UMNO Teluk Belanga's Fan Box

UMNO Teluk Belanga on Facebook

Followers

Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan....... Dato' Seri Najib Tun Abd Razak (PERDANA MENTERI MALAYSIA)

Monday, May 23, 2011

Menularnya politik kepentingan sempit

Secara umumnya, pada pandangan mata kasar kita, kekuatan dan pengaruh politik UMNO di negara ini masih teguh seperti dahulu. Namun begitu, kita perlu menyedari hakikat di sebalik keteguhan UMNO itu bahawa semangat dan roh kebangsaan Melayu yang menjadi penggerak utama perjuangan parti itu kini semakin luntur.

Ini menyebabkan banyak dasar yang diperjuangkan UMNO dahulu, misalnya dalam soal bahasa dan kebudayaan semakin kurang mendapat perhatian. Malahan sikap laissez-faire dari segi ekonomi telah juga turut mempengaruhi sikap UMNO terhadap persoalan bahasa dan budaya.

Selain bimbang terhadap penularan sikap laisez-faire tersebut, kita juga bimbang melihat betapa pemimpin UMNO di pelbagai peringkat semakin gagal mewujudkan perseimbangan di antara politik kepentingan umum (bangsa Melayu) dengan politik kepentingan sempit (diri dan puak) sebagai asas falsafah yang mendasari perjuangan mereka. Barangkali masalah ini tidak berapa ketara dahulu kerana kepimpinan parti ketika itu masih berupaya mewujudkan keseimbangan itu, kalaupun mereka tidak mengkesampingkan politik kepentingan yang sempit itu sepenuhnya.

Tetapi keadaan pada masa ini berlainan. Kepesatan pertumbuhan ekonomi negara dan kejayaan beberapa dasar kerajaan meningkatkan penguasaan Melayu dalam ekonomi negara dalam beberapa banyak hal mempengaruhi kelakuan politik di kalangan kepimpinan Melayu. Peluang mendapat kekayaan hasil kejayaan itu menyebabkan politik berkepentingan di kalangan pemimpin semakin berat sebelah.

Sifat individualisme di kalangan pemimpin politik semakin mendalam. Kelunturan idealisme parti pula menyebabkan kawalan dalam parti untuk mewujudkan perimbangan di antara kepentingan sempit dengan kepentingan yang lebih luas itu semakin lemah. Oleh itu, pada pandangan kami langkah yang tegas perlu diambil bagi mengekang aliran politik berkepentingan yang sempit itu daripada terus menular dalam parti. Nilai kolektivisme perlu dipupuk sebagai asas kepada budaya politik dan ekonomi bangsa Melayu.

0 comments: