UMNO Teluk Belanga's Fan Box

UMNO Teluk Belanga on Facebook

Followers

Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan....... Dato' Seri Najib Tun Abd Razak (PERDANA MENTERI MALAYSIA)

Monday, May 23, 2011

Transformasi politik Melayu

Melihat keadaan dalam parti UMNO sekarang, kami berpendapat bahawa parti ini sudah tidak mempunyai pilihan yang banyak lagi, kecuali melakukan perubahan besar (transformasi) ke atas struktur kuasa parti, khususnya di peringkat akar umbi. Namun begitu, usaha ini memerlukan keazaman politik yang tinggi di kalangan pucuk pimpinan tertinggi UMNO dan juga di kalangan cendekiawan dalam parti.

Memandangkan bahawa keadaan yang wujud dalam UMNO kini menunjukkan kebanyakan ahlinya bersikap "acuh tak acuh", sikap "tidak apa" (apati), maka kepada golongan cendekiawan di dalam partilah UMNO dan bangsa Melayu boleh menaruh harapan. Kepada merekalah kita berharap semangat "berani kerana benar" dapat disuburkan di dalam parti. Cendekiawan yang berpolitik perlu mengelakkan diri masing-masing daripada memainkan peranan sebagai legitimzer pemimpin tertinggi parti semata-mata. Oleh itu, kami menyarankan agar mereka yang telah berada dalam parti, mahupun yang masih berada di luar, hendaklah membuka ruang yang lebih luas untuk memainkan peranan sebagai penggerak perubahan yang dikemukan di atas.

Kami bimbang sekiranya beberapa gejala politik yang kurang sihat dalam UMNO sekarang tidak diatasi secepat mungkin, ianya bukan sahaja akan membawa kesan buruk kepada struktur organisasi parti, tetapi juga, yang paling menakutkan, akan menjejaskan proses kemunculan pemimpin parti dan pejuang bangsa Melayu yang berkebolehan dan berwibawa. Politik wang yang menulari UMNO sejak beberapa tahun kebelakangan ini hanya akan melahirkan pemimpin politik yang akan menghakis kekuatan politik bangsa Melayu.

Tentunya sukar bagi bangsa Melayu kemudian nanti sekiranya UMNO, sebagai jentera politik utama bagi orang Melayu dari segi organisasi dan kepimpinannya, menjadi lemah pada masa hadapan. Yang demikian, kami menyarankan supaya UMNO khususnya dan bangsa Melayu umumnya, haruslah bermula dari sekarang didedahkan kepada suatu proses pendidikan semula (reeducation) dan "resosialisasi" politik yang lebih mendalam sebelum parti yang menjadi tunjang aktivisme perjuangan bangsa Melayu ini dilanda kelesuan.

Program-program pendidikan semula politik dan resosialisasi ini sangat penting dirangka dan digerakkan bagi membolehkan UMNO melahirkan ahli parti yang bermutu dan pemimpin politik Melayu yang berkebolehan dan berkesan pada masa hadapan. Kami percaya bahawa hanya dengan adanya ahli yang berkesedaran serta tinggi iltizam politiknya, terutama terhadap nasib masa depan bangsa Melayu seluruhnya, sahajalah kita akan dapat memastikan aktiivisme perjuangan UMNO tidak akan mengalami kesuraman pada masa hadapan.

Proses resosialisasi politik hendaklah menekankan penerapan nilai-nilai seperti ketelusan, ketegasan, keberanian, kejujuran dan keikhlasan, kepentingan kolektif, kecekapan dan budaya ilmu sebagai asas utamanya. Nilai-nilai tersebut hendaklah dilembagakan sebagai budaya politik Melayu, khususnya UMNO. Sebagai parti utama orang Melayu dan kerajaan, pembangunan bangsa Melayu banyak bergantung pada keutuhan UMNO. Oleh itu, kami berpendapat, dengan suburnya nilai-nilai tersebut, ianya akan dapat menghindarkan kemunculan sikap dan tingkah laku politik yang menyimpang di kalangan ahli dan pemimpin parti. Kami percaya bahawa sekiranya keadaan seperti ini dapat diwujudkan, perjuangan UMNO dalam menegakkan kedaulatan dan keterampilan bangsa Melayu akan dapat dibebaskan daripada gangguan tindakan politik berkepentingan yang merosakkan.

Melalui proses uslah atau reformasi politik juga, kami menyarankan supaya diwujudkan "Mekanisme Penapisan Moral" ('Moral-filter mechanisme') yang jelas, yang berlandaskan prinsip dan nilai yang kami sebutkan di atas. Etos yang berlandaskan prinsip-prinsip etika dan moral Islam hendaklah menjadi teras kepada mekanisme tersebut. Budaya "malu" dan hukum dosa-pahala, halal-haram, terhadap kelakuan politik yang menyimpang dari etos tersebut hendaklah disuburkan di kalangan setiap lapisan ahli dan kepimpinan parti yang mengaku bahawa mereka adalah orang Melayu Islam yang sepatutnya takut kepada balasan dan azab Allah..

Meskipun proses transformasi politik yang dicadangkan ini lebih bertumpu kepada UMNO, tetapi kami berpendapat dari segi pelaksanaannya, rancangan ini hendaklah juga melibatkan parti-parti politik Melayu yang lain supaya proses resosialisasi politik yang hendak kita gerakkan itu juga turut dimanfaatkan dan disedari oleh setiap kumpulan politik orang Melayu.

Sebagai parti utama bangsa Melayu, kami mencadangkan agar UMNO, malahan dipihak PAS juga mengambil daya usaha untuk mengurangkan pertelingkahan atau perbezaan kualitatif di antara parti itu. Pada pandangan kami, pertelingkahan seperti ini, yang berlegar di sekitar persoalan ideologi dan falsafah perjuangan, merugikan bangsa Melayu dan perjuangan Islam. Cabaran globalisasi pada masa akan datang tidak akan mampu kita tangani sekiranya perbalahan politik di kalangan orang Melayu berterusan. Kemuafakatan tentang peranan Islam dalam pembangunan politik dan ekonomi orang Melayu harus diwujudkan. Di atas kepentingan masa depan bangsa kita, UMNO mahupun PAS, pada pandangan kami, perlu mencari jalan bagaimana muafakat itu dapat dicapai.

Menularnya politik kepentingan sempit

Secara umumnya, pada pandangan mata kasar kita, kekuatan dan pengaruh politik UMNO di negara ini masih teguh seperti dahulu. Namun begitu, kita perlu menyedari hakikat di sebalik keteguhan UMNO itu bahawa semangat dan roh kebangsaan Melayu yang menjadi penggerak utama perjuangan parti itu kini semakin luntur.

Ini menyebabkan banyak dasar yang diperjuangkan UMNO dahulu, misalnya dalam soal bahasa dan kebudayaan semakin kurang mendapat perhatian. Malahan sikap laissez-faire dari segi ekonomi telah juga turut mempengaruhi sikap UMNO terhadap persoalan bahasa dan budaya.

Selain bimbang terhadap penularan sikap laisez-faire tersebut, kita juga bimbang melihat betapa pemimpin UMNO di pelbagai peringkat semakin gagal mewujudkan perseimbangan di antara politik kepentingan umum (bangsa Melayu) dengan politik kepentingan sempit (diri dan puak) sebagai asas falsafah yang mendasari perjuangan mereka. Barangkali masalah ini tidak berapa ketara dahulu kerana kepimpinan parti ketika itu masih berupaya mewujudkan keseimbangan itu, kalaupun mereka tidak mengkesampingkan politik kepentingan yang sempit itu sepenuhnya.

Tetapi keadaan pada masa ini berlainan. Kepesatan pertumbuhan ekonomi negara dan kejayaan beberapa dasar kerajaan meningkatkan penguasaan Melayu dalam ekonomi negara dalam beberapa banyak hal mempengaruhi kelakuan politik di kalangan kepimpinan Melayu. Peluang mendapat kekayaan hasil kejayaan itu menyebabkan politik berkepentingan di kalangan pemimpin semakin berat sebelah.

Sifat individualisme di kalangan pemimpin politik semakin mendalam. Kelunturan idealisme parti pula menyebabkan kawalan dalam parti untuk mewujudkan perimbangan di antara kepentingan sempit dengan kepentingan yang lebih luas itu semakin lemah. Oleh itu, pada pandangan kami langkah yang tegas perlu diambil bagi mengekang aliran politik berkepentingan yang sempit itu daripada terus menular dalam parti. Nilai kolektivisme perlu dipupuk sebagai asas kepada budaya politik dan ekonomi bangsa Melayu.