BERJINAK dengan sikap fanatik di Malaysia begitulah tajuk komentar Jackson Diehl, kolumnis akhbar Washington Post. Sikap fanatik atau zealot yang dimaksudkan Timbalan Editor ruang lidah pengarang akhbar utama Amerika Syarikat ini merujuk kepada tindakan seseorang yang menghentam Zionis atau Israel.
Bagi kebanyakan wartawan di Amerika Syarikat mahupun di Eropah, antara dosa paling besar ialah untuk menulis sesuatu yang negatif mengenai Zionis atau Israel walaupun ia benar. Zionis dan Israel diangkat oleh mereka ini sebagai terlalu maksum untuk dikecam.
Walaupun wartawan di Amerika dilindungi dengan kebebasan akhbar melalui peruntukan First Amendment dan rakan sejawatan mereka di Eropah melalui Artikel 10 Konvensyen Hak Asasi Manusia, tidak ramai di kalangan mereka berani mengecam Zionis atau Israel walaupun ia harus dilakukan demi menegakkan kebenaran.
Berikutan itu apabila seseorang berani berbuat demikian, orang itu dengan sewenang-wenangnya dilabel zealot atau fanatik seperti dilakukan Diehl dalam komentarnya itu yang disiarkan, Rabu lalu.
Orang yang dirujuk Diehl dalam komentarnya adalah ketua pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kolumnis Washington Post itu menulis dengan nada kesal retorik kasar Anwar terhadap Israel dan tuduhannya mengenai pengaruh Zionis (melalui Apco) di Malaysia.
Anwar yang dianggap Diehl sebagai foremost advocates of liberal democracy in Muslim countries (pelopor terulung demokrasi liberal di negara Muslim), dilihat pula cuba berjinak dengan sikap fanatik.
Namun, Diehl tidak sepenuhnya menyalahkan Anwar. Sebaliknya, Presiden Barack Obama pula dipersalahkan oleh kolumnis Washington Post ini. Bayangkan pemimpin negara kuasa dunia dipersalahkan atas keterlanjuran seorang tokoh politik Malaysia.
Menurut hujah Diehl, demokrat tertekan ini (Anwar) yang memperjuangkan kelangsungan hidup politik dan peribadinya, kurang dapat pertolongan Washington. Anwar, katanya, tidak lagi mendapat sokongan Amerika Syarikat seperti dinikmatinya ketika Al Gore menjadi Naib Presiden negara itu dulu.
Obama, kata Diehl, tidak langsung membuat kenyataan awam mengenai Anwar ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Washington April lalu.Dialog pegawai kanan kedua-dua negara bulan ini juga, kata kolumnis akhbar itu, tidak menyentuh perbicaraan liwat terbaru Anwar.
Jabatan Negara Amerika Syarikat, katanya menjelaskan isu itu tidak disentuh kerana ia sudah dibincang dengan panjang lebar baru-baru ini. Kolumnis itu menyindir bahawa Obama nampaknya tidak suka berulang kali membangkitkan isu sama walaupun ia berkaitan hak asasi manusia.
Walaupun Anwar sudah melakukan dosa paling besar, agak jelas Diehl tidak mahu imej ketua pembangkang itu terus tercalar di Amerika Syarikat, terutama di kalangan masyarakat Yahudi di negara itu.
Mengapakah Diehl berpendirian imej Anwar penting dipertahankan hanya boleh dijawab oleh beliau sendiri. Apa yang jelas kolumnis Washington Post itu berpuas hati Anwar sudah menebus dosanya itu.
Menurut Diehl, Anwar berkunjung ke Washington beberapa hari minggu lalu, untuk memberi penjelasan kepada kawan lama termasuk Pengerusi Hal Ehwal Luar Negara dewan perwakilan, Howard Berman, dan seorang dua pemimpin masyarakat Yahudi.
Menurut Diehl, Anwar menyatakan kekesalannya kerana menggunakan istilah seperti sikap agresif Zionis. Kenapa saya harus menggunakannya jika ia mencetuskan banyak salah faham? Saya harus lebih berhati-hati, Diehl memetik Anwar sebagai berkata. Jika betul petikan kata-kata Anwar oleh Diehl ini, tidaklah boleh dikatakan pemimpin pembangkang ini seorang yang berani.
Apa salahnya jika kita menyatakan Zionis ganas atau pengganas, kalau itu istilah yang tepat untuk menggambarkan tindakan mereka menzalimi penduduk Palestin sejak lebih setengah abad lalu. Mengapakah perlu kita apologetik jika kita menyatakan sesuatu yang benar? Bukankah benar rejim Zionis Israel selama ini berlaku kejam terhadap penduduk Palestin? Jika benar mengapakah kita tidak berani menegakkan kebenaran ini?
Tidak ada salah faham mengenai istilah Zionist aggression. Memang benar rejim itu mengganas di Palestin dan kenapa pula kita harus lebih berhati-hati untuk menggunakan perkataan ganas ini terhadap mereka.
Penindasan terhadap rakyat Palestin bukanlah sesuatu yang direka-reka. Ia sedang berlaku dan akan terus berlaku untuk sekian lama lagi jika masih ada pemimpin Muslim hanya berani mengecam kezaliman rejim Zionis ini di depan kelompok sendiri di kampung tetapi apabila berada di Washington, berhati-hati memilih perkataan yang tidak menimbulkan salah faham.
Tidak salah jika Zionis di Amerika melabel kita sebagai zealot atau fanatik. Itu fahaman mereka kerana kita menentang kezaliman mereka. Jika kita fanatik sekalipun ia adalah untuk menegakkan kebenaran dan menghapuskan kezaliman.
Jika tidak kerana keberanian beberapa rakyat Malaysia menyabung nyawa untuk menyertai konvoi kapal bantuan antarabangsa ke Gaza bulan lalu, tidak mungkin Israel rasa tertekan untuk melonggarkan sekatan mautnya terhadap wilayah Palestin itu. Mengapa ada pula tokoh pembangkang berkunjung ke Washington tidak pula mengambil kesempatan berjumpa dengan tokoh berpengaruh di sana untuk memberi tekanan tambahan kepada Tel Aviv. Apakah memulihkan imej peribadi beliau lebih utama daripada memperjuangkan nasib rakyat Palestin?
UMNO Teluk Belanga's Fan Box
UMNO Teluk Belanga on Facebook
Followers
Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan....... Dato' Seri Najib Tun Abd Razak (PERDANA MENTERI MALAYSIA)
Monday, July 5, 2010
Anwar Bersikap Fanatik Di Amerika
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment