UMNO Teluk Belanga's Fan Box

UMNO Teluk Belanga on Facebook

Followers

Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan....... Dato' Seri Najib Tun Abd Razak (PERDANA MENTERI MALAYSIA)

Thursday, July 22, 2010

Jangan Berhelah Tangani Isu Pasir


SUNGGUH malang bagi negara dan rakyatnya apabila setiap kali ada isu yang ditimbulkan, acap kali itulah ia dipolitikkan. Baik soal pelajaran, sekolah, biasiswa atau pun kemasukan ke universiti semuanya dipolitikkan.

Terbaru ialah isu perlombongan pasir yang berleluasa di Pulau Pinang, Johor dan Selangor khususnya di kawasan berdekatan Paya Indah Wetlands, dekat Sepang yang sudah pun diwartakan sebagai Rizab Tanah Lembap Negara.

Kini pihak berkuasa di Selangor menyalahkan media arus perdana kerana menimbulkan isu ini hanya untuk mempolitikkannya seolah-olah apa yang ditimbulkan tidak berlaku? Ada pula anggotanya mahu media memohon maaf kepada kerajaan negeri kerana mendedahkan kejadian itu.

Sepatutnya apa yang berlaku hasil daripada kegiatan perlombongan sehingga membawa kepada pencemaran alam sekitar dan kemusnahan alam semula jadi di kawasan Paya Indah Wetlands itu patut diberi perhatian serius.

Malangnya, oleh kerana ia dipolitikkan, kemusnahan kawasan perlombongan pasir yang dilakukan secara rakus oleh pihak tidak bertanggungjawab tanpa mempedulikan kemusnahan terhadap alam sekitar tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Sungguh menghairankan reaksi kerajaan Selangor yang memberikan permit perlombongan pasir itu membutakan matanya daripada perkara yang sedang berlaku di kawasan bersebelahan Paya Indah Wetlands, yang musnah akibat kegiatan manusia yang rakus.
Tidak dinafikan, usaha mendapatkan pasir amat diperlukan untuk sektor pembinaan. Tetapi dalam pada kebenaran diberikan untuk melombong pasir, apakah tidak boleh diwujudkan peraturan lebih tegas supaya kegiatan ini tidak memusnahkan alam sekitar? Dan dalam pada itu apakah kegiatan melombong pasir secara haram yang berleluasa tidak boleh dihapuskan?

Apakah kegiatan yang boleh menjejas kedudukan satu kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Rizab Tanah Lembap Negara yang dilindungi dan diwujudkan untuk memelihara kedudukan dan kepentingan pemuliharaan persekitaran Putrajaya dan Cyberjaya tidak boleh didedahkan?

Apabila didedahkan, kenapa pula ia dianggap helah politik Barisan Nasional (BN) untuk menjejaskan kedudukan kerajaan Selangor yang dikuasai Pakatan Pembangkang? Kiranya perkara ini tidak mahu ditimbulkan, apakah kerajaan Selangor tidak boleh lebih prihatin terhadap kegiatan perlombongan pasir, baik yang mendapat kebenaran, apatah lagi yang haram yang sedang berlaku secara berleluasa?

Apakah yang boleh dirumuskan daripada reaksi kerajaan Selangor, lebih-lebih lagi Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang mahu menunjukkan bahawa apa yang dilakukan hanya mengekori apa yang telah dibuat oleh kerajaan Selangor sebelum ini, ketika dikuasai BN dengan Datuk Seri Mohamad Khir Toyo sebagai Menteri Besarnya?

Maka itulah beliau mengancam hendak mendedahkan siapa yang telah mendapat faedah daripada beberapa syarikat yang diberikan permit untuk melombong pasir di Selangor ketika Mohamad Khir menjadi Menteri Besar.

Jika apa yang dilakukan dulu adalah salah, dua kesalahan tidak akan membaiki keadaan malah akan menjadikan keadaan lebih teruk.

Apa pun alasan ia tidak akan membaiki kemusnahan alam sekitar di kawasan bersebelahan Paya Indah Wetlands yang kini dipenuhi lubang yang dikatakan sedalam 60 meter. Kenapa perlu lubang begitu dalam dikorek? Apakah pasir masih terdapat sedalam itu?

Baik juga baginya mendedahkan siapa sebenarnya yang telah meraih keuntungan daripada perlombongan pasir di Selangor yang dikatakan amat menguntungkan kerana permintaan yang tinggi, bukan saja dari dalam negara, malah untuk dieksport.

Kita juga tahu bagaimana sebuah pulau di selatan Semenanjung amat memerlukan pasir, baik pasir darat – untuk industri pembinaannya – mahupun pasir air untuk kegiatan menambak membesarkan pulau berkeluasan sekangkang kera bagi menampung rakyatnya yang semakin berkembang.

Kerja-kerja melombong pasir bersebelahan Paya Indah Wetlands dikendalikan anak syarikat kerajaan negeri iaitu Kumpulan Semesta Sdn Bhd. Syarikat ini adalah satu-satunya yang dibenarkan menjalankan kegiatan melombong pasir. Ada dakwaan bahawa syarikat ini telah memberikan permit melombong pasir kepada sebuah syarikat lain untuk menjalankan kegiatan itu sejak akhir Jun lalu di atas kawasan seluas 20 hektar yang terletak hanya 50 meter dari taman rekreasi Paya Indah Wetlands yang dikhuatiri akan memberikan kesan jangka panjang terhadap ekologi dan habitat hidupan liar di kawasan itu.

Sebenarnya aktiviti syarikat itu didapati tidak mematuhi peraturan EMP (Prosedur Pengurusan Alam Sekitar) kerana kawasan itu sudah digali dan dikorek sedalam kira-kira 60 meter.

Oleh kerana kawasan itu tidak melebihi 50 hektar, maka kegiatan perlombongan yang dijalankan tidak memerlukan Kajian Penilaian Alam Sekitar (EIA). Kini sudah tiba masanya kerajaan menghalusi kehendak EIA untuk semua usaha pembangunan bagi menentukan penjagaan alam sekitar menjadi lebih berkesan.

Semua pihak harus ingat bahawa setiap kawasan kurniaan Allah inilah saja yang ada. Jika kita sendiri tidak menghiraukan pemuliharaannya, anak cucu kitalah yang akan berdepan dengan pelbagai masalah yang memudaratkan hasil kerakusan kita sendiri.

Tinjauan yang dibuat pegawai Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) mendapati sememangnya berlaku pencemaran yang teruk. Mereka juga mendapati tidak ada zon penampan selebar 20 meter dari kawasan sempadan bersebelahan Paya Indah Wetlands seperti yang digembar-gemburkan.

Agak menghairankan kenapa syarikat yang mengeluarkan pasir di situ perlu mengupah samseng jalanan atau tonto untuk menipu orang. Apa perlunya kumpulan untuk menipu ini diupah jika apa yang dilakukan mematuhi peraturan dan tidak menyalahi permit? Bagaimana pula samseng jalanan ini boleh dibiarkan bermaharajalela? Apakah negara ini tidak memiliki peraturan yang mendukung undang-undang?

0 comments: