Laman web dan blog semakin berpengaruh dalam membentuk minda masyarakat kebelakangan ini. Dalam keadaan tertentu media baru ini dilihat mampu membentuk sikap dan tingkahlaku masyarakat dalam membuat sesuatu keputusan dan memiliki ’kuasa’ dalam mempengaruhi pemikiran rakyat.
Perkembangan pesat teknologi maya ini telah diikuti dengan pertambahan pengendali laman sesawang ini yang meningkat secara mendadak. Malaysia dianggar memiliki hampir 500,000 blog yang aktif dikendalikan oleh pelbagai pihak.
Pelbagai pendekatan dan usaha dibuat melalui penggunaan medium blog untuk menyebar maklumat dan juga usaha mempengaruhi orang ramai dalam pelbagai aspek sama ada dalam bentuk perniagaan, hiburan, pendidikan, perbincangan isu dan sebagainya. Bahan yang berbagai yang disalur oleh laman web dan blog membolehkan orangramai mendapat maklumat yang cepat dan mudah.
Namun begitu, perkembangan terakhir ini menyaksikan beberapa perkara negatif telah meresap dalam dunia web dan blog. Teknologi moden alam maya yang bertujuan untuk memudahkan orang ramai mengakses maklumat telah disalahguna oleh pihak-pihak tertentu. Perbuatan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini telah meninggalkan kesan yang serius terhadap reputasi laman web dan blog.
Kebelakangan ini terdapat banyak laman blog dan web yang secara sengaja dan terancang telah menyiarkan artikel yang menyalahi undang-undang negara seperti menyalurkan bahan lucah, menghina, mengugut dan menabur perasaan benci sesama rakyat.
Ada laman web dan blog yang dilihat menggalakkan perilaku yang boleh menyebabkan kekacauan dan ketegangan di dalam dan di luar negara serta pelanggaran undang-undang Malaysia dan antara bangsa serta menganjur perbuatan yang boleh membahayakan individu, organisasi atau masyarakat keseluruhannya.
Terdapat juga laman blog dan web yang dibangunkan menjalankan kegiatan haram seperti skim cepat kaya, skim piramid dan surat berantai, melakukan pengeboman mel kepada e-mel, melakukan kegiatan haram seperti mengambil, menyimpan dan mengedar harta intelek, rahsia dan perdagangan barangan yang dilindungi hak cipta serta mencerobohi peralatan yang dimiliki individu, kumpulan atau organisasi yang boleh menyebabkan gangguan perkhidmatan.
Tidak kurang juga laman web dan blog yang cuba menimbulkan suasana tidak harmoni dalam masyarakat dan mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keharmonian rakyat dengan menimbulkan pelbagai spekulasi songsang, andaian dan persepsi yang tidak menjurus kepada perkara sebenar dan juga yang mengeluarkan kenyataan tanpa asas atau fakta yang kukuh serta membuat tuduhan-tuduhan liar, palsu, fitnah dan berbentuk hasutan.
Untuk memastikan pengendali laman web dan blog supaya lebih bertanggungjawab terhadap kandungan bahan yang disiarkan bagi mengelak sebarang implikasi negatif, beberapa undang-undang telah digubal dan boleh dikenakan kepada pengendali laman web dan blog.
Akta Perundangan yang diguna pakai berkenaan dengan laman web dan blog ialah Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (AKM). Akta ini mengandungi peruntukan melarang penerbitan kandungan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik dengan niat mengacau, mendera, atau mengganggu sesiapa seperti dilakukan beberapa penulis blog di negara ini.
Selain Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, ada juga beberapa peruntukan jenayah lain yang boleh diguna pakai termasuk Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta Hak Cipta 1987, Akta Jualan Langsung 1993, Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA) 1972, Akta Syarikat 1965, Akta Bank dan Institusi Kewangan Malaysia 1989 dan Akta Industri Sekuriti 1983.
Pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna diberi kuasa untuk mengambil tindakan terhadap laman blog dan web tidak bertanggungjawab.
Misalnya, jika didapati sesuatu laman web /blog menyalahi undang-undang, tindakan akan diambil dengan mengarahkan Internet Service Provider (ISP) menyekat laman-laman web tertentu yang menyalahi undang-undang negara di bawah peruntukan pencegahan yang dibenarkan oleh Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKM 98).
Tindakan ini tidak boleh dianggap sebagai menapis Internet, sebaliknya ia adalah tindakan penguatkuasaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang negara.
Sepanjang tempoh Januari 2008 hingga Julai 2009, sebanyak 470 laman web yang didapati melakukan kesalahan telah dikenakan tindakan sekatan oleh Internet Service Provider (ISP) atas arahan SKMM. Begitu juga dengan beberapa kes pendakwaan di mahkamah atas kesalahan tertentu seperti kes Raja Petra Kamarudin (RPK) didakwa menghasut berhubung dengan artikel beliau di Malaysia Today, “Let’s Send the Altantuya Murderers to Hell” pada 25 April 2008.
Undang-undang yang dirangka ini bukanlah untuk menyusahkan orang ramai tetapi lebih kepada mengelakkan perkara buruk berlaku dalam masyarakat kita serta mendidik masyarakat mengenai etika penggunaan Internet. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mewujudkan keharmonian dalam masyarakat dan menjaga kestabilan negara.
Mereka yang tidak bertanggungjawab dan mengamalkan budaya negatif seperti menyebarkan maklumat palsu, memfitnah dan menghasut rakyat untuk melakukan sesuatu yang negatif langsung tidak membantu dalam konteks pembangunan negara. Perbuatan songsang mereka bukan setakat tidak memberi faedah atau nilai tambah dalam masyarakat, malah boleh meruntuh dan memusnahkan sesuatu bangsa dan negara.
UMNO Teluk Belanga's Fan Box
UMNO Teluk Belanga on Facebook
Followers
Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan....... Dato' Seri Najib Tun Abd Razak (PERDANA MENTERI MALAYSIA)
Saturday, June 26, 2010
Laman Web dan Blog Semakin Berpengaruh?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment