UMNO Teluk Belanga's Fan Box

UMNO Teluk Belanga on Facebook

Followers

Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan....... Dato' Seri Najib Tun Abd Razak (PERDANA MENTERI MALAYSIA)

Monday, July 5, 2010

Perisik DAP


NAMPAKNYA Pengerusi DAP Karpal Singh tetap mempertahankan pendiriannya menolak konsep negara Islam. Pemimpin parti itu mahu Pas menghormati pendirian itu. Ketegasan tersebut bukanlah sesuatu yang baru bagi Karpal.

Dalam erti kata lain, Pas tidak usah berangan-angan untuk membentuk negara Islam sekiranya pakatan DAP- Pas-PKR berjaya menjejakkan kaki di Putrajaya.

Sebagai pemimpin parti politik, sudah tentu kenyataan Karpal itu mencerminkan pendirian sebenar DAP berhubung negara Islam. Bukannya pendapat peribadi.

Pas boleh mengeluarkan pelbagai kenyataan berhubung pendirian Karpal tetapi hakikatnya, DAP tidak peduli dengan cita-cita Pas itu.

Dalam hal ini, saya melihat DAP sama sekali tidak dapat menerima konsep negara Islam yang dibawa oleh Pas. Parti itu juga tidak peduli dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Persoalannya adakah Pas masih menaruh harapan untuk membentuk negara Islam bersama DAP?

Untuk memerintah, Pas tidak ada pilihan lain kecuali mengharapkan DAP dan PKR. Lihat sahaja di Perak dan Selangor. Pas hanya bergantung harapan kepada DAP dan PKR.

Maka apakah cita-cita Pas mahu membentuk negara Islam akan terlaksana sekiranya pakatan pembangkang itu berjaya menjadi pemerintah?

Ahli-ahli Pas tidak ada pilihan lain sama ada sekadar mahu menjadi tempelan kepada kerajaan sekiranya menjejakkan kaki di Putrajaya atau meneruskan konsep negara Islamnya secara bersendirian.

LU PIKIRLAH SENDIRI!!!!!

Anwar Bersikap Fanatik Di Amerika


BERJINAK dengan sikap fanatik di Malaysia begitulah tajuk komentar Jackson Diehl, kolumnis akhbar Washington Post. Sikap fanatik atau zealot yang dimaksudkan Timbalan Editor ruang lidah pengarang akhbar utama Amerika Syarikat ini merujuk kepada tindakan seseorang yang menghentam Zionis atau Israel.

Bagi kebanyakan wartawan di Amerika Syarikat mahupun di Eropah, antara dosa paling besar ialah untuk menulis sesuatu yang negatif mengenai Zionis atau Israel walaupun ia benar. Zionis dan Israel diangkat oleh mereka ini sebagai terlalu maksum untuk dikecam.

Walaupun wartawan di Amerika dilindungi dengan kebebasan akhbar melalui peruntukan First Amendment dan rakan sejawatan mereka di Eropah melalui Artikel 10 Konvensyen Hak Asasi Manusia, tidak ramai di kalangan mereka berani mengecam Zionis atau Israel walaupun ia harus dilakukan demi menegakkan kebenaran.

Berikutan itu apabila seseorang berani berbuat demikian, orang itu dengan sewenang-wenangnya dilabel zealot atau fanatik seperti dilakukan Diehl dalam komentarnya itu yang disiarkan, Rabu lalu.

Orang yang dirujuk Diehl dalam komentarnya adalah ketua pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kolumnis Washington Post itu menulis dengan nada kesal retorik kasar Anwar terhadap Israel dan tuduhannya mengenai pengaruh Zionis (melalui Apco) di Malaysia.

Anwar yang dianggap Diehl sebagai foremost advocates of liberal democracy in Muslim countries (pelopor terulung demokrasi liberal di negara Muslim), dilihat pula cuba berjinak dengan sikap fanatik.

Namun, Diehl tidak sepenuhnya menyalahkan Anwar. Sebaliknya, Presiden Barack Obama pula dipersalahkan oleh kolumnis Washington Post ini. Bayangkan pemimpin negara kuasa dunia dipersalahkan atas keterlanjuran seorang tokoh politik Malaysia.

Menurut hujah Diehl, demokrat tertekan ini (Anwar) yang memperjuangkan kelangsungan hidup politik dan peribadinya, kurang dapat pertolongan Washington. Anwar, katanya, tidak lagi mendapat sokongan Amerika Syarikat seperti dinikmatinya ketika Al Gore menjadi Naib Presiden negara itu dulu.

Obama, kata Diehl, tidak langsung membuat kenyataan awam mengenai Anwar ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Washington April lalu.Dialog pegawai kanan kedua-dua negara bulan ini juga, kata kolumnis akhbar itu, tidak menyentuh perbicaraan liwat terbaru Anwar.

Jabatan Negara Amerika Syarikat, katanya menjelaskan isu itu tidak disentuh kerana ia sudah dibincang dengan panjang lebar baru-baru ini. Kolumnis itu menyindir bahawa Obama nampaknya tidak suka berulang kali membangkitkan isu sama walaupun ia berkaitan hak asasi manusia.

Walaupun Anwar sudah melakukan dosa paling besar, agak jelas Diehl tidak mahu imej ketua pembangkang itu terus tercalar di Amerika Syarikat, terutama di kalangan masyarakat Yahudi di negara itu.

Mengapakah Diehl berpendirian imej Anwar penting dipertahankan hanya boleh dijawab oleh beliau sendiri. Apa yang jelas kolumnis Washington Post itu berpuas hati Anwar sudah menebus dosanya itu.

Menurut Diehl, Anwar berkunjung ke Washington beberapa hari minggu lalu, untuk memberi penjelasan kepada kawan lama termasuk Pengerusi Hal Ehwal Luar Negara dewan perwakilan, Howard Berman, dan seorang dua pemimpin masyarakat Yahudi.

Menurut Diehl, Anwar menyatakan kekesalannya kerana menggunakan istilah seperti sikap agresif Zionis. Kenapa saya harus menggunakannya jika ia mencetuskan banyak salah faham? Saya harus lebih berhati-hati, Diehl memetik Anwar sebagai berkata. Jika betul petikan kata-kata Anwar oleh Diehl ini, tidaklah boleh dikatakan pemimpin pembangkang ini seorang yang berani.

Apa salahnya jika kita menyatakan Zionis ganas atau pengganas, kalau itu istilah yang tepat untuk menggambarkan tindakan mereka menzalimi penduduk Palestin sejak lebih setengah abad lalu. Mengapakah perlu kita apologetik jika kita menyatakan sesuatu yang benar? Bukankah benar rejim Zionis Israel selama ini berlaku kejam terhadap penduduk Palestin? Jika benar mengapakah kita tidak berani menegakkan kebenaran ini?

Tidak ada salah faham mengenai istilah Zionist aggression. Memang benar rejim itu mengganas di Palestin dan kenapa pula kita harus lebih berhati-hati untuk menggunakan perkataan ganas ini terhadap mereka.

Penindasan terhadap rakyat Palestin bukanlah sesuatu yang direka-reka. Ia sedang berlaku dan akan terus berlaku untuk sekian lama lagi jika masih ada pemimpin Muslim hanya berani mengecam kezaliman rejim Zionis ini di depan kelompok sendiri di kampung tetapi apabila berada di Washington, berhati-hati memilih perkataan yang tidak menimbulkan salah faham.

Tidak salah jika Zionis di Amerika melabel kita sebagai zealot atau fanatik. Itu fahaman mereka kerana kita menentang kezaliman mereka. Jika kita fanatik sekalipun ia adalah untuk menegakkan kebenaran dan menghapuskan kezaliman.

Jika tidak kerana keberanian beberapa rakyat Malaysia menyabung nyawa untuk menyertai konvoi kapal bantuan antarabangsa ke Gaza bulan lalu, tidak mungkin Israel rasa tertekan untuk melonggarkan sekatan mautnya terhadap wilayah Palestin itu. Mengapa ada pula tokoh pembangkang berkunjung ke Washington tidak pula mengambil kesempatan berjumpa dengan tokoh berpengaruh di sana untuk memberi tekanan tambahan kepada Tel Aviv. Apakah memulihkan imej peribadi beliau lebih utama daripada memperjuangkan nasib rakyat Palestin?

Retorik Pas (Part 3 @ terakhir)


Menurut pemimpin Pas, semua rakan di dalam pakatan pembangkang telah bersetuju dan menghormati dasar perjuangan Pas. 'Justeru, tidak timbul soal penolakan oleh mana-mana pemimpin DAP termasuk Karpal sendiri. Bagi saya, itu pandangan peribadi beliau. katanya

'Pandangan peribadi' - inilah istilah yang digunakan oleh hampir keseluruhan pemimpin Pas apabila diminta mengulas mengenai kenyataan terbaru Karpal itu.

Apa yang pasti Karpal bukanlah ahli biasa, tetapi Pengerusi DAP. Jadi, pandangan beliau sudah tentu dikongsi bersama oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Adakah kenyataan pemimpin Pas itu bermaksud Guan Eng akan membela Pas?

Sepatutnya Pas belajar terhadap apa yang berlaku di Selangor kerana biarpun Pas menyumbang kerusi kepada pembentukan kerajaan negeri tetapi suara Pas seolah-olah tidak didengari.

Beberapa usaha Pas untuk menerapkan nilai-nilai Islam ditentang hebat bukan sahaja oleh DAP tetapi juga pemimpin bukan Melayu dalam PKR. Kini, Pas tidak boleh melenting dengan kenyataan Karpal kerana Pas tidak ada kuasa untuk melawan kekuatan politik DAP mahupun PKR.

Sepatutnya, Pas menghormati Karpal kerana sentiasa konsisten dalam membuat sesuatu kenyataan. Keadaan tersebut berbeza dengan pemimpin-pemimpin Pas yang tidak pernah konsisten dalam pendirian mereka.

Akibat sikap tidak konsisten inilah, ia memungkinkan Pas hanya menjadi 'kawan mainan politik' kepada PKR dan DAP.

Mungkin pujian boleh diberikan kepada Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan yang dengan tegas menyatakan Pas bersedia mengkaji semula hubungan dengan DAP pada masa depan jika DAP terus mengamalkan sikap menikam dari belakang.

Sebenarnya, DAP selama ini bukan sahaja sudah menikam dari belakang, malah boleh disifatkan 'sudah menetak' Pas dari hadapan apabila sering sahaja melakukan tindakan yang kadangkala dilihat tidak menghormati Pas. Tetapi apa yang Pas boleh buat?

Oleh itu, apa juga penegasan dan kenyataan yang dibuat oleh Pas dalam isu negara Islam boleh dianggap retorik semata-mata. Pemimpin Pas terpaksa bersuara apabila ia disentuh oleh Karpal bagi menunjukkan kononnya Pas tetap ingin memperjuangkan konsep berkenaan.

Namun, ia hanyalah mainan lidah politik Pas sahaja. Hakikatnya, langkah bagi memperjuangkan konsep negara Islam tersebut semakin ditinggalkan oleh parti itu demi mencari kuasa bersama PKR dan DAP.

Retorik Pas (Part 2)


Dalam muktamar parti itu baru-baru ini, suara-suara mengenai perjuangan membentuk negara Islam langsung tidak kedengaran sama ada di kalangan pemimpin mahupun perwakilan Pas.

Nik Abdul Aziz hanya melenting apabila Karpal terus konsisten menolak penubuhan negara Islam. Kalau Karpal tidak bercakap maka sudah pasti isu negara Islam tidak disentuh oleh Pas.
Ini terbukti apabila dalam dua pilihan raya umum lalu, Pas dalam manifestonya tidak menyentuh soal negara Islam sehingga akhirnya memungkinkan konsep negara Islam yang mereka perkatakan hanya wujud dalam bentuk dokumen semata-mata tidak lebih daripada itu.

Konsep negara Islam hanya menjadi retorik politik kepada Pas kerana ia tidak bersungguh-sungguh hendak dilaksanakan oleh parti tersebut. Apa yang lebih penting bagi parti berkenaan ialah bersama-sama PKR dan DAP menggabungkan kekuatan bagi merebut tampuk kekuasaan negara dalam pilihan raya umum akan datang.
Atas sebab itulah, DAP dilihat tidak pernah menghormati dasar perjuangan Pas kerana mereka memahami bahawa Pas bersedia mengorbankan semua itu demi mencari kuasa politik.

Kita tidak harus lupa bahawa pada 25 Jun 1999, Nik Abdul Aziz sendiri pernah berkata, ''Pas sedia gugur slogan negara Islam, jadi untuk mencari perdamaian itu, setakat mana yang boleh kita hendak kepada Islam, tapi kalau nampak menyusahkan tak apa..."

Bagaimanapun seorang pemimpin Pas berkata, DAP sepatutnya menghormati dasar perjuangan Pas bukannya mengeluarkan kenyataan yang mengguris perasaan. Pas sentiasa bersedia bekerjasama dengan DAP selagi perasaan hormat-menghormati itu wujud. Selagi DAP hormati Pas, kita tidak ada masalah tetapi nampaknya DAP tidak mempunyai perasaan tersebut, sebab itulah Karpal sanggup mengeluarkan kenyataan itu.

Retorik Pas (Part 1)


Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah melancarkan dokumen negara Islam yang merangkumi semua aspek konsep negara Islam termasuk tasawur, dasar, ciri-ciri sehinggalah polisi umumnya.

Ketika itu, Pas berada dalam Barisan Alternatif (BA) bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Pada masa yang sama, kedua-dua parti itu turut mempunyai kerjasama dengan DAP yang memperjuangkan konsep 'Malaysian Malaysia'.

Malahan suatu ketika, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memuji pemimpin-pemimpin DAP kerana dikatakan semakin menerima Islam. Ketika berucap di konvensyen pakatan pembangkang di Shah Alam tidak lama dulu, Nik Abdul Aziz berkata, di dada Lim Kit Siang dan Karpal Singh ada tanda bulan (lambang Pas).

Kini, pujian Nik Abdul Aziz kepada DAP terutamanya Karpal mungkin berubah apabila Pengerusi DAP tersebut secara terbuka mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan Pas sekiranya pembangkang mengambil alih negara.

Pendirian itu membuatkan Menteri Besar Kelantan mencabar Karpal membuktikan konsep negara Islam acuan Pas yang telah dilaksanakan di Kelantan selama 20 tahun adalah salah.

Nik Abdul Aziz turut menganggap kenyataan Karpal yang menolak gagasan pembentukan konsep negara Islam Pas jika pakatan pembangkang menguasai pentadbiran negara sebagai kenyataan peribadi.

Sebenarnya tidak timbul soal kenyataan peribadi kerana sejak dari awal lagi sama ada Karpal mahupun DAP tidak pernah memperakui secara terbuka menyokong gagasan negara Islam yang diperjuangkan oleh Pas.

Tambahan pula sejak berkawan rapat dengan PKR dan DAP, Pas sendiri bukan sahaja sudah lama tidak bercakap soal menubuhkan negara Islam, malah ada pemimpin menganggap gagasan itu tidak ada dalam Perlembagaan parti tersebut.