjajah dan kaum imigran.

Pada kurun ke-19, orang Melayu sebenarnya telah menentang kemasukan imigran Cina dan India ke Tanah Melayu. Beberapa orang wakil Melayu yang menduduki kerusi Dewan Mesyuarat Kerajaan telah mengambil peluang untuk mengkritik dan menentang kemasukan buruh-buruh asing dalam sektor perlombongan, pertanian, dan perkapalan.

Namun oleh kerana orang Melayu tidak mempunyai taring dan kekuatan, hanya gigi dan lidah, maka kemasukan orang Cina dan India ke Tanah Melayu terus bermaharajalela. Keadaan ini berlaku sehingga menjelang Perang Dunia Kedua sampailah kepada penyerahan kerakyatan kepada orang bukan Melayu oleh pemimpin-pemimpin Melayu pada masa itu.

Oleh kerana orang Melayu tersangat lemah, tidak bersatu dan terlalu taksub dan taat kepada Raja di negeri-negeri, maka pada ketika itu komunis yang mewakili Parti Komunis Malaya (PKM) mengambil peluang untuk menubuhkan kerajaan Republik Komunis Malaya.

Taksub kepada puak rugikan Melayu......


Politik sempit ini membawa lebih banyak keburukan jika dibandingkan dengan kebaikan. Sesama Melayu dan Islam bercakaran kerana ingin menegakkan benang basah, akhirnya membawa kepada perpecahan begitu serius dan merugikan kedua-dua pihak.

Mungkin orang Melayu dan umat Islam sudah sedar bahawa pertelingkahan berpanjangan antara kedua parti terbesar ini banyak membawa kerugian dan menguntungkan pihak ketiga, maka terdengar suara-suara kecil terutama daripada rakyat bawahan menyimpan impian untuk melihat UMNO dan PAS bersatu.

Apatah lagi hari ini perpecahan dalam kalangan orang Melayu semakin serius dan mempunyai tiga mazhab politik, bagaimanapun usaha untuk menyatukan UMNO dan PAS sehingga kini dilihat masih gagal walaupun UMNO sudah membuka pintu yang luas kepada PAS untuk duduk semeja.

Malah Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan, sendiri mengakui bahawa pertelingkahan politik antara UMNO dan PAS merugikan orang Melayu serta umat Islam di negara ini, selain mengakibatkan agenda pembangunan negara juga terbengkalai.
Bagi Nasruddin, UMNO dan PAS perlu mempunyai pelan damai bagi menghentikan persengketaan itu apatah lagi umat Islam diajar supaya bersatu dengan tali Allah dan bangsa Melayu tidak akan maju dan hebat jika asyik bercakaran, selain banyak masa hilang begitu saja tanpa membawa manfaat kepada umat Islam kerana persengketaan itu.

“Ahli UMNO rata-ratanya Melayu dan beragama Islam, demikian juga ahli PAS berbangsa Melayu dan beragama Islam. Malah seorang ahli UMNO pasti saja memiliki ahli keluarganya yang menjadi ahli PAS. Demikian sebaliknya, ahli PAS juga mempunyai ahli keluarganya daripada kalangan UMNO.

“Persoalannya sampai bila Melayu UMNO dan PAS ini mahu bertelagah sehingga menjejaskan keharmonian berkeluarga. Saya kira UMNO dan PAS perlu ada pelan damai untuk menamatkan persengketaan yang panjang ini. Kebanyakan kita umat Melayu tentu sudah berasa bosan dengan pertelagahan ini.

“Kita juga tidak mempunyai banyak masa untuk menjayakan pelan damai yang saya cadangkan ini, semua pihak mesti berlapang dada. Korbankan perasaan dan kemahuan untuk bertolak ansur mencari noktah damai atau gencatan senjata laksana Aus dan Khazraj,” katanya mengulas soal perpaduan Melayu melalui laman blog peribadinya.

Walaupun sudah ada pihak yang sanggup menjadi orang tengah bagi mendamaikan pertelingkahan berlanjutan PAS-UMNO, namun masih ada suara sumbang mempertikaikan hasrat murni berkenaan. Apakah mereka ini adalah golongan tidak mahu melihat penyatuan yang menguntungkan umat Islam dan orang Melayu.

Masih ramai suara sumbang pemimpin PAS yang menentang usaha parti itu untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO, Mengapa masih ada dalang sebegini dalam parti yang dikatakan mendaulatkan Islam. Mengapa begitu marah terhadap penyatuan Melayu, sedangkan pihak menentangnya juga adalah orang Melayu.

Salahkah jika PAS dan UMNO mengambil masa seketika untuk duduk semeja berbincang mengenai masalah yang melanda orang Melayu di negara ini, selain mencari kebaikan dan menutup segala persengketaan lama.

Cukuplah berpolitik dengan cara yang merugikan orang Melayu, jangan biarkan kaum majoriti ini terhimpit dan menjadi minoriti kerana perpecahan disebabkan oleh kepentingan politik pihak tertentu. PAS yang mendukung Islam rasanya lebih arif mengenai Islam dan Nabi Muhammad SAW sendiri sentiasa mementingkan perpaduan umatnya.

Kembalilah kepada landasan Allah dalam membuat perkiraan, jangan pula emosi dan kepentingan politik melebihi kewarasan akal, contohilah sifat pemaaf dan keterbukaan junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang sanggup berbuat baik dengan Yahudi yang menentangnya.

Inikan pula PAS dengan UMNO, sama-sama Islam yang memerlukan pertimbangan untuk mengadakan perbincangan secara bersama. Kepada pemimpin PAS jangan pula kerana kepentingan politik, ulama disanggah kerana tidak memihak kepada parti itu. Fikirkan seketika kepentingan Melayu dan agama Islam di negara ini.

Buang syak wasangka demi pembangunan ummah


KETIKA isu perpaduan Melayu antara UMNO dan Pas mencetuskan polemik perbincangan, kebanyakan kita melihatnya dari sudut politik - survival dan kekuasaan politik orang Melayu sahaja.

Bagaimanapun sebenarnya ada perkara lagi besar yang seakan-akan tertinggal iaitu perpaduan ummah Islam. Isu perpaduan ini sewajarnya tidak terbatas kepada perbincangan perpaduan Melayu UMNO-Pas atau pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu sahaja.

Ia sebaliknya perlu merangkumi perkara yang lebih besar iaitu perpaduan ummah yang menjadi paksi kekuatan Islam. Tanpa mengenepikan perpaduan Melayu dari sudut politik Melayu, perpaduan ummah Islam di negara ini mampu memberi kesan yang lebih besar dalam segala bidang kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Justeru tidak hairanlah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuannya dengan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam menekankan bahawa perpaduan dan kesepaduan umat Islam perlu merentasi batas politik. Dalam keadaan Islam diserang bertubi-tubi dari segala sudut dan dalam pelbagai bentuk, perpaduan dan ukhuwah di kalangan ummahnya adalah perisai terbaik.

Lebih besar daripada itu, ia bakal menjadi penyelesaian kepada pelbagai masalah dan isu yang sedang dihadapi oleh umat Islam di negara ini antaranya berkaitan pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan. Sebagai contoh gejala keruntuhan akhlak di kalangan generasi muda Islam sangat hebat. Ia merebak bagai api yang sedang marak dan seolah-olah tidak boleh dihalang lagi.

Kesannya sangat besar. Hampir setiap hari kita mendengar cerita-cerita yang sebahagian besarnya sangat menyayat hati dan meruntun perasaan. Gejala kelahiran anak luar nikah, pembuangan bayi atau penemuan mayat bayi dan janin sempurna sifat sudah menjadi cerita biasa akhir-akhir ini. Walaupun pelbagai kempen kesedaran dilaksanakan, statistiknya tidak pernah menurun.

Pada masa yang sama juga, pembangunan ekonomi orang-orang Islam masih berada pada tahap statik walaupun menjadi golongan majoriti di negara ini. Perkara yang sama juga berulang dalam bidang pendidikan yang mana sebahagian besar daripada umat Islam masih ketinggalan manakala sebahagiannya pula tercicir terus.

Di sinilah perlu pentingnya satu kesepaduan kukuh umat Islam di negara ini. Barangkali ia kelihatan sukar untuk dicapai tetapi ini tidak mustahil. Ketika UMNO serta beberapa NGO Melayu lain sudah mengorak langkah membuka jalan, tidak salah para pemimpin pertubuhan-pertubuhan Islam lain mengekori langkah murni ini. Hasrat murni ini perlu disambut oleh semua pihak.

Ahli-ahli akademik, tokoh-tokoh masyarakat serta mereka yang terlibat dalam pertubuhan-pertubuhan Islam perlu sama-sama menyahut seruan murni ini. Kita boleh melakukannya dengan memasang satu iltizam. Kita perlu mencari titik persamaan sambil membuang jauh-jauh syak wasangka demi satu matlamat iaitu membangunkan ummah.

Mana lebih penting?


SEJAK kebelakangan ini, isu perpaduan orang Melayu, khasnya penyatuan UMNO dan Pas mendapat perhatian ramai. Penekanan isu ini adalah untuk mengelak malapetaka orang Melayu kehilangan kuasa.

Tidak dinafikan tentang perpecahan orang Melayu, malah semua kaum, di negara kita, kerana perbezaan ideologi. Ini perkara lumrah yang berlaku di mana-mana.

Namun demikian, kita patut membezakan antara kewujudan banyak parti politik dengan pertelagahan di antara mereka. Parti-parti boleh bekerjasama seperti dalam gabungan Barisan Nasional (BN), dan sekarang dalam pakatan pembangkang atau parti-parti boleh bertelagah dan tidak boleh bekerjasama.

