UMNO Teluk Belanga's Fan Box

UMNO Teluk Belanga on Facebook

Followers

Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan....... Dato' Seri Najib Tun Abd Razak (PERDANA MENTERI MALAYSIA)

Thursday, July 22, 2010

MIC Perlu Pemimpin Muda


KETIKA berlangsungnya Perhimpunan Agung MIC ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini, seorang rakan bertanya apakah Presiden parti, Datuk Seri S Samy Vellu yang sudah lebih 30 tahun memimpin parti itu akan mengumumkan tarikh persaraannya.

Ramai menjangkakan pada hari terakhir perhimpunan, Samy Vellu seorang pemimpin politik veteran akan membuat kejutan seterusnya menyerahkan tampuk kepemimpinan kepada timbalannya, Datuk G Palanivel yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Namun, jawapan bekas Menteri Kerja Raya itu amat ringkas apabila ditanya mengenai persaraannya; “Saya tidak mahu mengatakan apa-apa mengenai diri saya khususnya kedudukan saya sebagai presiden parti dan lain-lain,” katanya.

Mei lalu, Samy Vellu yang juga bekas Ahli Parlimen Sungai Siput mengumumkan akan melepaskan jawatannya sebagai Presiden MIC yang disandang sejak 1979 pada Ogos tahun depan.

Umum mengetahui selepas berlalu Pilihan Raya Umum Mac 2008, MIC selaku parti terbesar mewakili masyarakat India di negara ini melalui pelbagai cabaran sehingga Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) ditubuhkan bagi mendesak pemimpin tertinggi parti itu untuk berundur awal.

Namun semua itu tidak mematahkan semangat Samy Vellu untuk terus memimpin MIC dan seterusnya merancang pelbagai perkara bagi memastikan MIC terus relevan kepada masyarakat India.

Ramai bertanya, berdasarkan perubahan demi perubahan yang dilakukan MIC, mampukah parti itu mengembalikan semula sokongan masyarakat India kepada Barisan Nasional (BN).
Ada berpendapat perkara itu sukar dilakukan oleh MIC, lebih-lebih lagi selepas wujudnya GAS yang ditubuhkan bekas Timbalan Ketua Pemuda parti, V Mugilan.

Seorang pemerhati politik memberitahu, walaupun wujud pelbagai kumpulan kecil yang kini mendakwa bersuara untuk kepentingan masyarakat India, tidak boleh dinafikan bahawa sumbangan MIC untuk masyarakat itu besar maknanya.

Samy Vellu berkata, MIC berjaya mendapatkan semula 50 peratus undi masyarakat India yang ‘hilang’ pada Pilihan Raya Umum 2008 dan tegasnya, perkara itu dapat dibuktikan melalui Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Perkara itu bukan bermakna MIC kini boleh bergembira sebaliknya perlu melancarkan ‘serangan’ baru untuk menawan kembali hati pengundi masyarakat India secara keseluruhan khususnya golongan muda.

Banyak program diperkenalkan oleh MIC tetapi sudah tiba masa untuk parti itu perlu melakukan satu bedah siasat, apakah semua rancangan yang dilancarkan oleh MIC benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat India.

Wujud satu lagi persoalan, apakah semua program itu mendapat sokongan penuh akar umbi kerana kedengaran juga aduan daripada ahli parti bahawa segelintir ketua cawangan MIC gagal turun padang.

Kini satu lagi tugas berat menanti MIC iaitu seramai 120,000 daripada 475,000 ahli parti itu masih belum mendaftar sebagai pengundi dan kini lebih 3,000 ketua cawangan parti akan diberi tugas untuk mengenal pasti mereka.

Dalam satu statistik yang diberikan Samy Vellu menunjukkan 955 ketua cawangan MIC berumur lingkungan 41 hingga 50 tahun, manakala pemimpin berusia melebihi 66 tahun adalah seramai 482 orang dan 50 orang berumur 30 tahun.

Melihat kepada perkara itu, kelihatan pemimpin muda amat berkurangan dan ada yang berpandangan sudah tiba waktunya untuk tenaga muda dalam parti diberi peluang untuk memimpin lebih banyak cawangan MIC.

Bagi menjayakan setiap program yang dirancang oleh parti itu, sudah pastinya MIC memerlukan tenaga muda untuk menjayakannya, ia bukan bermakna pemimpin veteran akan diketepikan tetapi mereka seharusnya memberi laluan kepada orang muda menunjukkan kehebatan mereka.

0 comments: