Janji manis untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai 'oasis demokrasi' merupakan satu lagi pembohongan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng ekoran tindakan mereka membatalkan permit ceramah politik di Balik Pulau semalam.
Tindakan membatalkan permit di saat-saat akhir itu menunjukkan kerajaan negeri gentar dan takut dengan siri ceramah untuk mendedahkan kelemahan pentadbiran sedia ada. Tindakan itu membuktikan ruang demokrasi rakyat ditutup dengan janji kosong Guan Eng yang berselindung di sebalik kuasa yang ada padanya sedangkan sebelum ini dicanangkan negeri ini bakal menjadi 'oasis demokrasi'.
Mengapa perlu ada 'double-standard' dan berpilih-pilih dalam membenarkan ceramah yang berniat menyatakan kebenaran ke telinga dan minda rakyat?. Jika benar mahukan negeri ini menjadi 'oasis demokrasi' keluarkan arahan pihak Ketua Menteri supaya tiada lagi pembatalan siri ceramah selepas ini.
Guan Eng perlu lebih berani dan membuka ruang demokrasi seluas mungkin, bukannya menggunakan alasan untuk menutup kelemahan diri sendiri. Kerajaan negeri perlu ingat, rakyat juga sudah muak dengan mainan politik dan ayat manis yang tidak pernah pun dilaksanakan di negeri ini sepanjang kepimpinan Guan Eng.