TAHUN baru bakal menjelma. Azam kita untuk keluar daripada kemelut terjerat dalam pendapatan pertengahan dan merapatkan jurang pendapatan yang semakin meluas di antara yang berpendapatan tinggi dan berpendapatan rendah. Azam kita untuk masuk golongan negara-negara berpendapatan tinggi memerlukan strategi bersepadu yang dihuraikan oleh Laporan Bank Dunia terdiri daripada langkah-langkah mengkhususkan lagi ekonomi, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, membuatkan pertumbuhan lebih menyeluruh dan menyusun pulih kewangan awam.
Kita perlu memberikan tumpuan kepada beberapa sektor bernilai tinggi dan berpotensi tinggi. Misalnya bidang-bidang seperti kewangan Islam, makanan halal, elektronik, industri-industri berdasarkan sumber alam dan pelancongan. Kesemuanya perlu berlatar belakangkan ekonomi yang menyokong pengetahuan. Dalam sedikit sebanyak kita diberitahu tentang Model Ekonomi Baru, kita turut dimaklumkan bahawa ia berteraskan kepada inovasi dan kreativiti. Ramai yang mungkin menyangka kedua-dua aspek agak tergulung dalam kepulan mereka sendiri iaitu terbatas kepada perkara-perkara seperti pengiklanan, perfileman, animasi dan sepertinya.
Sebenarnya banyak perkhidmatan kerajaan yang memerlukan inovasi dan kreativiti. Misalnya apa yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen dengan pembaharuan pasport dengan menggunakan mesin adalah salah satu contoh mengurangkan masa dan orang beratur.
Kita lihat Lembaga Hasil Dalam Negeri begitu berusaha untuk membantu pembayar cukai dengan sistem 'on-line' yang hanya memerlukan beberapa minit sahaja untuk mengisi dan menghantar maklumat tentang cukai pendapatan kepada lembaga tersebut. Pembayaran balik lebihan cukai yang dikutip juga tidak lebih daripada dua minggu adalah contoh inovasi dan kreativiti yang telah diperkenalkan. Begitu juga penyediaan persembahan multimedia di masjid-masjid semasa khutbah Jumaat juga merupakan langkah kreatif pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Begitu juga dengan perkara-perkara berkaitan dengan Jabatan Agama Islam negeri seperti zakat dan Baitulmal perlu diselaraskan kerana pekerja mungkin berpindah dari satu negeri ke satu negeri lain.
Dalam usaha mempertingkatkan kemahiran tenaga kerja, kita perlu meningkatkan kuantiti dan kualiti tenaga kerja berkemahiran. Ini memerlukan insentif, persaingan, pengambilan berasaskan merit dalam pendidikan, pembentukan kurikulum dan latihan guru yang lebih baik. Gaji guru yang rendah tidak akan menggalakkan mereka untuk berkhidmat di luar bandar sekali gus menjadikan jurang antara sekolah-sekolah bandar dan luar bandar kekal luas. Suatu revolusi cara pengajaran yang menggunakan multimedia dan mengurangkan berat beg sekolah perlu dilakukan.
Pada masa ini, terlalu banyak buku yang dibawa murid walaupun dalam darjah satu. Kita wajar melihat masa hadapan yang mana murid-murid hanya perlu membawa 'thumbdrive' sahaja ke sekolah dan semua bahan bacaan dan rujukan sudah disediakan lebih awal oleh guru-guru mata pelajaran berkenaan. Kalau ada pun buku teks hanya yang penting-penting sahaja.
Kita juga perlu meningkatkan usaha melipat gandakan penyertaan mereka yang keluar selepas sekolah menengah dalam bidang vokasional dan teknikal. Berbanding dengan beberapa negara lain, penyertaan kita hanyalah setakat 10 peratus sedangkan negara seperti Belanda dan Australia yang sama bilangan penduduk dengan kita setinggi 60 peratus. Kemahiran peringkat vokasional dan teknikal penting selaku pelapis di bawah kumpulan mereka yang mempunyai ijazah.
Dasar-dasar yang lebih menjurus kepada keseluruhan daripada khusus kepada sesuatu golongan tertentu sahaja dapat membantu usaha mengurangkan kemiskinan dan pada waktu yang sama menggalakkan keusahawanan dan melatih diri dalam mengambil risiko. Kita tidak menafikan wujudnya golongan miskin bandar ekoran daripada penghijrahan masyarakat luar bandar mencari kehidupan yang lebih baik. Kehendak kehidupan di bandar memberikan tekanan kepada golongan miskin bandar dengan sewa rumah, api, air, pengangkutan dan harga barang makanan yang lebih tinggi daripada di luar bandar.
Selain daripada itu, persekitaran tempat tinggal mereka misalnya di pangsapuri murah juga yang kerap tertakluk kepada perbuatan jahat vandalisme seperti merosakkan lif, kecurian barang-barang, pengotoran sekeliling dan di sesetengah tempat kehadiran rakyat asing yang berkelakuan biadab dan mengganggu. Jaringan keselamatan sosial diperlukan untuk membantu dalam keadaan kesusahan dan kos sara hidup.
Berkenaan dengan menyusun pulih kewangan awam, penyatuan fiskal dan reformasi kewangan akan mengurangkan kebimbangan tentang kenaikan defisit fiskal, meluaskan bidang pendapatan negara dan mengurangkan peranan subsidi serta mengurangkan himpitan kepada sektor swasta.
Penumpuan perbelanjaan kepada bidang-bidang khusus yang mampu memberikan penggandaan kepada pertumbuhan ekonomi. Pelaburan swasta telah merosot daripada 20 peratus KDNK pada tahun 1997 kepada hanya 10 peratus. Banyak yang melabur keluar negara dan arah aliran itu perlu dibendung demi meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Pelabur tempatan macam merajuk.
Banyak langkah 'memujuk' telah dilakukan termasuk 15 peratus cukai di Iskandar, Johor dan pengecualian FIC dan pemansuhan syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera dan liberalisasi di sektor perkhidmatan dan kewangan. Semoga tahun 2010 menunjukkan manifestasi langkah-langkah ini.
UMNO Teluk Belanga's Fan Box
UMNO Teluk Belanga on Facebook
Followers
Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan....... Dato' Seri Najib Tun Abd Razak (PERDANA MENTERI MALAYSIA)
Wednesday, December 1, 2010
Langkah menjadikan negara berpendapatan tinggi
Subscribe to:
Posts (Atom)