UMNO Teluk Belanga's Fan Box

UMNO Teluk Belanga on Facebook

Followers

Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan....... Dato' Seri Najib Tun Abd Razak (PERDANA MENTERI MALAYSIA)

Thursday, June 24, 2010

Dapatkah rasuah dihapuskan?


SOAL rasuah sememangnya tidak berkesudahan. Malah ia dikatakan semakin menjadi hingga terdapat mereka yang terbabit dengannya sedikit pun tidak takut melakukannya. Walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwujudkan bagi mengambil alih daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan kuasa yang lebih meyakinkan, persepsi orang ramai terhadap keberkesanannya masih tidak berubah.

Dikatakan gejala rasuah ini semakin menjadi seperti barah yang sudah tidak dapat lagi diubati walaupun kerajaan sekarang ini nampaknya lebih serius dan bermaya untuk mengatasinya kalau pun tidak dapat dihapuskan langsung. Demikian juga SPRM pun kelihatan lebih berazam hendak menghapuskan gejala yang boleh menjejaskan pembangunan dan kemajuan negara, malah juga pandangan asing terhadap kita. Persepsi ramai terhadap SPRM ialah ia masih tidak dapat menangani atau pun menjejaskan perlakuan buruk ini jangankan hendak menghapuskannya.

Apa tidaknya apabila dilihat dari beberapa kes terakhir yang mana ia gagal menyabitkan tertuduh apabila dihadapkan ke mahkamah kerana tidak dapat menyediakan bukti kukuh. Dalam pada itu persepsi ramai bahawa ia hanyalah mampu bertindak terhadap ‘ikan kecil’, manakala ‘ikan jerung’ terus kebal daripada tindakan juga tidak membantu dalam usahanya memerangi gejala buruk ini.

Oleh itu, orang ramai turut membandingkannya dengan badan pencegah rasuah Hong Kong, iaitu Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (Independent Commission Against Corruption) yang dikatakan berjaya menghapuskan gejala ini yang pada suatu masa dulu amat berleluasa di Hong Kong.

Tetapi apa yang melegakan, SPRM nampaknya semakin serius dan berusaha keras untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan dan berwibawa. Apa pun disedari hasrat ini saja tidak memadai untuk mengubah pandangan ramai terhadapnya.

Apa yang diperlukan untuk meyakinkan orang ramai terhadap kredibilitinya ialah dengan berjaya menangkap dan mendapatkan hukuman setimpal terhadap pelaku dan penerima rasuah. Ini saja jalannya tidak ada cara lain lagi.

Dalam hal ini ia sememangnya perlukan bantuan daripada segenap lapisan rakyat yang benar-benar mahu menghapuskan gejala buruk ini termasuk juga media.

Dalam pada itu beberapa perlakuan yang amat tidak menyenangkan terus saja berlaku yang menunjukkan bagaimana menularnya kegiatan rasuah dalam kalangan perkhidmatan awam. Oleh itu persepsi orang ramai terhadap perkhidmatan awam kita sememangnya amat buruk sekali.

Apa tidaknya kalau difikirkan perkhidmatan ini adalah untuk memberi khidmat kepada rakyat seperti namanya. Ini bermakna semua kakitangan kerajaan diberi amanah untuk menjalankan tugas mereka dengan baik, berhemah dan ikhlas.

Tetapi apakah rakyat boleh mengharapkan demikian. Apa yang sedang berlaku sekarang menunjukkan betapa buruknya kedudukan perkhidmatan awam kita dibandingkan dengan yang wujud waktu peninggalan penjajah British dulu.

Sememangnya bukan semua kakitangan kerajaan terjerumus dengan kegiatan rasuah ini. Memang ada yang amat prihatin dan tidak senang dengan apa yang sedang berlaku. Malangnya mereka ini seolah-olah tidak berupaya untuk melawan arus.

Ramai mengetahui bahawa gejala rasuah sememangnya berleluasa dalam kalangan pelbagai perkhidmatan kerajaan. Di mana ada yang memerlukan lesen, permit atau pelbagai macam permohonan bagi mendapatkan kelulusan pihak tertentu dalam kerajaan baik pada peringkat kerajaan tempatan, jabatan, agensi dan juga kementerian mesti ada yang mahu menghulurkan wang atau lebih buruk lagi apabila penjawat tanpa segan-silu memintanya sebagai syarat untuk memberikan pertimbangan pelbagai permohonan itu.

Dalam pada itu pihak yang diberi kuasa memantau dan menguatkuasakan pelbagai peraturan itu juga dikatakan mahu ‘tumpang sekaki’ mendapat habuan. Maka dengan itu persepsi orang ramai terhadap perkhidmatan awam kita sekarang sememangnya amat buruk sekali.

Dalam hal ini media, khususnya mempunyai peranan besar untuk menanganinya. Amat menghairankan tidak ada satu pun akhbar yang memberi ruang kepada ucapan yang amat bernas daripada Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Razaleigh Hamzah mengenai gejala rasuah ini dalam negara.

Beliau berucap pada majlis pelancaran buku mengenai bekas Pengarah BPR, Datuk Shafee Yahaya yang ditulis isterinya, Datin Kalsom Taib. Apa yang dihuraikannya mengenai gejala ini amat tepat sekali dan harus mendapat perhatian ramai kiranya kita benar-benar serius mahu menghapuskannya.

Antaranya ialah bagaimana kedudukan parti politik yang membawa kepada kedudukan sekarang dengan sistem kroni dan ‘rent seeking’ memberikan tender sesuatu projek kepada yang tidak layak hingga menjejaskan projek daripada apa yang dirancangkan.

Gejala buruk ini tidak akan dapat bertahan lama kerana ia hanya akan menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan dan parti politik yang dianggap terbabit dengannya. Oleh itu kerajaan harus mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku pada pilihan raya lalu yang mana rakyat telah mengundi menentang kerajaan bukannya sangat kerana menyokong pembangkang.

Beliau juga mencadangkan pemberian bantuan dana kepada parti politik perlu diubah dengan mengadakan undang-undang mengawal bantuan itu. Apa-apa bantuan yang diberikan harus dihadkan untuk menghalang sesuatu pihak dapat mempengaruhi sesebuah parti untuk kepentingan pemberi dana.

Dalam pada itu kerajaan juga harus menubuhkan tabung untuk memberikan dana kepada setiap parti berdaftar mendapat wang untuk urusan operasi yang sah. Ini akan menutup usaha parti mendapatkan dana untuk kegiatannya melalui pelbagai kontrak kerajaan.

Ini adalah cadangan yang bernas yang sepatutnya diberi ruang oleh akhbar. Kiranya ucapan demikian tidak mendapat tempat dalam akhbar arus perdana, orang ramai masih boleh mendapatkannya melalui internet dan ini dengan sendirinya boleh menjejaskan lagi kredibiliti media arus perdana.

0 comments: