UMNO Teluk Belanga's Fan Box

UMNO Teluk Belanga on Facebook

Followers

Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan....... Dato' Seri Najib Tun Abd Razak (PERDANA MENTERI MALAYSIA)

Sunday, August 29, 2010

Islam dan UMNO

Ada beberapa tokoh-tokoh UMNO bertanya pendapat saya, apakah caranya untuk memulihkan UMNO. Saya akui bahawa saya bukan 'orang politik' untuk menghuraikan masalah UMNO. Namun, sebagai seorang yang dianggap ada sedikit sebanyak pengetahuan tentang Islam, saya ingin menyentuh soal Islam dalam UMNO. Islam itu sebagai addin dalam kehidupan masyarakat Islam, termasuklah masyarakat melayu yang secara majoritinya mengakui Islam sebagai nadi hidup mereka. Jika UMNO inginkan masyarakat melayu menerima mereka, UMNO mestilah mendokong dan menjaga nadi hidup mereka ini dengan baik.

Justeru itu, jawapan saya mudah sahaja: "UMNO! Kembalilah kepada Islam tulen! UMNO mesti memainkan peranan sebagai gerakan dakwah kepada Islam yang tulen, moderat dan progresif. Apabila saya kata demikian, bukan bererti saya menafikan keislaman UMNO sebelum ini, atau unsur-unsur Islam yang sedia ada dalam UMNO. Namun apa yang jelas keislaman UMNO itu perlu diperkukuh dan proses perbaikan kelemahan perlu dibuat segera.

Allah sendiri dalam al-Quran pernah menyebut: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kepada kitab (al-Quran) yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya (Muhammad SAW), juga kepada Kitab yang telah diturunkan sebelum daripada itu. Dan sesiapa yang ingkar kepada Allah, Malaikat-malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh. (Surah al-Nisa, ayat 136).

Dalam ayat ini Allah memerintahkan orang yang beriman agar beriman. Bagaimana begitu? Tidakkah itu seakan-akan memerintahkan apa yang sudah terlaksana?! Tidak! Maksudnya seperti kata al-Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini: "Allah taala memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman agar masuk secara keseluruhan dalam segala syariat iman, cabang, rukun dan tiangnya. Ini bukan suruhan agar melakukan perkara yang sudah tersedia, sebaliknya ia bermaksud lebih menyempurnakan yang sempurna, menetapkan, mengukuhkan dan berterusan atasnya". Dalam konteks UMNO, hendaklah mereka menghidupkan Islam dalam gerakannya kerana yang sedia ada itu tidak mencukupi.

Di sini, saya tidak mahu bercakap tentang falsafah-falsafah politik yang besar-besar. Sudah saya sentuh isu-isu yang lebih prinsip dalam banyak tulisan saya yang lepas. Saya juga tidak berbicara untuk tujuan bagaimana UMNO ingin mengekalkan kuasa. Itu kerja orang politik. Saya bercakap untuk kepentingan setiap individu muslim yang ada dalam UMNO. Saya ingin mengajak orang UMNO berfikir secara 'kampung' sahaja. Saya harap orang UMNO jangan kecil hati, saya bermaksud ingin menceritakan ubat bukan untuk menambahkan penyakit.

Saya ingin bertanya, apakah kita dengar seorang ibu atau bapa menyebut: 'anak saya dulu lemah pegangan Islamnya, atau kefahaman Islamnya, tetapi sekarang menjadi muslim yang baik penghayatan dan kefahamannya kerana aktif dalam UMNO?!. Atau anak saya dahulu kurang kefahaman agamanya tetapi selepas aktif UMNO, dia lebih memahami Islam yang sebenar. Saya rasa agak sukar ungkapan seperti itu ditemui. Jika adapun mungkin kes terpencil bukan fenomena umum.

'Menulis' semula masa depan UMNO


SEIRING Perhimpunan Agung UMNO tidak lama lagi, tulisan saya kali ini berkisar di bawah perspektif Re-Writing The Future History of UMNO atau "Menulis Semula Sejarah Depan UMNO". Ia saya wacanakan bersama cetusan emosi setelah meneliti pelbagai emel daripada mereka yang membaca ruangan ini. Ada di antara e-mel berkenaan yang mempersoalkan kedudukan artikel-artikel saya yang sesekali condong "menyokong UMNO" dan menuduh saya begitu serius mempertahankan UMNO. Malah terdapat juga sebilangan kecil pengirim mempersoalkan "apa perlunya berbuat demikian?"

Menjawab persoalan-persoalan ini, cukuplah barangkali kalau saya katakan bahawa saya masih melihat perjuangan memperkasa dan memperbetulkan UMNO sebagai jalan terbaik demi masa depan orang Melayu di Malaysia. Rasionalnya, sehingga kini belum ada parti - termasuk Pas - yang cukup layak, berkredibiliti dan berkemampuan daripada aspek intelektual untuk terus memacu Islam, Melayu dan Malaysia ke mercu kejayaan.

Pengalaman mengendalikan negara berbilang kaum, menyusun rancangan ekonomi, hubungan diplomatik di peringkat antarabangsa dan mengatasi ancaman musuh luar yang dimiliki UMNO adalah terlalu essential dan tidak boleh diperolehi dalam masa singkat.

Dalam kata lain, sekiranya ada kelompok Melayu yang berhajat untuk menggantikan UMNO seluruhnya, ia akan mengakibatkan orang Melayu terpaksa "belajar semula dari bawah".

Begitu juga selama mana orang Melayu masih gagal bersatu padu sepenuhnya, selagi itulah UMNO masih perlu dipertahankan dan perjuangan perlu dipertingkatkan. Apatah lagi di saat-saat kumpulan Melayu terlerai kepada tiga pecahan besar ketika ini.
Hari ini orang Melayu bagaikan semakin hilang punca dan tidak keruan melihat pendekatan politik 'gila-gila' perikatan pembangkang yang kononnya mewakili Melayu dan Islam dalam usaha menggapai kuasa.

Soal moral dan asas perjuangan seolah-olah sudah boleh dijual beli. Sebagai contoh, orang Melayu sehingga terpaksa meminta bantuan NGO-NGO Islam dalam kes kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam.

Makin parah lagi apabila tali persaudaraan demi survival bangsa yang dihulurkan UMNO ditolak mentah-mentah oleh Pas atas alasan "sengketa lama". Oleh itu, UMNO sebenarnya tidak ada jalan lagi melainkan memperbetulkan semula kesilapannya jika mahu meraih kembali sokongan Melayu demi masa depan negara. UMNO bukan zombie yang mempunyai jasad tetap tanpa mata hati.

Sebenarnya, ini boleh dilakukan jika pimpinan UMNO jujur dan tidak hipokrit. Hentikan pendekatan branding yang melampau tanpa pengisian roh Islam kerana ia bakal menjadikan UMNO seperti zombie.

Selain itu, pemimpin perlu mencari jalan untuk memenuhi pengharapan, tuntutan dan keinginan khususnya daripada kumpulan pengundi muda Melayu.
Antaranya termasuklah pengharapan tinggi agar UMNO terus memperkasakan elemen Islam yang menjadi jati diri akhlak dan budaya Melayu.

Resolusi 1Malaysia bagi saya hanyalah pendekatan untuk menyelesaikan isu perbezaaan bangsa, bahasa dan budaya sahaja tetapi bukan perbezaan agama. Kalau digunakan formula yang sama juga, tidak masuk akal jika kita wujudkan kempen "1Agama" sedangkan gagasan Inter Faith Commission (IFC) juga ditentang habis-habisan oleh masyarakat Islam Malaysia.

Atas dasar inilah, jasa-jasa UMNO dalam memartabatkan Islam perlu digali dan dihebahkan seluas mungkin sebagai sebuah organisasi Melayu yang memperjuangkan Islam selama ini. Pelaksanaan agenda Islam melalui pelbagai dasar dan pelaksanaan kerajaan melalui agensi-agensi negeri dan organisasi seperti Tabung Haji, mahkamah syariah, UIA dan Jakim.

Begitu juga hukuman sebat terhadap Kartika Sari baru-baru ini. Ia menunjukkan pengamalan undang-undang Islam yang diusahakan kerajaan UMNO.

Zaman berubah, Islam yang dipertahankan oleh UMNO kini berdepan dengan pelbagai cabaran baru. Antara lain ialah lahirnya aliran-aliran baru dukungan 'ikon-ikon Islam ternama' yang diiktiraf oleh media dan beberapa NGO yang bercanggah dengan syariah Islam aliran Ahli Sunah Wal Jamaah.

Justeru itu, saya menyarankan agar Fasal 3 (3) Perlembagaan UMNO bahawa parti itu akan terus menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai agama rasmi Malaysia diberi keutamaan khusus oleh pemimpin UMNO. Islam perlu terus-terusan diperkasa dan dijadikan identiti utama UMNO. Perlembagaan juga perlu mensyaratkan ahli dan pemimpin UMNO agar jujur, bermaruah dan "berjiwa Islam". Sekiranya perkara utama ini dapat diperkemas dan diperbetulkan, tidak sepatutnya ada sebarang isu lagi yang boleh menghalang penyatuan umat Islam di Malaysia dan UMNO pasti mampu 'menulis' semula masa depannya dan perpaduan Melayu.

UMNO sebagai parti Melayu dan Islam perlu memberi keutamaan kepada ahli-ahlinya. Jangan sampai undi yang dikejar dari kaum lain tak dapat, undi Melayu sendiri pula keciciran.

Pas parti ekstrem

Pas yang kini dilihat mengambil pendekatan liberalisme dalam mencari sokongan politik sebenarnya sebuah parti ekstrem yang pernah meminta bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman merampas harta orang Cina tempatan selepas tragedi 13 Mei 1969. Parti berkenaan juga pernah menyokong Indonesia mengambil alih pemerintahan negara dan menangkap para pemimpin tempatan semasa era konfrontasi dengan negara jiran tersebut.

Justeru, tindakan itu mencerminkan Pas merupakan sebuah pertubuhan politik bersifat perkauman berasaskan ekstremisme kepada Islam yang bertentangan dengan ajaran agama berkenaan.Inilah permainan politik mereka. Mana ada mahu laksanakan hukum hudud sedangkan seorang wanita yang bogel dan terdedah di khalayak walhal berjawatan Ahli Dewan Undangan Negeri telah diterima oleh Nik Aziz sebagai satu keharusan, skandal dan sebagainya.

Bagaimana Pas boleh sesuaikan diri dengan aspek tidak bermoral begini?"

Kerjasama parti itu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini penuh dengan kepura-puraan dalam mewujudkan kerjasama politik antara pakatan pembangkang.

UMNO telah menentang keras pendirian ekstrem Pas itu dan mendedahkan ketaksuban parti itu dalam hal keagamaan seperti kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang pernah 'mengkafirkan' ahli-ahli UMNO.

Kita akan jadikan PAS lebih beradab dan bersopan. Mengapa sekarang mereka nak menuduh UMNO perkauman sedangkan UMNO sudah biasa buat penyesuaian melalui perpaduan Cina, Melayu, India dan kaum lain dengan lebih besar bertahun-tahun lamanya. UMNO bukan baru hari ini percaya kepada konsep liberalisme tetapi bersifat liberal sejak awal penubuhan negara lagi.

Mengenai DAP pula, parti itu yang kononnya mahu mencontohi PAP di Singapura tidak mampu berbuat demikian kerana PAP mengambil tindakan terhadap mana-mana ahlinya yang didapati terlibat dalam salah laku moral.

PKR pula adalah sebuah parti yang hanya mahukan kuasa dengan kegilaan tersebut berkisar ke arah perjuangan seorang individu sahaja. PKR parti yang belum matang di peringkat bawah dengan perjuangan yang tidak berprinsip iaitu cuba menyesuaikan diri dengan DAP apabila bersama parti itu dan menukarkan watak apabila bersama dengan Pas. Asal saja ia memberi pulangan kepada pemimpin atasannya untuk naik ke atas.