UMNO Teluk Belanga's Fan Box

UMNO Teluk Belanga on Facebook

Followers

Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan....... Dato' Seri Najib Tun Abd Razak (PERDANA MENTERI MALAYSIA)

Saturday, June 12, 2010

Impak Laman Sosial



Semua negara yang sedang membangun telah menerima hakikat bahawa komunikasi begitu penting sebagai alat dasar dan bertindak sebagai wahana dalam merencanakan pembangunan. Negara kita, Malaysia juga tidak terkecuali dalam hal ini. Kini, dalam era globalisasi yang kian rancak, komunikasi boleh dilakukan melalui pelbagai saluran. Penggunaan media baru seperti internet dan blog telah menyebabkan komunikasi melalui perantaraan komputer semakin pantas mengorak langkah.


Semakin ramai pengguna terutamanya golongan remaja mula memilih untuk menggunakan laman sosial sebagai medium interaksi sesama mereka. Antara laman sosial yang popular dalam kalangan masyarakat Malaysia hari ini ialah Facebook, Twitter, Myspace, Friendster dan Tagged. Jika dibandingkan semua laman sesawang yang tersenarai, Facebook dan Twitter menjadi dua rangkaian komunikasi sosial masa kini yang paling digilai ramai. Malahan saya sendiri turut mempunyai akaun Facebook dan aktif melayarinya.


Pada asasnya, komunikasi dapat ditakrifkan sebagai proses yang berlaku apabila seseorang (atau lebih) menghantar atau menerima mesej yang disalurkan dalam konteks tertentu, serta berkesan dan menyediakan peluang untuk maklum balas (feedback). Kadangkala proses penyaluran mesej menerima gangguan. Oleh itu, pada dasarnya Facebook dan Twitter agak jelas menepati takrifan ini sebagai satu medium komunikasi.

Berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap rakyat Malaysia, mereka nyata lebih selesa menggunakan Facebook berbanding Twitter. Bersumberkan rangkaian pengiklanan dalam talian berasaskan carian iaitu Chitika, kajian mendapati pengguna Twitter mahukan berita manakala pengguna Facebook biasanya lebih berminat kepada topik-topik semasa.


Tidak keterlaluan jika dikatakan Facebook dan Twitter ini sebenarnya membantu kepada pembangunan sosial sesebuah komuniti. Dengan hanya melayarinya, pengguna dapat berinteraksi dengan rakan-rakan dari seluruh dunia. Pengguna boleh menambah rakan-rakan yang mereka inginkan sama ada mengenalinya ataupun tidak.


Kini, penggunaan Facebook dan Twitter tidak sekadar menjadi ruangan sembang kosong atau hanya untuk meluangkan masa lapang. Laman ini turut menjadi satu cara untuk kerajaan terutamanya pemimpin menyelami masalah rakyat dan mendekati golongan masyarakat. Bayangkan betapa besarnya pengaruh laman sosial kepada sesebuah negara. Hal ini terbukti apabila Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak juga membuat akaun Facebook. Di sini, jelaslah kita bahawa laman sosial sememangnya menjadi penggerak kepada pembangunan sesebuah negara.


Media baru telah dijadikan medium antara kerajaan dengan rakyat. Menurut akhbar Utusan Malaysia bertarikh 23 November 2009, populariti Datuk Seri Najib Tun Razak di laman sosial Facebook terus melonjak apabila sehingga pukul 4 petang pada hari tersebut seramai 24,052 pengguna telah mendaftar sebagai peminat beliau. Peminat Perdana Menteri meningkat begitu mendadak berbanding ketika beliau mengumumkan penyertaannya dalam laman itu pada 16 November 2009.


Peminat beliau di Facebook telah menggelarkannya sebagai Perdana Menteri 1Malaysia selaras dengan gagasan 1Malaysia untuk menyatukan rakyat negara ini yang bertemakan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Oleh itu, segala pandangan dan pendapat baik yang bersifat positif mahupun negatif dapat digunakan oleh Perdana Menteri dalam agendanya untuk membangunkan negara. Beliau dapat menilai pandangan rakyat terhadap kepimpinannya melalui laman ini, seterusnya mencorakkan pemerintahan dan pembangunan mengikut kehendak rakyat.


Di sebalik kebaikan yang terserlah daripada penggunaan laman sosial yang semakin meluas, kita tidak dapat menolak bahawa laman ini juga membawa impak negatif kepada pembangunan sosial dan masyarakat. Penggunaan laman Facebook dan Twitter turut mempunyai isu dan kesan yang mendalam kepada komuniti.

Salah satu daripadanya ialah membuang masa dan melalaikan. Bayangkan jika golongan remaja asyik terperap di depan komputer peribadi mengadap Facebook dan Twitter, peranan mereka sebagai pemangkin pembangunan negara pasti tercalar.


Selain itu, penggunaan laman sosial sebagai rangkaian komunikasi yang tidak terbatas telah berpotensi menyebabkan wujudnya penyebaran berita dan fitnah yang boleh menggugat kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Tidak mustahil pembangunan negara akan terjejas dengan tersebarnya fitnah yang melampau. Hal ini berikutan satu laporan berita yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian bertarikh 14 Januari 2010. Laporan itu mengatakan, “Bukit Aman sedang memantau laman sosial popular, Facebook yang digunakan individu atau kumpulan tertentu bagi menyebarkan provokasi bertujuan menghasut orang ramai berhubung isu kalimah Allah dan cubaan membakar gereja sebelum ini”. Laporan akhbar tersebut menyiarkan, seorang lelaki berusia 25 tahun telah mengaku terlibat dalam rancangan membakar gereja di laman tersebut. Lanjutan daripada kes tersebut, pihak polis telah menyiasat perkara berkenaan menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Laman sosial yang disalah guna oleh pihak tertentu mengundang gejala kurang sihat yang berleluasa seperti seks bebas dan pergaulan bebas. Lantaran itu, wujud pula masalah pembuangan anak. Masalah ini jika berterusan pasti akan membawa kesan yang negatif kepada pembangunan social. Kebanyakan “chatters” laman sosial, menggunakan laman itu untuk bersosial. Justeru, tidak mustahil sekiranya ada segelintir yang cuba mengambil kesempatan terhadap laman ini untuk tujuan tertentu. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh pelajar dan pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam, 62 peratus “chatters” adalah lelaki yang memberi nombor telefon untuk dihubungi bagi tujuan bersosial dan selebihnya adalah perempuan. Kajian itu turut mendapati 45 peratus penggunanya lebih gemar membicarakan tentang seks.


Hakikat yang perlu kita terima, Facebook dan Twitter telah menjadi kegilaan sebahagian besar rakyat Malaysia tanpa mengira usia. Jika diaplikasi secara berhemah, penggunaannya jelas mampu berfungsi sebagai agen pembangunan sosial kerana melibatkan sebahagian besar masyarakat. Rakyat pada masa ini pula dekat dengan media baru. Namun, impak negatif yang wujud juga harus diberi perhatian serius. Kita boleh mencontohi apa yang baik, dan sebagai manusia yang dikurniakan dengan akal, pastinya kita perlu menangkis setiap perkara yang buruk. Begitu jugalah dalam soal ini, Facebook dan Twitter dapat mempercepat pembangunan namun apa yang negatif haruslah dihindari agar norma-norma dalam masyarakat terus terpelihara.

0 comments: