Ketenangan dan keharmonian hidup yang kita kecapi semenjak lebih 50 tahun yang lalu terasa diganggu oleh gelora yang tidak pernah kita undang. Apa yang menyedihkan, gelora itu datangnya dari kalangan masyarakat kita sendiri yang tertutup akal budinya. Mereka seolah-olah tidak lagi kenal yang mana intan dan yang mana kaca. Bagi mereka, kata orang-orang tua dahulu itu tidak lebih daripada permainan bahasa untuk melunakkan hati yang rawan semata. Tanpa mereka sedar, mereka lebih rela memilih kaca yang bukan hanya melukakan diri mereka, bahkan masyarakat yang mereka sendiri adalah anggotanya.
Hakikatnya hari ini kita sering digemparkan dengan insiden-insiden yang merendahkan martabat manusia. Kes-kes saperti mogok lapar (satu perbuatan penganiayaan diri sendiri),penderaan majikan terhadap pembantu rumah,, penderaan ke atas anak-anak, kes-kes ragut dan seumpamanya, penganiayaan suami ke atas isteri dan antara suami isteri tiada lagi perasaan kasih yang disebut oleh al-Quran sebagai sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih sayang), dan rahmah. Semuanya itu mencerminkan lunturnya nilai-nilai kemanusiaan yang seharusnya menjadi amalan dan pegangan semua umat manusia khasnya umat Islam sendiri.
Begitu juga dengan konsep kejiranan yang dianjurkan oleh Islam telah jauh diabaikan sehingga jiran sebelah rumah pun tidak kenal mengenal antara satu sama lain dan kalau kenal pun tidak bertegur sapa kerana perbezaan aliran politik dan sebagainya. Sedangkan dalam Islam kesempurnaan iman seseorang itu diukur sejauh mana ia dapat menghormati jirannya.
Cinta adalah akar daripada segala kebaikan dan keutamaan hidup manusia.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Tidak beriman seorang di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Syaikhan)
Seorang mukmin yang mengagungkan sifat Ar-Rahman dalam kehidupannya akan selalu menyebarkan sifat kasih sayang pada semua orang.Ia mengasihi orang lain saperti ia mengasihi diri sendiri.Mengerat dan menjalinkan hubungan sosial sesama manusia membuktikan diri nya sebagai peribadi yang memberikan manfaat kepada seluruh anggota masyarakat
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak manfaatnya bagi manusia lain”(hadis riwayat At-Tabrani).
Namun, ketika peradaban manusia semakin memilih materialistik, sombong serta tamak haloba, masih adakah telinga yang mahu mendengar pesan-pesan agung para Nabi? Malah dalam satu hadis riwayat Abu Daud, Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Tidak beriman seseorang itu jika dia tidur dengan perut yang kenyang di malam hari sedangkan dia tahu memang jirannya berlapar.” (Riwayat Abu Daud)
Demikian juga hari ini dalam hubungan antara saudara dengan saudara kandungnya, antara kerabat dan saudara dekatnya tidak ada lagi rasa kasih yang mengikat anggota keluarga yang satu, apatah lagi terhadap hubungan dengan sesama manusia di luar ikatan keluarga.
Orang yang memutuskan tali silaturahim dilaknat oleh Allah s.w.t. Kehadiran orang yang memutuskan silaturahim di tengah-tengah di antara kita, ia akan menularkan laknat itu kepada manusia di sekitarnya. Sebab itulah ketika Nabi s.a.w berada di Arafah pada waktu lsyak, di tengah-tengah para sahabat, tiba-tiba Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Aku tidak menghalalkan siapa pun yang pada petang hari ini dalam keadaan memutuskan tali silaturahim kecuali dia harus meninggalkan kami.”
Pada waktu itu seorang pemuda segera meninggalkan majlis Rasulullah s.a.w, dan tidak lama kemudian dia kembali menemui Nabi s.a.w. Ketika Nabi bertanya apa yang terjadi kepadanya, pemuda itu menjawab bahawa sudah lama dia bertengkar dengan ibu saudaranya, tidak saling menegur, dan tidak saling bertanya.
Ringkasnya, mereka memutuskan silaturahim. Apabila pemuda tersebut tahu Rasulullah benci kepada orang yang memutuskan tali silaturahim, dia pun segera menemui ibu saudaranya dan menjalin kembali persaudaraannya yang terputus.
Rasulullah s.a.w bersabda kepada pemuda itu yang bermaksud:
“DudukIah engkau, engkau telah berbuat baik, kerana rahmat Allah tidak akan turun di suatu kaum yang di situ ada orang yang memutuskan silaturahim.”
Ini bererti kalau di tengah-tengah keluarga kita ada orang yang memutuskan silaturahim - misalnya, ada anak yang bertengkar dengan orang tuanya dan tidak mahu mengalah, ibunya tidak mahu memaafkan dia dan anaknya tidak mahu datang meminta maaf kepadanya maka kehadiran orang seperti itu akan mendatangkan laknat bagi orang yang ada di sekitarnya. Keluarga itu kemudian tidak memperoleh rahmat Allah s.w.t kerana rahmat Allah tidak turun kepada satu kaum yang di sana terdapat orang yang memutuskan silaturahim. Oleh hal yang demikian itu, al-Quran berkali-kali mengingatkan kepada kita agar memelihara silaturahim.
Kalau orang yang memutuskan persaudaraan mendapat laknat, maka orang yang menghubungkan silaturahim mendatangkan barkah.
Sekiranya jika kita lupa kepada Allah, kita juga boleh lupa kepada kemanusiaan kita. Allah s.w.t sudah melihat hati kita yang sudah gelap kerana maksiat, tangan-tangan berlumuran dosa, dan tubuh-tubuh kotor yang penuh noda.
Pada hakikatnya, seluruh ajaran Islam dimaksudkan untuk menyucikan manusia, iaitu menampilkan kembali sifat kemanusiaan mereka.
Tidak dinafikan bahawa peradaban yang menguasai arus globalisasi, berkat ilmu dan teknologi moden, adalah peradaban yang lahir daripada keadaan hati yang sedang membeku.
Akibat kebekuan hati manusia akan lenyapnya kepekaan terhadap nilai baik dan buruk. Baik dan buruk telah dijadikan barang perniagaan tanpa moral.
Hati yang beku dan tertutup inilah yang dinyatakan dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam itu banyak jin dan manusia yang mempunyal hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya, dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat.”
(al-Araaf: 179)
Hati mereka sudah buta dan sudah tidak berfungsi lagi sebagaimana semestinya. Akibat kebekuan hati ialah hubungan persaudaraan hanya didasarkan semata-mata atas kekuatan benda dan kepentingan-kepentingan duniawi lain.
Akibatnya, suasana persaudaraan umat manusia di dunia terasa begitu kering dan tandus. Umat Islam berpecah belah dan berperang sesama sendiri dan ajaran persaudaraan sejati seperti yang ditekan dalam al-Quran sudah tidak dihirau lagi semata-mata kerana tarikan kepentingan benda lain dan bangsa yang lebih diutamakan. Malah yang lebih malang, umat Islam semakin gemar untuk bernafsi-nafsi.
Akibat kebekuan hati manusia, kita dapat lihat dalam bentuk tindakannya yang rakus, baik terhadap benda mahupun terhadap kekuasaan. Benda dan kekuasaan sesungguhnya apabila jatuh ke tangan hati yang beku akan membawa malapetaka. Kerakusan itu sebenarnya adalah simbol dan struktur batin yang sakit dan tidak bermaya.
Malangnya hari ini banyak sekali manusia tidak mampu melihat bencana yang mungkin ditimbulkan oleh watak manusia yang rakus ini kerana ia ditutupi dengan dengan kekayaan dan kemewahan yang diraihnya.
Tujuh abad yang lalu, Jalaludin Rumi, penyair sufi besar pernah mengungkapkan: “Jika tiada cinta, dunia akan membeku.”
Cinta adalah ibarat lautan luas dan dalam, seluas dan sedalam daya jelajah nurani manusia itu sendiri. Cinta yang semestinya menjadi penghubung atau kunci utama bagi hubungan antara manusia, antara kebudayaan, dan antara sistem hidup yang berbeza.
Jelas sekali hari ini, akibat corak hubungan manusia yang terlepas daripada panduan cinta dan pertimbangan yang rasional telah membawa manusia kepada kebinasaan dan kehancuran.
Contoh yang jelas peperangan yang berlaku sesama manusia adalah manifestasi daripada iklim hati yang membeku, kecuali perang untuk membela diri dan membela keadilan yang hakiki.
Manusia adalah makhluk yang sangat tinggi kerana itu ia harus dihormati. Oleh kerana itu pada peribadi kita masing-masing ini ada nilai kemanusiaan yang murni dan mulia. Kejahatan kita pada peribadi seseorang tidak dapat dibatasi sebagai kejahatan peribadi melainkan menurut al-Quran sebagai kejahatan pada kemanusiaan universal. Sehubungan ini Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: ”Kami telah menetapkan bagi Bani Israil, bahawa siapa yang membunuh manusia tanpa sebenar, seolah-olah ia telah membunuh seluruh manusia seluruhnya. Dan barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia seluruhnya.” (al-Maidah: 32)
Inilah pesan kemanusiaan yang bersifat universal agar setiap peribadi Muslim menghormati dan menjaga darah atau kehidupan manusia. Tetapi, hati nurani menjerit dan merintih. Betapa ajaran yang luhur untuk saling memelihara martabat manusia,terutamanya martabat sesama muslim telah dicampakkan dan tidak dipedulikan oleh umat Islam sendiri. Gossip, celaan, bahkan fitnah seringkali dijadikan senjata untuk saling menjatuhkan sesama saudaranya. Setiap kezaliman walaupun dilakukan pada orang kafir sekalipun merupakan penistaan nilai kemanusiaan.
Akibat terhakisnya nilai-nilai kemanusiaan, kini telah lahir generasi yang amat tebal sifat-sifat individualistik, generasi muda yang bersikap tidak menghiraukan apa orang lain kata.
Kesatuan kemanusiaan yang sebenar itu akan lahir dan dapat membesar di atas dasar tauhid yang bertunjangkan keimanan, keadilan dan keikhlasan manakala pokok kesatuan ini akan hidup membesar, berbunga dan berbuah dalam diri dan hidup seseorang.
Dari hakikat ini nyatalah konsep atau gagasan “1Malaysia” itu juga, perlu difahami sesuai dengan garis panduannya yang sebenar. Kesatuan tersebut bukan dapat difahami sebagaimana yang telah disalahertikan oleh pihak tertentu - mereka menyamakannya dengan hak kebebasan atau dasar sama rata.
Oleh hal yang demikian itu, hari ini lahir berbagai-bagai cadangan dan saranan daripada pihak tertentu. Kata mereka, atas dasar kemanusiaan, kita diminta samakan fahaman komunis dan perbuatan keganasan yang telah dilakukan kepada rakyat selama ini, untuk dilupakan begitu sahaja. Ini semua boleh berlaku apabila kesedaran dan kefahaman seseorang itu ‘membeku’ dan sudah buta sejarah serta lari daripada dasar dan gagasannya yang sebenar .
Sehubungan itu, kita perlu menjadi masyarakat yang ‘pandai berterima kasih’ kepada sejarah yang mencelikkan akal budi kita, bahawa sifat yang mahu menjadi ‘perosak’ seharusnya dinyahkan daripada jiwa kita yang dahagakan keharmonian hidup.
Sesungguhnya, gagasan “1Malaysia” membuka ruang dan peluang bagi Muslim, juga non-Muslim untuk saling hormat-menghormati, hidup dalam suasana rukun, aman damai, dan jauh daripada sifat saling berprasangka. Apa alasan untuk menidakkan usaha murni ini?