UMNO Teluk Belanga's Fan Box

UMNO Teluk Belanga on Facebook

Followers

Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan....... Dato' Seri Najib Tun Abd Razak (PERDANA MENTERI MALAYSIA)

Saturday, June 26, 2010

Ingatan Untuk Umno Bahagian Sabak Bernam!!!!!



Ahli Pemuda dan Puteri UMNO perlu mengikis sikap selesa dengan kedudukan Sabak Bernam sebagai kubu kuat UMNO kerana parti pembangkang sentiasa mengintai peluang untuk menggugat penguasaan Barisan Nasional (BN) di sini.

Kita sebaliknya perlu bekerja lebih keras termasuk turun padang bagi mendekati rakyat dan mencari pengundi baru bagi memperkukuhkan sokongan terhadap BN. Setiap daripada kita perlu ada perasaan cemas. Jangan ingat sebagai kubu kuat, pembangkang tidak serang Sabak Bernam. Orang kita hanya rasa cemas waktu UMNO dibubarkan dahulu dan kemudian leka.

Kita perlu turun ke akar umbi seperti yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sering bertemu dan beramah mesra dengan rakyat. Jangan leka sehinggakan rakyat merasa disisih dan merasa diri mereka jauh dari UMNO dan Barisan Nasional.

KLINIK 1MALAYSIA MEMENUHI ASPIRASI RAKYAT


Tahniah dan syabas kita ucapkan kepada YAB Perdana Menteri kerana mencetuskan idea penubuhan klinik komuniti 1Malaysia yang telah diumumkan dalam pembentangan bajet 2010 yang lepas. Akhirnya kelmarin Perdana Menteri telahpun menunaikan janjinya kepada rakyat dengan merasmikan klinik yang ke-44 di Kampung Kerinchi. Setakat ini sebanyak 44 buah klinik telahpun mula beroperasi sejak 1 Januari 2010 yang lalu di seluruh negara.

Antara objektif utama penubuhan klinik 1Malaysia adalah untuk menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan ringan kepada penduduk di kawasan bandar sesuai dengan pendekatan kerajaan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Bagi tujuan penubuhan klinik ini kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk menampung kos operasi 50 buah klinik di seluruh negara setahun.

Dengan adanya klinik ini ianya dijangka mampu mengurangkan beban pesakit di klinik kesihatan di kawasan bandar yang sedia ada dan ini juga dapat memudahkan serta mempertingkatkan akses rakyat untuk mendapatkan rawatan ringan terutamanya di kawasan bandar.

Klinik ini akan dikendalikan oleh Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat Terlatih dan antara skop perkhidmatannya adalah meliputi perkhidmatan rawatan ringan, susulan kes penyakit kronik dan melakukan prosedur rawatan ringan. Manakala dari segi masa perkhidmatan pula klinik ini akan beroperasi setiap hari bekerja mulai jam 10.00 pagi hingga 10.00 jam yang meliputi operasi selama 12 jam dengan melibatkan penggiliran syif bekerja staf yang bertugas.

Idea penubuhan klinik ini telah mendapat pelbagai reaksi positif dari rakyat berbilang kaum terutamanya penduduk miskin ataupun kurang mampu di kawasan bandar. Lokasi dan kemudahan klinik ini yang tidak eksklusif seperti klinik dan hospital swasta di mana ianya hanya ditempatkan sama ada di bangunan rumah kedai ataupun mana-mana premis yang disewa yang berhampiran dengan masyarakat cukup menyenangkan semua pihak.

Idealnya kesemua lokasi klinik ini adalah di kawasan-kawasan setempat dengan penduduk lebih daripada 10,000 orang yang mana ianya boleh dihubungi dengan cepat dan mudah oleh penduduk kawasan terbabit.

