UMNO Teluk Belanga's Fan Box

UMNO Teluk Belanga on Facebook

Followers

Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan....... Dato' Seri Najib Tun Abd Razak (PERDANA MENTERI MALAYSIA)

Saturday, September 4, 2010

LERAIKAN PEMIKIRAN KUSUT DAN JUMUD


Sistem pendidikan kita mesti dijadikan medium pembudayaan pemikiran Melayu yang lebih progresif dan berpandangan jauh. Justeru, di samping perubahan semasa dalam sistem pendidikan ketika ini yang menekankan ke arah melahirkan generasi profesional yang mampu dipasarkan, perubahan sistem pendidikan mesti mampu melahirkan generasi yang kukuh iman, berjati diri Malaysia dan berdaya saing.

Mata pelajaran Sejarah yang diajar sepatutnya lebih bersifat kritikal, pengajaran yang mengesankan. Mata pelajaran Agama pula mestilah melahirkan generasi berakidah kukuh dan mempunyai keimanan sejati yang teguh. Kedua-dua subjek ini perlu diletakkan sebagai wajib lulus dengan keputusan baik.

Orang Melayu hakikatnya memang boleh berjaya. Kejayaan Petronas suatu bukti bahawa syarikat yang diterajui dan dibarisi majoriti orang Melayu mampu berada pada kedudukan baik dalam ranking Fortune 500 malahan diletak dalam kelompok elit New Seven Sisters yang berpengaruh dalam industri tenaga.

Tidak ada persoalan tentang kebolehan kita. Persoalan sebenar ketika ini ialah kesanggupan kita yang akhirnya merujuk pula kepada mentaliti kita sendiri. Mentaliti kelas ketiga ataupun kelas pertama? Mentaliti suka berdengki, hati busuk, tikam-menikam dan gila kuasa ataupun yang berkait mentaliti bersifat 'mahmudah'!

Melayu tersekat di fasa survival?


BEBERAPA siri insiden di mana ikan-ikan paus terdampar di persisiran pantai dunia adalah suatu fenomena unik namun menyayat hati. Yang paling menyentuh perasaan ialah apabila para penyelidik membuktikan adanya kemungkinan kawanan-kawanan ikan paus tersebut sudah 'menyerah kalah' dalam menempuhi cabaran survival spesiesnya gara-gara senario pengurusan bio-sfera yang kian berkecamuk.

Hari ini, kalaulah tidak ada sebarang inisiatif ikhlas yang berkadar segera dan bersifat kritikal, janganlah hendak dipelikkan sangat kalau-kalau nasib orang Melayu suatu ketika kelak bakal terjerumus dalam kancah 'dilema ikan paus' tersebut; bergelumang dengan survival bangsanya!

Ketika era Dato' Onn Jaafar sendiri, kita sebenarnya telah pun berada pada suatu titik 'survival' di mana tanah air dipertahankan daripada menjadi 'jajahan kekal' British. Walaupun situasi kini berbeza, kekalutan lantaran perpecahan bangsa dan didesak pula himpitan krisis ekonomi sejagat dalam beberapa tahun kebelakangan ini pada hakikatnya tidak kurang memeritkan.