Nampaknya, mereka yang menganjurkan perpaduan UMNO-Pas menonjolkan isu orang Melayu hilang kuasa dalam pilihan raya akan datang. Mereka bimbang kehilangan kuasa ini akan membawa kepada pindaan Perlembagaan negara dan perubahan dasar-dasar yang penting tentang kedudukan bahasa Melayu, agama Islam dan hak-hak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera lain, dan juga kedudukan Raja-Raja Melayu.

Apa yang kita sebut dalam ayat akhir perenggan di atas memang perlu dielak. Kalau berlaku, satu lagi peristiwa berdarah 13 Mei tidak dapat dielak.

Siapa yang salah kalau ini berlaku? Tokoh-tokoh tertentu dalam pakatan pembangkang bukan manusia yang sempurna. Demikian juga dalam pakatan kerajaan.

Tidak ada manusia yang sempurna. Yang sempurna hanya Tuhan pencipta sekelian alam. Namun demikian, ada pihak yang perlu kita pertanggungjawabkan. Jika tidak ada pihak yang telah melakukan kesalahan-kesalahan besar, perkara ini tidak akan timbul.

Kemenangan besar yang diperoleh oleh pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 tidak boleh dipersalahkan kepada rakyat, atau kepada dakyah pembangkang semata-mata. UMNO dan BN sendiri perlu mengambil tanggungjawab utama. UMNO dan BN sendiri perlu membaiki dirinya.

Saya percaya, kalau UMNO dan BN boleh memberi kepimpinan yang baik, dilema ini tidak akan timbul.

Sekarang UMNO sedang mengadakan mesyuarat-mensyuarat Bahagian. Kita boleh membaca dalam akhbar-akhbar yang melaporkan ucapan-ucapan pemimpin-pemimpin tinggi UMNO yang merasmikan mesyuarat-mesyuarat ini, termasuk Presiden UMNO, serta mendapat maklumat yang berguna tentang beberapa masalah dalaman UMNO.

Pemimpin-pemimpin ini menyeru supaya ahli-ahli UMNO jangan berbalah sesama sendiri, jangan berpuak-puak, mesti memperjuangkan kehendak dan hasrat rakyat dan mesti kembali kepada perjuangan asal UMNO.

Perkara-perkara ini sudah kita dengar lama dulu. Ringkasnya, kita boleh membuat kesimpulan bahawa UMNO telah gagal menampilkan kepimpinan yang baik.

Jika UMNO ada kepimpinan yang baik, perkara-perkara ini tidak akan disebutkan dalam ucapan-ucapan perasmian itu.

Inilah masalahnya. Bukan penyatuan UMNO-Pas yang diperlukan, tetapi kepimpinan orang Melayu yang baik. Bukanlah UMNO tidak pernah ada kepimpinan yang baik. Tetapi sejak satu dua dekad yang lalu, sejak timbul apa yang dikatakan ‘politik wang’, kepimpinan itu merosot teruk.

Pas pula dengan slogan-slogan Islamnya yang kosong. Siapa tidak tahu tentang kegagalan kepimpinan Pas mengembangkan ekonomi Kelantan? Pas sekarang, di bawah kepimpinan ulama, langsung tidak mempunyai konsep pembangunan ekonomi.

Mereka tidak belajar atau mengkaji secara serius subjek ini. Mereka mengutamakan konsep ‘pembangunan kehidupan akhirat’. Tahukah mereka apa ‘pembanganun akhirat’ itu sebenarnya? Jadi, kalau Pas memimpin negara, ekonomi negara akan merosot.

Banyak rencana telah disiarkan dalam akhbar-akhbar tentang pelbagai macam penyelewengan dalam UMNO dan kerajaan: rasuah, keborosan, kronisme, perpecahan kepada puak dan kehilangan semangat perjuangan atau idealisme.

Kepimpinan Najib sekarang mestilah menyelesaikan masalah-masalah ini. Kerja besar dan berat inilah yang harus difikirkan dan ditangani, bukan saja oleh kepimpinan UMNO, tetapi juga oleh kepimpinan Pas dan kepimpinan seluruh bangsa Melayu, termasuk kepimpinan pakatan pembangkang lain.

Contohnya, kalau kita ada sebuah dusun, pokok-pokok seperti durian, rambutan, manggis, mempelam, langsat dan sebagainya hendaklah subur dan berbuah selalu atau dalam musim-musimnya. Buah-buahnya pula mestilah sedap. Begitulah yang kita mahu dilakukan oleh kepimpinan, baik dalam kerajaan mahupun pembangkang.

Kita bukan meminta langit. Kita harus realistik. Semua manusia, termasuk pemimpin-pemimpin ada kelemahan. Tetapi kita berhak meminta komitmen yang ikhlas dan tinggi daripada pemimpin-pemimpin kita.

Kepimpinan UMNO dan BN mestilah memperbaharui dan memperkuat semangat perjuangan mereka serta melaksanakan transformasi (meminjam istilah Najib) UMNO dan kerajaan dalam masa sesingkat mungkin.

Kalau mereka boleh melakukan ini, saya percaya kita tidak perlu bimbang tentang orang Melayu kehilangan kuasa. Tetapi kalau mereka gagal, malapetaka besar padahnya.