UMNO Teluk Belanga's Fan Box

UMNO Teluk Belanga on Facebook

Followers

Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan....... Dato' Seri Najib Tun Abd Razak (PERDANA MENTERI MALAYSIA)

Tuesday, July 20, 2010

Taksub kepada puak rugikan Melayu......


Politik sempit ini membawa lebih banyak keburukan jika dibandingkan dengan kebaikan. Sesama Melayu dan Islam bercakaran kerana ingin menegakkan benang basah, akhirnya membawa kepada perpecahan begitu serius dan merugikan kedua-dua pihak.

Mungkin orang Melayu dan umat Islam sudah sedar bahawa pertelingkahan berpanjangan antara kedua parti terbesar ini banyak membawa kerugian dan menguntungkan pihak ketiga, maka terdengar suara-suara kecil terutama daripada rakyat bawahan menyimpan impian untuk melihat UMNO dan PAS bersatu.

Apatah lagi hari ini perpecahan dalam kalangan orang Melayu semakin serius dan mempunyai tiga mazhab politik, bagaimanapun usaha untuk menyatukan UMNO dan PAS sehingga kini dilihat masih gagal walaupun UMNO sudah membuka pintu yang luas kepada PAS untuk duduk semeja.

Malah Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan, sendiri mengakui bahawa pertelingkahan politik antara UMNO dan PAS merugikan orang Melayu serta umat Islam di negara ini, selain mengakibatkan agenda pembangunan negara juga terbengkalai.
Bagi Nasruddin, UMNO dan PAS perlu mempunyai pelan damai bagi menghentikan persengketaan itu apatah lagi umat Islam diajar supaya bersatu dengan tali Allah dan bangsa Melayu tidak akan maju dan hebat jika asyik bercakaran, selain banyak masa hilang begitu saja tanpa membawa manfaat kepada umat Islam kerana persengketaan itu.

“Ahli UMNO rata-ratanya Melayu dan beragama Islam, demikian juga ahli PAS berbangsa Melayu dan beragama Islam. Malah seorang ahli UMNO pasti saja memiliki ahli keluarganya yang menjadi ahli PAS. Demikian sebaliknya, ahli PAS juga mempunyai ahli keluarganya daripada kalangan UMNO.

“Persoalannya sampai bila Melayu UMNO dan PAS ini mahu bertelagah sehingga menjejaskan keharmonian berkeluarga. Saya kira UMNO dan PAS perlu ada pelan damai untuk menamatkan persengketaan yang panjang ini. Kebanyakan kita umat Melayu tentu sudah berasa bosan dengan pertelagahan ini.

“Kita juga tidak mempunyai banyak masa untuk menjayakan pelan damai yang saya cadangkan ini, semua pihak mesti berlapang dada. Korbankan perasaan dan kemahuan untuk bertolak ansur mencari noktah damai atau gencatan senjata laksana Aus dan Khazraj,” katanya mengulas soal perpaduan Melayu melalui laman blog peribadinya.

Walaupun sudah ada pihak yang sanggup menjadi orang tengah bagi mendamaikan pertelingkahan berlanjutan PAS-UMNO, namun masih ada suara sumbang mempertikaikan hasrat murni berkenaan. Apakah mereka ini adalah golongan tidak mahu melihat penyatuan yang menguntungkan umat Islam dan orang Melayu.

Masih ramai suara sumbang pemimpin PAS yang menentang usaha parti itu untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO, Mengapa masih ada dalang sebegini dalam parti yang dikatakan mendaulatkan Islam. Mengapa begitu marah terhadap penyatuan Melayu, sedangkan pihak menentangnya juga adalah orang Melayu.

Salahkah jika PAS dan UMNO mengambil masa seketika untuk duduk semeja berbincang mengenai masalah yang melanda orang Melayu di negara ini, selain mencari kebaikan dan menutup segala persengketaan lama.

Cukuplah berpolitik dengan cara yang merugikan orang Melayu, jangan biarkan kaum majoriti ini terhimpit dan menjadi minoriti kerana perpecahan disebabkan oleh kepentingan politik pihak tertentu. PAS yang mendukung Islam rasanya lebih arif mengenai Islam dan Nabi Muhammad SAW sendiri sentiasa mementingkan perpaduan umatnya.

Kembalilah kepada landasan Allah dalam membuat perkiraan, jangan pula emosi dan kepentingan politik melebihi kewarasan akal, contohilah sifat pemaaf dan keterbukaan junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang sanggup berbuat baik dengan Yahudi yang menentangnya.

Inikan pula PAS dengan UMNO, sama-sama Islam yang memerlukan pertimbangan untuk mengadakan perbincangan secara bersama. Kepada pemimpin PAS jangan pula kerana kepentingan politik, ulama disanggah kerana tidak memihak kepada parti itu. Fikirkan seketika kepentingan Melayu dan agama Islam di negara ini.

0 comments: