Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah melancarkan dokumen negara Islam yang merangkumi semua aspek konsep negara Islam termasuk tasawur, dasar, ciri-ciri sehinggalah polisi umumnya.
Ketika itu, Pas berada dalam Barisan Alternatif (BA) bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Pada masa yang sama, kedua-dua parti itu turut mempunyai kerjasama dengan DAP yang memperjuangkan konsep 'Malaysian Malaysia'.
Malahan suatu ketika, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memuji pemimpin-pemimpin DAP kerana dikatakan semakin menerima Islam. Ketika berucap di konvensyen pakatan pembangkang di Shah Alam tidak lama dulu, Nik Abdul Aziz berkata, di dada Lim Kit Siang dan Karpal Singh ada tanda bulan (lambang Pas).
Kini, pujian Nik Abdul Aziz kepada DAP terutamanya Karpal mungkin berubah apabila Pengerusi DAP tersebut secara terbuka mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan Pas sekiranya pembangkang mengambil alih negara.
Pendirian itu membuatkan Menteri Besar Kelantan mencabar Karpal membuktikan konsep negara Islam acuan Pas yang telah dilaksanakan di Kelantan selama 20 tahun adalah salah.
Nik Abdul Aziz turut menganggap kenyataan Karpal yang menolak gagasan pembentukan konsep negara Islam Pas jika pakatan pembangkang menguasai pentadbiran negara sebagai kenyataan peribadi.
Sebenarnya tidak timbul soal kenyataan peribadi kerana sejak dari awal lagi sama ada Karpal mahupun DAP tidak pernah memperakui secara terbuka menyokong gagasan negara Islam yang diperjuangkan oleh Pas.
Tambahan pula sejak berkawan rapat dengan PKR dan DAP, Pas sendiri bukan sahaja sudah lama tidak bercakap soal menubuhkan negara Islam, malah ada pemimpin menganggap gagasan itu tidak ada dalam Perlembagaan parti tersebut.
0 comments:
Post a Comment