PERJALANAN orang Melayu untuk mewujudkan sebuah negara yang berpandukan perlembagaan bukan saja amat sukar, berliku-liku serta penuh onak dan duri, bahkan sebenarnya orang Melayu mengalaminya dengan amat dahsyat sekali.
Sungguhpun orang Melayu tidak mandi darah ketika perlembagaan diwujudkan, namun ia sukar untuk memberi jaminan sengketa antara kaum tidak akan berlaku pada masa akan datang. Peristiwa 13 Mei 1969 tercetus kerana orang bukan Melayu tidak memahami asas-asas pembentukan negara.
Pertama sekali, orang Melayu tidak menerima penjajah British dengan mudah. Sejarah penjajahan di Tanah Melayu ditentang oleh orang Melayu sejak dari zaman Melaka ketika dijajah oleh Portugis, Belanda, British, Jepun, Siam dan kembali kepada British.
Penentangan Datuk Maharajalela di Pasir Salak, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Haji Mat Hasan Tok Janggut di Kelantan, tentangan Haji Abdul Rahman Limbong dan lain-lain perjuangan Melayu yang berlaku antara kurun ke-19 dan kurun ke-20 menunjukkan dengan jelas orang Melayu tidak suka kepada orang asing, apatah lagi orang asing yang bernama penjajah dan kaum imigran.
Pada kurun ke-19, orang Melayu sebenarnya telah menentang kemasukan imigran Cina dan India ke Tanah Melayu. Beberapa orang wakil Melayu yang menduduki kerusi Dewan Mesyuarat Kerajaan telah mengambil peluang untuk mengkritik dan menentang kemasukan buruh-buruh asing dalam sektor perlombongan, pertanian, dan perkapalan.
Namun oleh kerana orang Melayu tidak mempunyai taring dan kekuatan, hanya gigi dan lidah, maka kemasukan orang Cina dan India ke Tanah Melayu terus bermaharajalela. Keadaan ini berlaku sehingga menjelang Perang Dunia Kedua sampailah kepada penyerahan kerakyatan kepada orang bukan Melayu oleh pemimpin-pemimpin Melayu pada masa itu.
Oleh kerana orang Melayu tersangat lemah, tidak bersatu dan terlalu taksub dan taat kepada Raja di negeri-negeri, maka pada ketika itu komunis yang mewakili Parti Komunis Malaya (PKM) mengambil peluang untuk menubuhkan kerajaan Republik Komunis Malaya.
0 comments:
Post a Comment