KETIKA isu perpaduan Melayu antara UMNO dan Pas mencetuskan polemik perbincangan, kebanyakan kita melihatnya dari sudut politik - survival dan kekuasaan politik orang Melayu sahaja.
Bagaimanapun sebenarnya ada perkara lagi besar yang seakan-akan tertinggal iaitu perpaduan ummah Islam. Isu perpaduan ini sewajarnya tidak terbatas kepada perbincangan perpaduan Melayu UMNO-Pas atau pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu sahaja.
Ia sebaliknya perlu merangkumi perkara yang lebih besar iaitu perpaduan ummah yang menjadi paksi kekuatan Islam. Tanpa mengenepikan perpaduan Melayu dari sudut politik Melayu, perpaduan ummah Islam di negara ini mampu memberi kesan yang lebih besar dalam segala bidang kepada seluruh umat Islam di negara ini.
Justeru tidak hairanlah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuannya dengan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam menekankan bahawa perpaduan dan kesepaduan umat Islam perlu merentasi batas politik. Dalam keadaan Islam diserang bertubi-tubi dari segala sudut dan dalam pelbagai bentuk, perpaduan dan ukhuwah di kalangan ummahnya adalah perisai terbaik.
Lebih besar daripada itu, ia bakal menjadi penyelesaian kepada pelbagai masalah dan isu yang sedang dihadapi oleh umat Islam di negara ini antaranya berkaitan pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan. Sebagai contoh gejala keruntuhan akhlak di kalangan generasi muda Islam sangat hebat. Ia merebak bagai api yang sedang marak dan seolah-olah tidak boleh dihalang lagi.
Kesannya sangat besar. Hampir setiap hari kita mendengar cerita-cerita yang sebahagian besarnya sangat menyayat hati dan meruntun perasaan. Gejala kelahiran anak luar nikah, pembuangan bayi atau penemuan mayat bayi dan janin sempurna sifat sudah menjadi cerita biasa akhir-akhir ini. Walaupun pelbagai kempen kesedaran dilaksanakan, statistiknya tidak pernah menurun.
Pada masa yang sama juga, pembangunan ekonomi orang-orang Islam masih berada pada tahap statik walaupun menjadi golongan majoriti di negara ini. Perkara yang sama juga berulang dalam bidang pendidikan yang mana sebahagian besar daripada umat Islam masih ketinggalan manakala sebahagiannya pula tercicir terus.
Di sinilah perlu pentingnya satu kesepaduan kukuh umat Islam di negara ini. Barangkali ia kelihatan sukar untuk dicapai tetapi ini tidak mustahil. Ketika UMNO serta beberapa NGO Melayu lain sudah mengorak langkah membuka jalan, tidak salah para pemimpin pertubuhan-pertubuhan Islam lain mengekori langkah murni ini. Hasrat murni ini perlu disambut oleh semua pihak.
Ahli-ahli akademik, tokoh-tokoh masyarakat serta mereka yang terlibat dalam pertubuhan-pertubuhan Islam perlu sama-sama menyahut seruan murni ini. Kita boleh melakukannya dengan memasang satu iltizam. Kita perlu mencari titik persamaan sambil membuang jauh-jauh syak wasangka demi satu matlamat iaitu membangunkan ummah.
0 comments:
Post a Comment