UMNO Teluk Belanga's Fan Box

UMNO Teluk Belanga on Facebook

Followers

Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan....... Dato' Seri Najib Tun Abd Razak (PERDANA MENTERI MALAYSIA)

Sunday, June 6, 2010

Masalah Golongan Muda Akan Diatasi



R
esolusi Makmal Pemuda Barisan Nasional (BN) yang dijangka dibentang awal Julai ini dijangka menyentuh mengenai beberapa masalah golongan muda termasuk membeli rumah untuk mereka yang baru mendirikan rumah tangga.

Selain itu, masalah lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) yang sukar mendapat pinjaman bagi memulakan perniagaan juga akan disentuh pada sesi pembentangan itu.

Kedua-kedua masalah berkenaan merupakan antara contoh isu-isu berkaitan orang muda yang telah dibincangkan secara mendalam di dalam makmal berkenaan.

Ada banyak lagi resolusi lain yang akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan semuanya berkaitan empat teras utama melibatkan orang muda iaitu tentang soal hidup, pendidikan dan biasiswa, demokrasi dan perpaduan.

Makmal Pemuda BN ditubuhkan Januari lalu untuk memahami kehendak golongan muda, sekali gus membantu kerajaan membentuk dasar terbaik untuk golongan itu. Semua lapan kumpulan fokus di bawah Makmal Pemuda BN itu sedang giat membuat perbandingan maklumat yang diperoleh daripada perbincangan dan kajian, sebelum tampil dengan resolusi masing-masing.

Selain kumpulan fokus, satu lagi kumpulan terdiri daripada 30 anak muda yang dipilih secara rawak daripada pelbagai golongan dan taraf hidup yang tidak ada sebarang jawatan dalam mana-mana parti sedang menyiapkan resolusi masing-masing.

Usaha memahami denyutan nadi golongan muda tidak akan berakhir dengan sesi pembentangan resolusi tetapi perlu disusuli sesi bersemuka antara golongan itu dengan Perdana Menteri.

Mereka yang hadir akan dipilih secara rawak bagi mewakili semua peringkat golongan muda tanpa mengira fahaman politik.

Perlu diingat bahawa terdapat tujuh juta golongan muda layak menjadi pemilih pada pilihan raya akan datang dan cabaran kita adalah untuk memastikan mereka memilih UMNO dan BN.

Hentikan Projek Aniaya Rakyat



Tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengarahkan projek perumahan Perda yang dalam pembinaan di kawasan Kuala Sungai Pinang dihentikan sementara kerana masalah perparitan disifatkan satu perbuatan untuk menganiaya rakyat.

Berikutan arahan tersebut, peluang golongan miskin untuk mendapatkan rumah lebih cepat tersekat sedangkan punca sebenar berlakunya kejadian banjir kilat di sebuah taman perumahan berhampiran projek tersebut 18 Mei lalu disebabkan pintu tali air rosak.

Guan Eng dan kerajaan negeri harus berhenti menuding jari kepada Perda sebaliknya bertanggungjawab membaiki pintu tali air tersebut yang sehingga kini masih belum dibaiki oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

Punca banjir bukan disebabkan parit itu tetapi pintu tali air yang rosak. Untuk menyiapkan parit, ia tanggungjawab Perda dan sedang jalankan kerja-kerja infrastruktur tersebut.

Tetapi kerajaan negeri juga perlu bertanggungjawab membaiki pintu tali air tersebut. Kenapa Ketua Menteri mahu lepas tangan dan meletakkan kesalahan tersebut kepada Perda pula.

Selagi pintu tali air itu tidak dibaiki, parit macam mana sekalipun yang dibuat tidak akan berjaya menghalang kejadian banjir kerana bila air dari parit masuk ke tali air, pengalirannya juga akan tersekat.

Guan Eng
telah mengarahkan Perda menghentikan projek mereka sehingga sistem perparitan diperbaiki kerana kedudukannya yang berdekatan dengan taman berkenaan dikatakan menjadi punca kejadian tersebut berlaku. Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah mengeluarkan arahan supaya Perda memberhentikan kerja-kerja berkenaan sehingga sistem perparitan dibaiki.

Kerja-kerja infrastruktur di projek perumahan kos rendah yang dibangunkan Perda itu kini hanya tinggal empat peratus lagi untuk disiapkan dan dijangka selesai sepenuhnya bulan ini juga.

JPS berada di bawah kerajaan negeri, patutnya bila berlaku banjir, salahkan mereka. Tapi apa yang berlaku sebaliknya. Perda pula dipersalahkan.