UMNO Selangor mendesak kerajaan negeri supaya menarik balik pelantikan Datuk Zaid Ibrahim sebagai ketua jawatankuasa petugas khas yang bertanggungjawab dalam soal pemilikan tanah peneroka Felda di negeri itu.
Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, desakan tersebut dibuat kerana Zaid didapati tidak layak untuk berada dalam pentadbiran Selangor.
Ini kerana kata beliau, penyelaras pakatan pembangkang itu secara terang-terangan telah mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung larangan pengunaan masjid dan surau untuk tujuan politik di negeri itu.
Menurut beliau, tindakan Zaid jelas menunjukkan pemimpin PKR itu tidak bertanggungjawab serta tidak menghormati Sultan Selangor yang juga merupakan ketua agama Islam dan negeri ini.
Malah, beliau juga menyifatkan Zaid tidak faham undang-undang berhubung larangan tersebut apabila mengatakan titah Sultan Selangor itu hanya pandangan peribadi kerana tidak dirujuk kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
"Sepatutnya beliau (Zaid) tidak boleh mempertikaikan titah Sultan Selangor dan mengatakan ia sebagai pandangan peribadi tuanku kerana larangan itu telah dikeluarkan secara rasmi oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 18 September tahun lalu.
"Malah, larangan turut dikeluarkan bersama agensi-agensi berkaitan dengan pentadbiran agama Islam negeri ini iaitu MAIS dan juga Jabatan Mufti Negeri Selangor.
"Jadi, kita minta kerajaan negeri kaji semula pelantikan Zaid untuk mengetuai pasukan petugas khas tanah-tanah Felda di Selangor," katanya pada sidang akhbar di Bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai membantah kenyataan Zaid menerusi laman blognya (myzaidibrahim.wordpress.com) yang menganggap titah Sultan Selangor mengenai larangan berpolitik di tempat ibadat umat Islam sebagai pendapat peribadi kerana ia tidak dirujuk kepada MAIS.
Malah, Zaid menyifatkan titah Sultan Selangor itu bukan sebagai arahan, perintah atau dekri kerana dalam sistem Raja Berperlembagaan, sultan tidak boleh mengeluarkan arahan atau perintah seperti zaman kesultanan Melaka.
Kenyataan Zaid itu juga dilihat sebagai mempertahankan tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini yang menyifatkan individu yang enggan membenarkan masjid digunakan untuk berpolitik sebagai 'bodoh'.
Dalam pada itu, Abdul Shukor menyatakan tindakan Zaid itu menunjukkan bekas Menteri Undang-Undang itu mempunyai 'kebodohannya' sendiri meski pun dikatakan tergolong dalam kalangan cerdik-pandai dalam bidang undang-undang.
"Setiap kata yang dikeluarkan oleh tuanku adalah titah rasmi yang dikeluarkan oleh Ketua Agama Islam dan negeri, dia tak faham barangkali.
"Kalau Zaid mahu pertikai, tidak berpuas hati dan tidak mahu menghormati titah Tuanku, eloklah dia berpindah keluar dari Selangor dan ikut tok guru dia (Nik Abdul Aziz) di Kota Bharu," jelasnya.
Katanya lagi, Sultan Selangor tidak pernah melarang mana-mana pihak untuk tinggal dan mencari rezeki di negeri ini dan tuanku juga menganggap mereka yang berada di sini adalah rakyat Selangor.
Namun, katanya, tindakan mempertikaikan dan tidak menghormati baginda adalah tidak wajar dan mencemar kedudukan serta peranan institusi beraja di Selangor.
habis