UMNO Teluk Belanga's Fan Box

UMNO Teluk Belanga on Facebook

Followers

Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan....... Dato' Seri Najib Tun Abd Razak (PERDANA MENTERI MALAYSIA)

Tuesday, February 15, 2011

Falsafah pemikiran Tun Razak

PADA 14 Januari 1976, seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia di London kerana penyakit leukemia. Pemergian Allahyarham Tun Abdul Razak adalah satu kehilangan besar kepada rakyat Malaysia. Sebab itu rakyat berbilang kaum tidak putus-putus memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Negara sebelum disemadikan di Makam Pahlawan.

Tun Abdul Razak adalah seorang negarawan yang ulung dan banyak berjasa. Sehingga hari ini nama Allahyarham masih disebut-sebut, apatah lagi anak sulungnya, Datuk Seri Najib Tun Razak pula menjadi Perdana Menteri dan menunjukkan ciri-ciri kepimpinan yang disenangi rakyat. Banyak kupasan dibuat mengenai sumbangan Allahyarham kepada bidang politik, ekonomi dan sosial negara. Tetapi jarang pihak mengupas falsafah pemikiran Tun Abdul Razak.

Falsafah pemikiran Perdana Menteri kedua itu berasaskan kepada sifat-sifat keperibadian yang sangat terserlah iaitu mempunyai sifat integriti dan amanah yang tinggi, mempunyai sifat kebijaksanaan dalam membuat penilaian dan perhitungan; sifat dahagakan kebenaran yang sebenar dan bukan kebenaran yang direka-reka; sifat kasih dan sayang kepada rakyat melebihi diri sendiri dalam menunaikan kehendak rakyat.

"Tun Abdul Razak dilihat seorang yang rendah hati, tawaduk, penuh dengan sifat kedamaian dan bencikan konfrontasi. Sifat lembut dalam perwatakan, pertuturan tetapi tegas dalam tindakan membentuk minda dan dirinya. "Allahyarham dilihat seorang pejuang rakyat yang tulen, tidak membatasi dirinya dengan kepentingan politik kepartian tetapi berjuang atas asas rationality, praktikaliti, "outcome base leadership". Tiada gimik, tiada slogan yang gempaq; tiada protokol yang dibawa bersama.


"Tun Abdul Razak berjuang untuk rakyat dengan turun ke padang dalam waktu banjir, ribut, hujan lebat yang membasahi dirinya, lecak, menyinsing seluar untuk bersama rakyat tidak mengira bangsa pun. Allahyarham bukan pemimpin yang sibuk mengkayakan diri, anak-anak, sahabat handai, puak-puak, kaum-kaum, kerana Tun Abdul Razak takut tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya dipersoalkan Yang Maha Esa Allah SWT.


Sifat luhur ini menyentuh setiap sanubari dan hati rakyat sehingga kini. Legasinya bukan untuk ditinggalkan untuk rakyat tahun 1970-an tetapi juga untuk rakyat di abad ke-21 dan abad-abad yang mendatang.
Malaysia bangun dan bangkit dari kemunduran, perpecahan kaum, dengan ketidak keseimbangan sistem sosial adalah kerana dasar yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak. Mana mungkin rakyat Malaysia tidak mengenang jasa yang tidak terbalas itu.


Allahyarham Tun Abdul Razak ada berpesan: "Kebebasan bererti tanggungjawab. Tanggungjawab bererti berusaha, bertindak serta berdikari, dan kejayaan yang tercipta daripada usaha seseorang itu adalah tidak ternilai harganya. Tun Abdul Razak meletakkan tanggungjawab sebagai asas kepimpinan dengan digarapkan dengan usaha dan tindakan yang tepat. Membina rakyat yang kuat dan berketrampilan serta boleh berdiri di atas kaki sendiri. Bagi Allahyarham kejayaan seseorang itu adalah kerana dia mahu berusaha dan setiap usaha sama ada gagal atau berjaya adalah satu kejayaan yang tidak ternilai harganya.

Ungkapan seumpama ini adalah kata-kata hikmat yang hendak difahami oleh setiap rakyat yang cintakan kedamaian, kemakmuran dan kesejahteraan hidup di negara ini. Kefahaman ini harus juga menular kepada setiap genap pemimpin di negara ini tidak kisah sama dia pemimpin parti pemerintah mahu pun pemimpin parti pembangkang. Allahyarham Tun Abdul Razak telah meletakkan dirinya sebagai legasi di kalangan kawan dan lawan, parti pemerintah dan parti lawan. Kejayaan Allahyarham Tun Abdul Razak memujuk Pas menyertai Barisan Nasional membuktikan kejujuran hati dan keluhuran jiwanya yang menjadi elemen penting sehingga berjaya memikat hati pemimpin Pas.

Allahyarham Tun Abdul Razak tidak merasa segan silu bertemu pemimpin Pas demi rakyat. Tidak menunggu parti lawan menemuinya tetapi dirinya dibawa menemui mereka. Tiada syarat dan prasyarat demi rakyat. "He his a Political Mastery". Tidak takut kepada cemuhan dari pihak dalaman, atau takut popularitinya menjunam jatuh, tidak gentar dengan desakan dan tekanan kawan atau sahabat politik, kerana semuanya dilakukan untuk perpaduan ummah, untuk kesejagatan dan kemakmuran rakyat secara total.

"Tun Abdul Razak percaya dengan mempunyai sistem politik yang stabil, ekonomi yang adil dan saksama, perpaduan rakyat akan tercapai. Kejayaan Dasar Ekonomi (DEB) adalah kejayaan rakyat Malaysia. Ia bukan satu dasar yang menumpukan hanya kepada orang Melayu tetapi ia adalah untuk segenap lapisan.
Cuma secara kebetulan, ketika DEB dilancarkan, keadaan ekonomi dan kadar kemiskinan yang meruncing adalah di kalangan orang Melayu. Adalah salah mengatakan DEB adalah dasar yang dikhususkan untuk orang Melayu sahaja.

Keadaan DEB pada ketika itu berbeza dengan keadaan sekarang. Sekarang dasar DEB itu diberikan roh dan nafas baru melalui ETP, GTP dan RMK-10 yang membuka ruang dan peluang yang lebih besar dan luas mengikut keperluan dan kehendak semasa. Pelbagai dasar yang diilhamkan oleh Tun Abdul Razak demi rakyat dari Red Book kepada Buku Hijau, Laporan Razak, DEB dan pelbagai lagi dilakukan demi kesejahteraan rakyat. He is a creator, innovator and inventor.
 
Namun demikian, bertolak dari sifat keperibadian inilah beliau mengasaskan empat perkara menjadi fokus dalam kepimpinan beliau semasa menjadi Perdana Menteri, pertama memastikan agar kadar kemiskinan negara ini dapat diturunkan; memastikan pengagihaan ekonomi adalah saksama dan adil; melakukan Manhaj atau pendekatan yang praktikal untuk membina negara dan rakyat; memenuhi setiap aspirasi rakyat dan memastikan wujudnya keadilan sosial di kalangan rakyat. Tun Abdul Razak adalah Perdana Rakyat. Memastikan keselamatan negara terpelihara dan apabila semua ini dapat disatukan maka negara boleh diurus tadbir dengan stabil dan aman.


Kebijaksanaan Allahyarham dalam mengatasi masalah konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia amat terserlah. Kebijaksanaan diplomasi amat dikagumi di seluruh dunia kerana berjaya menyatukan semula saudara serumpun ini kembali bertaut. Lawatan beliau ke negara China membuka mata ramai negara jiran bahawa persahabatan boleh dimulakan jika mempunyai hati yang ikhlas dan jiwa yang luhur. Tidak ada ruginya jika kita mencari jalan persahabatan demi pembangunan negara dan kemakmuran rakyat semua.


Kekuatan minda yang berteraskan ilmu pengetahuan amat terserlah dalam kehidupan. Sebab itu, Allahyarham mahu memastikan semua rakyat di negara ini mendapat asas pendidikan yang sempurna. Beliau percaya dengan mengilmukan rakyat, negara akan boleh dipacu dengan pantas dan mantap.