Kita perlu sedar bahawa masih ramai penduduk bandar yang berpendapatan rendah dan sederhana. Golongan ini sering menghadapi masalah kekangan kewangan untuk mendapatkan rawatan perubatan di klinik mahupun hospital swasta. Tambahan pula hospital ataupun klinik kesihatan kerajaan yang sedia ada agak jauh dari lokasi penempatan mereka dan jumlah pesakit pula ramai yang jelas akan melambatkan proses mendapatkan rawatan yang dikehendaki dengan segera.

Walaupun klinik ini hanya menyediakan sistem penjagaan kesihatan yang asas sahaja namun ianya cukup signifikan dan besar manfaatnya kepada golongan yang kurang mampu dan sangat memerlukan perkhidmatan perubatan.

Perkhidmatan perubatan adalah salah satu keperluan asas umat manusia dan adalah menjadi tanggungjawab mana-mana kerajaan yang dipilih oleh rakyat untuk menyediakan perkhidmatan perubatan yang diperlukan oleh rakyatnya. Dalam hal ini ternyata pihak kerajaan kita begitu komited dan mengambil berat masalah kesihatan rakyat dan berjaya memenuhi kehendak majoriti penduduk bandar yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Keprihatinan pihak kerajaan dalam aspek kesihatan rakyat memang tidak perlu diragui ataupun dinafikan kerana buktinya bagi tahun 2010 Kementerian Kesihatan (KKM) telahpun diperuntukkan bajet berjumlah RM14.8 bilion yang merangkumi perbelanjaan mengurus sebanyak RM11.2 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM3.6 bilion.

Peruntukan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 7.6% berbanding tahun sebelumnya iaitu RM13.2 bilion. Malah peruntukan yang diterima oleh KKM ini juga adalah merupakan antara yang tertinggi berbanding kementerian-kementerian yang lain. Data ini sudah cukup untuk menjelaskan rasa tanggungjawab kerajaan terhadap aspek kesihatan rakyat negara ini terutamanya bagi membantu golongaan yang tidak berkemampuan.

Keadaan ekonomi global yang tidak menentu terus menghantui rakyat kita di mana nilai matawang yang dimiliki semakin terhakis angkara kenaikan harga barangan pengguna dan lebih merumitkan keadaan apabila masih terdapat majikan yang terpaksa memberhentikan pekerja akibat kemelesan ekonomi tersebut. Akibatnya jumlah pengganggur semakin bertambah dan bilangan siswazah yang sukar mendapat peluang pekerjaan juga dikhuatiri semakin meningkat.

Senario ini menyebabkan golongan penduduk bandar yang selama ini berada dalam kategori berpendapatan sederhana sudah mula jatuh ke status berpendapatan rendah yang sekaligus menjadi penghalang kepada mereka untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan yang lebih berkualiti seperti di klinik dan hospital swasta kerana melibatkan kos yang tinggi yang sukar untuk ditampung oleh mereka.

Walaupun Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) melahirkan rasa kebimbangan bahawa klinik 1Malaysia ini akan menjejaskan taraf perkhidmatan kesihatan di negara ini namun kewujudan klinik ini perlu dilihat dari sudut yang lebih positif dan juga perlu mengambilkira soal kebajikan rakyat tanpa sebarang prejudis.

Pihak MMA boleh berbincang dengan KKM agar disamping menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang bermanfaat sebegini kepada rakyat, kita juga dapat menjaga dan memelihara kualiti dan taraf perkhidmatan yang diberikan. Dalam hal ini strategi menang-menang (win-win situation) cukup penting kerana sememangnya kualiti perkhidmatan perubatan adalah suatu perkara yang tidak boleh dikompromi sama sekali kerana ianya melibatkan soal nyawa manusia.

Soal keuntungan juga tidak wajar dijadikan sebagai perkara pokok di mana pihak klinik mahupun hospital swasta adalah tidak wajar menganggap klinik ini sebagai saingan kepada mereka yang boleh mengancam perolehan pendapatan mereka. Ini kerana untuk penyakit kronik mahupun rawatan susulan yang lain pesakit tetap akan dirujuk ke hospital yang lebih besar dan pesakit yang berkemampuan juga boleh ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan yang selanjutnya.

Pada masa yang sama ada juga pihak yang mempersoalkan nama klinik ini serta cuba membandingkan peranannya dengan klinik kesihatan dan klinik desa yang sedia ada. Pokok pangkalnya kita perlu memahami dan jelas dengan konsep dan idea asal penubuhan klinik ini iaitu klinik ini hanya untuk mengendalikan kes-kes kecil sahaja sementara kes kritikal yang memerlukan perhatian doktor dan rawatan lanjut, pesakit boleh segera ke klinik berhampiran.

Tambahan pula klinik 1Malaysia juga hanya dibenarkan untuk memberi ubat bagi sakit ringan sahaja seperti demam, batuk atau pun luka ringan manakala kes kronik akan dirujuk ke klinik yang lebih besar ataupun hospital berdekatan. Justeru tidak timbul sebarang kekeliruan dan konflik pertembungan fungsi dan peranan antara klinik ini dengan klinik yang sedia ada.

Ingatlah bahawa sekurang-kurangnya kerajaan dapat menyediakan perkhidmatan ini daripada ianya langsung tidak ada sebelum ini. Ada apa pada nama yang diberi lagipun kewujudan klinik ini sebenarnya membawa lebih banyak manfaat daripada keburukan kepada rakyat. Usahlah mempertikaikan perkara-perkara yang boleh menguntungkan dan memberi manfaat kepada orang ramai. Tiada gunanya kita bertelagah dan mencari kesalahan dalam isu sebegini yang melibatkan kepentingan rakyat.

Kemunculan klinik komuniti 1Malaysia ini perlu dilihat sebagai tepat pada masanya bagi memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat yang kurang berkemampuan dan semakin terhimpit dengan pelbagai masalah sosioekonomi. Ianya cukup melegakan penduduk setempat yang boleh menikmati kemudahan tersebut dengan hanya berbekalkan bayaran serendah RM1. Kita berharap agar projek yang murni ini tidak terhenti setakat 50 buah klinik sahaja di mana ianya wajar ditambah dan diperluaskan lagi dari semasa ke semasa mengikut kemampuan kerajaan agar lebih ramai lagi rakyat dapat manfaat tersebut.

Laman Web dan Blog Semakin Berpengaruh?


Laman web dan blog semakin berpengaruh dalam membentuk minda masyarakat kebelakangan ini. Dalam keadaan tertentu media baru ini dilihat mampu membentuk sikap dan tingkahlaku masyarakat dalam membuat sesuatu keputusan dan memiliki ’kuasa’ dalam mempengaruhi pemikiran rakyat.

Perkembangan pesat teknologi maya ini telah diikuti dengan pertambahan pengendali laman sesawang ini yang meningkat secara mendadak. Malaysia dianggar memiliki hampir 500,000 blog yang aktif dikendalikan oleh pelbagai pihak.

Pelbagai pendekatan dan usaha dibuat melalui penggunaan medium blog untuk menyebar maklumat dan juga usaha mempengaruhi orang ramai dalam pelbagai aspek sama ada dalam bentuk perniagaan, hiburan, pendidikan, perbincangan isu dan sebagainya. Bahan yang berbagai yang disalur oleh laman web dan blog membolehkan orangramai mendapat maklumat yang cepat dan mudah.

Namun begitu, perkembangan terakhir ini menyaksikan beberapa perkara negatif telah meresap dalam dunia web dan blog. Teknologi moden alam maya yang bertujuan untuk memudahkan orang ramai mengakses maklumat telah disalahguna oleh pihak-pihak tertentu. Perbuatan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini telah meninggalkan kesan yang serius terhadap reputasi laman web dan blog.

Kebelakangan ini terdapat banyak laman blog dan web yang secara sengaja dan terancang telah menyiarkan artikel yang menyalahi undang-undang negara seperti menyalurkan bahan lucah, menghina, mengugut dan menabur perasaan benci sesama rakyat.

Ada laman web dan blog yang dilihat menggalakkan perilaku yang boleh menyebabkan kekacauan dan ketegangan di dalam dan di luar negara serta pelanggaran undang-undang Malaysia dan antara bangsa serta menganjur perbuatan yang boleh membahayakan individu, organisasi atau masyarakat keseluruhannya.

Terdapat juga laman blog dan web yang dibangunkan menjalankan kegiatan haram seperti skim cepat kaya, skim piramid dan surat berantai, melakukan pengeboman mel kepada e-mel, melakukan kegiatan haram seperti mengambil, menyimpan dan mengedar harta intelek, rahsia dan perdagangan barangan yang dilindungi hak cipta serta mencerobohi peralatan yang dimiliki individu, kumpulan atau organisasi yang boleh menyebabkan gangguan perkhidmatan.

Tidak kurang juga laman web dan blog yang cuba menimbulkan suasana tidak harmoni dalam masyarakat dan mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keharmonian rakyat dengan menimbulkan pelbagai spekulasi songsang, andaian dan persepsi yang tidak menjurus kepada perkara sebenar dan juga yang mengeluarkan kenyataan tanpa asas atau fakta yang kukuh serta membuat tuduhan-tuduhan liar, palsu, fitnah dan berbentuk hasutan.

Untuk memastikan pengendali laman web dan blog supaya lebih bertanggungjawab terhadap kandungan bahan yang disiarkan bagi mengelak sebarang implikasi negatif, beberapa undang-undang telah digubal dan boleh dikenakan kepada pengendali laman web dan blog.

Akta Perundangan yang diguna pakai berkenaan dengan laman web dan blog ialah Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (AKM). Akta ini mengandungi peruntukan melarang penerbitan kandungan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik dengan niat mengacau, mendera, atau mengganggu sesiapa seperti dilakukan beberapa penulis blog di negara ini.

Selain Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, ada juga beberapa peruntukan jenayah lain yang boleh diguna pakai termasuk Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta Hak Cipta 1987, Akta Jualan Langsung 1993, Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA) 1972, Akta Syarikat 1965, Akta Bank dan Institusi Kewangan Malaysia 1989 dan Akta Industri Sekuriti 1983.

Pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna diberi kuasa untuk mengambil tindakan terhadap laman blog dan web tidak bertanggungjawab.

Misalnya, jika didapati sesuatu laman web /blog menyalahi undang-undang, tindakan akan diambil dengan mengarahkan Internet Service Provider (ISP) menyekat laman-laman web tertentu yang menyalahi undang-undang negara di bawah peruntukan pencegahan yang dibenarkan oleh Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKM 98).

Tindakan ini tidak boleh dianggap sebagai menapis Internet, sebaliknya ia adalah tindakan penguatkuasaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang negara.

Sepanjang tempoh Januari 2008 hingga Julai 2009, sebanyak 470 laman web yang didapati melakukan kesalahan telah dikenakan tindakan sekatan oleh Internet Service Provider (ISP) atas arahan SKMM. Begitu juga dengan beberapa kes pendakwaan di mahkamah atas kesalahan tertentu seperti kes Raja Petra Kamarudin (RPK) didakwa menghasut berhubung dengan artikel beliau di Malaysia Today, “Let’s Send the Altantuya Murderers to Hell” pada 25 April 2008.

Undang-undang yang dirangka ini bukanlah untuk menyusahkan orang ramai tetapi lebih kepada mengelakkan perkara buruk berlaku dalam masyarakat kita serta mendidik masyarakat mengenai etika penggunaan Internet. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mewujudkan keharmonian dalam masyarakat dan menjaga kestabilan negara.

Mereka yang tidak bertanggungjawab dan mengamalkan budaya negatif seperti menyebarkan maklumat palsu, memfitnah dan menghasut rakyat untuk melakukan sesuatu yang negatif langsung tidak membantu dalam konteks pembangunan negara. Perbuatan songsang mereka bukan setakat tidak memberi faedah atau nilai tambah dalam masyarakat, malah boleh meruntuh dan memusnahkan sesuatu bangsa dan negara.