Soalan cepu emas ini kini berkumandang lagi, selepas agak lama disenyapkan. Kenyataan terkini yang keluar daripada mulut Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sendiri mengenai kesediaannya berundur.
Ramai mengatakan saya sudah tidak diperlukan lagi. Jika benar saya tidak diperlukan lagi maka saya sedia untuk berundur.
Itulah kenyataan yang dilafazkan Abdul Taib apabila diajukan soalan apakah beliau akan bertanding lagi pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-10 yang boleh diadakan pada bila-bila masa sebelum tempoh DUN sekarang berakhir pada 24 Julai 2011.
Dalam kalangan wartawan dan pengamal media di Sarawak, cukup arif betapa soalan mengenai pengunduran Taib amat sensitif untuk ditanya kepada pucuk kepemimpinan negeri Sarawak sejak 29 tahun lalu itu.
Antara reaksi Abdul Taib yang paling digeruni apabila beliau membeliakkan matanya sebaik soalan diajukan kurang disenangi. Justeru, rata-rata pengamal media di Sarawak cukup berhati-hati dan pasti akan melihat mood Abdul Taib terlebih dulu, sebelum mengajukan soalan dianggap sensitif.
Namun bagi wartawan senior yang pernah duduk bersembang atau mengadakan wawancara eksklusif dengan ahli politik veteran yang mula aktif berpolitik sejak 43 tahun lalu dan menjadi Ketua Menteri Sarawak sejak 1981 itu, Abdul Taib tidak segarang disangka.
Malah seorang pemimpin kanan Umno yang pertama kali mengadakan kunjungan hormat ke atas Abdul Taib tahun lalu, turut memberitahu penulis betapa beliau amat terkejut melihat keperibadian sebenar Abdul Taib yang jauh berbeza daripada yang digambarkan.
Saya ingat beliau seorang yang sangat serius dan sukar untuk diajak berbicara. Rupa-rupanya bersemuka dan berbicara dengan beliau cukup menyeronokkan. Banyak pengalaman dan nasihat yang beliau kongsikan, kata pemimpin itu.
Hakikatnya, kedudukan Abdul Taib yang cukup lama dalam politik dan pernah berkhidmat di bawah kelima-lima Perdana Menteri setakat ini, meletakkan beliau sebagai seorang pemimpin yang cukup disegani, bukan ditakuti.
Mood Abdul Taib ketika ditanya pemberita kelmarin mengenai kedudukannya, sama ada akan bertanding lagi atau tidak pada pilihan raya negeri akan datang, cukup baik dan beliau nampak begitu ceria.
Abdul Taib secara terbuka menyatakan kesediaannya berundur jika tidak lagi diperlukan turut menyerahkan nasibnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan parti.
Beliau menjadi Ahli Parlimen buat pertama kalinya di bawah Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra pada 1967 ketika berusia 31 tahun.
Kenyataan terkini Abdul Taib mengenai kesediaannya untuk berundur menyebabkan teka-teki siapa bakal pengganti beliau dan bakal menjadi Ketua Menteri kelima bagi Sarawak kini muncul semula.
Carta nama yang disebut-sebut bakal menggantikan beliau termasuklah Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Tun Openg; Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan serta Penasihat Khas Ketua Menteri yang muncul semula dalam politik Sarawak setelah tenggelam seketika, Tan Sri Adenan Satem.
Adenan dikatakan pernah menjadi pilihan utama Abdul Taib juga bekas adik ipar Ketua Menteri Sarawak itu. Dengan latar belakang pendidikan undang-undang, Adenan seorang pemimpin yang pintar dan fasih berhujah, selain terkenal dengan tabiatnya sebagai ulat buku.
Adenan pernah menjadi Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar di peringkat Pusat sejak Mac 2004, namun melepaskan jawatannya pada 2006 dan sejak itu hanya menumpukan tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, dan namanya tenggelam selama enam tahun sehinggalah pada Mac lalu, apabila rombakan kabinet menyaksikan Adenan kembali diberi kepercayaan oleh Abdul Taib dengan jawatan Penasihat Khas Ketua Menteri, portfolio baru bertaraf Menteri.
UMNO Teluk Belanga's Fan Box
Followers
Sunday, October 17, 2010
Siapa bakal pengganti Taib?
Tepuk dada tanya selera...
Membaca tulisan terbaru Datuk Zaid Ibrahim dalam laman blognya yang bertajuk Hormatilah presiden dan perlembagaan parti maka kita dapat bayangkan bagaimana seorang peguam ternama dan pemilik syarikat guaman terbesar di negara itu nampak macam dah nak tenggelam punca dengan karenah PKR.
Mungkin luahannya kali ini juga dilihat satu bahan kempen untuk jawatan Timbalan Presiden PKR.
Soalnya isu yang dibawanya cukup besar.
Malah dari pengakuannya dalam tulisan itu ,PKR mungkin satu-satunya parti dalam dunia ini yang secara terbuka menjadikan Presiden Datuk Dr Seri Wan Azizah Ismail yang sah dari segi perlembagaan parti sebagai lambang sahaja manakala ahli biasa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai orang yang paling berkuasa.
Bodoh sangatlah kalau ada siapa tak tahu Anwar ialah Sivaji The Boss PKR .Apa yang Zaid bising ialah dari sudut struktur parti.
Memang pedih hingga beliau terpaksa mengeluarkan kata-kata : Kalau kita dari parti Keadilan tidak hormati jawatan Presiden kita yang sah kerana kita berpuas hati Presiden itu hanya lah lambang (walaupun dia berkuasa penuh mengikut Perlembagaan parti); apa jaminan kita akan menghormati Perlembagaan Negara bila kita berkuasa nanti?
Kalau peguam besar seperti Zaid merasa begitu peliknya pada cacamarba parti yang baru disertainya Julai tahun lalu kesimpulan yang dapat dibuat pastinya tepuk dada tanya selera .
Sebagai orang yang mendakwa dirinya cukup berprinsip hingga sanggup letak jawatan Menteri waktu dalam UMNO kerana tidak setuju dengan isu penahanan ISA yang antaranya melibatkan wartawan, ramai yang sedang memerhati sejauh mana beliau berprinsip kali ini.
Lebih mengaibkan beberapa jam selepas tulisan dalam blognya tersiar,salah seorang orang kepercayaan Anwar yakni Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Ahmad terus memperlekehkan desakannya supaya dikembalikan kuasa Presiden, hanya sebagai satu gimik.
Budak baru main politik itu lantas mengajar Zaid supaya berpegang kepada disiplin dan tanggungjawab bersama pada parti.
Beliau cuba mengingatkan Zaid rentetan bagaimana Anwar diberi status de facto kerana masalah edah lima tahun tak boleh pegang apa-apa jawatan politik selepas dibebaskan dari penjara pada tahun 2004.
Edah itu sudah tamat pada April 2008 dan sekarang ialah bulan Oktober 2010. Soalnya apa lagi yang buat Anwar nak terus bergayut kepada Penasihat yang tidak ada dalam perlembagaan parti?
Polimek menjelang pemilihan PKR itu bukan ciptaan Barisan Nasional atau mana-mana musuh politik di luar sana.
Segalanya adalah pandangan Zaid dalam bentuk hitam putih.
Begitu juga dalam tulisan pertamanya yang mendedahkan bagaimana beliau diserang kiri kanan apabila menyatakan hasrat nak bertanding Timbalan Presiden PKR serta meluahkan tentang kemungkinan nasib politiknya dalam PKR jadi macam Allahyarham Tun Ghafar Baba.
Melayu Hilang Kuasa
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan kuasa dan ‘suara’ jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih pemerintahan negara.
Kata beliau, ia terbukti sewaktu Perak diperintah pakatan pembangkang selepas pilihan raya umum lalu apabila DAP lebih berkuasa di negeri itu walaupun Menteri Besar daripada Pas.
“Kita lihat (Datuk Seri) Mohammad Nizar Jamaluddin di Perak, walaupun dia Menteri Besar tapi dia ikut arahan DAP sehingga (pakatan pembangkang) jatuh. Orang Cina mendakwa ini adalah usaha BN menjatuhkan kerajaan Cina.
“Jadi mereka panggil kerajaan Cina, tak mungkin kita juga akan dapat Perdana Menteri yang semacam Nizar, namanya Melayu, agama Islam tetapi dia bukan sebenarnya bebas, dia adalah alat pada orang lain dan ini boleh berlaku,” katanya.
Beliau yang juga bekas Presiden UMNO berkata demikian dalam wawancara khas dipetik daripada laman web www.umno-online.com.
Dr. Mahathir menambah, walaupun Nizar yang mewakili Pas ketika memerintah Perak seolah-olah memperjuangkan Islam, parti itu sebenarnya menggunakan Islam sebagai alat untuk mendapat sokongan.
Sementara itu menurutnya, jawatan sebagai Perdana Menteri di negara ini bukan ‘dikhaskan’ buat orang Melayu atau beragama Islam sahaja sebaliknya ia tertakluk kepada sokongan rakyat ke atas seseorang pemimpin.
“Tidak ada sekatan dalam undang-undang negara, dalam kita punya Perlembagaan tiada yang menghalang orang Cina atau India jadi Perdana Menteri, apa yang perlu sokongan dari majoriti, kalau majoriti dah setuju, kita tak boleh buat apa-apa.” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengkritik hala tuju parti pembangkang lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana dilihat tidak ikhlas memperjuangkan kemahuan rakyat selain hanya mahu merampas tampuk pemerintahan daripada BN.
Sebagai contoh, katanya, PKR wujud bukan kerana mahu menuntut keadilan buat rakyat di negara ini tetapi sebagai platform merealisasikan cita-cita seorang pemimpinnya yang berhasrat menjadi Perdana Menteri.
“Trend itu tidak lagi menjadi tumpuan, tetapi kepada apa saya dapat, apa kau dapat, lebih kepada peribadi. Itulah terbentuknya keadilan, keadilan itu nama sahaja. Tubuh PKR seolah-olah negara ini tidak ada keadilan,” jelasnya.