UMNO Teluk Belanga's Fan Box

UMNO Teluk Belanga on Facebook

Followers

Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan....... Dato' Seri Najib Tun Abd Razak (PERDANA MENTERI MALAYSIA)

Sunday, August 29, 2010

Islam dan UMNO

Ada beberapa tokoh-tokoh UMNO bertanya pendapat saya, apakah caranya untuk memulihkan UMNO. Saya akui bahawa saya bukan 'orang politik' untuk menghuraikan masalah UMNO. Namun, sebagai seorang yang dianggap ada sedikit sebanyak pengetahuan tentang Islam, saya ingin menyentuh soal Islam dalam UMNO. Islam itu sebagai addin dalam kehidupan masyarakat Islam, termasuklah masyarakat melayu yang secara majoritinya mengakui Islam sebagai nadi hidup mereka. Jika UMNO inginkan masyarakat melayu menerima mereka, UMNO mestilah mendokong dan menjaga nadi hidup mereka ini dengan baik.

Justeru itu, jawapan saya mudah sahaja: "UMNO! Kembalilah kepada Islam tulen! UMNO mesti memainkan peranan sebagai gerakan dakwah kepada Islam yang tulen, moderat dan progresif. Apabila saya kata demikian, bukan bererti saya menafikan keislaman UMNO sebelum ini, atau unsur-unsur Islam yang sedia ada dalam UMNO. Namun apa yang jelas keislaman UMNO itu perlu diperkukuh dan proses perbaikan kelemahan perlu dibuat segera.

Allah sendiri dalam al-Quran pernah menyebut: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kepada kitab (al-Quran) yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya (Muhammad SAW), juga kepada Kitab yang telah diturunkan sebelum daripada itu. Dan sesiapa yang ingkar kepada Allah, Malaikat-malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh. (Surah al-Nisa, ayat 136).

Dalam ayat ini Allah memerintahkan orang yang beriman agar beriman. Bagaimana begitu? Tidakkah itu seakan-akan memerintahkan apa yang sudah terlaksana?! Tidak! Maksudnya seperti kata al-Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini: "Allah taala memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman agar masuk secara keseluruhan dalam segala syariat iman, cabang, rukun dan tiangnya. Ini bukan suruhan agar melakukan perkara yang sudah tersedia, sebaliknya ia bermaksud lebih menyempurnakan yang sempurna, menetapkan, mengukuhkan dan berterusan atasnya". Dalam konteks UMNO, hendaklah mereka menghidupkan Islam dalam gerakannya kerana yang sedia ada itu tidak mencukupi.

Di sini, saya tidak mahu bercakap tentang falsafah-falsafah politik yang besar-besar. Sudah saya sentuh isu-isu yang lebih prinsip dalam banyak tulisan saya yang lepas. Saya juga tidak berbicara untuk tujuan bagaimana UMNO ingin mengekalkan kuasa. Itu kerja orang politik. Saya bercakap untuk kepentingan setiap individu muslim yang ada dalam UMNO. Saya ingin mengajak orang UMNO berfikir secara 'kampung' sahaja. Saya harap orang UMNO jangan kecil hati, saya bermaksud ingin menceritakan ubat bukan untuk menambahkan penyakit.

Saya ingin bertanya, apakah kita dengar seorang ibu atau bapa menyebut: 'anak saya dulu lemah pegangan Islamnya, atau kefahaman Islamnya, tetapi sekarang menjadi muslim yang baik penghayatan dan kefahamannya kerana aktif dalam UMNO?!. Atau anak saya dahulu kurang kefahaman agamanya tetapi selepas aktif UMNO, dia lebih memahami Islam yang sebenar. Saya rasa agak sukar ungkapan seperti itu ditemui. Jika adapun mungkin kes terpencil bukan fenomena umum.

'Menulis' semula masa depan UMNO


SEIRING Perhimpunan Agung UMNO tidak lama lagi, tulisan saya kali ini berkisar di bawah perspektif Re-Writing The Future History of UMNO atau "Menulis Semula Sejarah Depan UMNO". Ia saya wacanakan bersama cetusan emosi setelah meneliti pelbagai emel daripada mereka yang membaca ruangan ini. Ada di antara e-mel berkenaan yang mempersoalkan kedudukan artikel-artikel saya yang sesekali condong "menyokong UMNO" dan menuduh saya begitu serius mempertahankan UMNO. Malah terdapat juga sebilangan kecil pengirim mempersoalkan "apa perlunya berbuat demikian?"

Menjawab persoalan-persoalan ini, cukuplah barangkali kalau saya katakan bahawa saya masih melihat perjuangan memperkasa dan memperbetulkan UMNO sebagai jalan terbaik demi masa depan orang Melayu di Malaysia. Rasionalnya, sehingga kini belum ada parti - termasuk Pas - yang cukup layak, berkredibiliti dan berkemampuan daripada aspek intelektual untuk terus memacu Islam, Melayu dan Malaysia ke mercu kejayaan.

Pengalaman mengendalikan negara berbilang kaum, menyusun rancangan ekonomi, hubungan diplomatik di peringkat antarabangsa dan mengatasi ancaman musuh luar yang dimiliki UMNO adalah terlalu essential dan tidak boleh diperolehi dalam masa singkat.

Dalam kata lain, sekiranya ada kelompok Melayu yang berhajat untuk menggantikan UMNO seluruhnya, ia akan mengakibatkan orang Melayu terpaksa "belajar semula dari bawah".

Begitu juga selama mana orang Melayu masih gagal bersatu padu sepenuhnya, selagi itulah UMNO masih perlu dipertahankan dan perjuangan perlu dipertingkatkan. Apatah lagi di saat-saat kumpulan Melayu terlerai kepada tiga pecahan besar ketika ini.
Hari ini orang Melayu bagaikan semakin hilang punca dan tidak keruan melihat pendekatan politik 'gila-gila' perikatan pembangkang yang kononnya mewakili Melayu dan Islam dalam usaha menggapai kuasa.

Soal moral dan asas perjuangan seolah-olah sudah boleh dijual beli. Sebagai contoh, orang Melayu sehingga terpaksa meminta bantuan NGO-NGO Islam dalam kes kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam.

Makin parah lagi apabila tali persaudaraan demi survival bangsa yang dihulurkan UMNO ditolak mentah-mentah oleh Pas atas alasan "sengketa lama". Oleh itu, UMNO sebenarnya tidak ada jalan lagi melainkan memperbetulkan semula kesilapannya jika mahu meraih kembali sokongan Melayu demi masa depan negara. UMNO bukan zombie yang mempunyai jasad tetap tanpa mata hati.

Sebenarnya, ini boleh dilakukan jika pimpinan UMNO jujur dan tidak hipokrit. Hentikan pendekatan branding yang melampau tanpa pengisian roh Islam kerana ia bakal menjadikan UMNO seperti zombie.

Selain itu, pemimpin perlu mencari jalan untuk memenuhi pengharapan, tuntutan dan keinginan khususnya daripada kumpulan pengundi muda Melayu.
Antaranya termasuklah pengharapan tinggi agar UMNO terus memperkasakan elemen Islam yang menjadi jati diri akhlak dan budaya Melayu.

Resolusi 1Malaysia bagi saya hanyalah pendekatan untuk menyelesaikan isu perbezaaan bangsa, bahasa dan budaya sahaja tetapi bukan perbezaan agama. Kalau digunakan formula yang sama juga, tidak masuk akal jika kita wujudkan kempen "1Agama" sedangkan gagasan Inter Faith Commission (IFC) juga ditentang habis-habisan oleh masyarakat Islam Malaysia.

Atas dasar inilah, jasa-jasa UMNO dalam memartabatkan Islam perlu digali dan dihebahkan seluas mungkin sebagai sebuah organisasi Melayu yang memperjuangkan Islam selama ini. Pelaksanaan agenda Islam melalui pelbagai dasar dan pelaksanaan kerajaan melalui agensi-agensi negeri dan organisasi seperti Tabung Haji, mahkamah syariah, UIA dan Jakim.

Begitu juga hukuman sebat terhadap Kartika Sari baru-baru ini. Ia menunjukkan pengamalan undang-undang Islam yang diusahakan kerajaan UMNO.

Zaman berubah, Islam yang dipertahankan oleh UMNO kini berdepan dengan pelbagai cabaran baru. Antara lain ialah lahirnya aliran-aliran baru dukungan 'ikon-ikon Islam ternama' yang diiktiraf oleh media dan beberapa NGO yang bercanggah dengan syariah Islam aliran Ahli Sunah Wal Jamaah.

Justeru itu, saya menyarankan agar Fasal 3 (3) Perlembagaan UMNO bahawa parti itu akan terus menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai agama rasmi Malaysia diberi keutamaan khusus oleh pemimpin UMNO. Islam perlu terus-terusan diperkasa dan dijadikan identiti utama UMNO. Perlembagaan juga perlu mensyaratkan ahli dan pemimpin UMNO agar jujur, bermaruah dan "berjiwa Islam". Sekiranya perkara utama ini dapat diperkemas dan diperbetulkan, tidak sepatutnya ada sebarang isu lagi yang boleh menghalang penyatuan umat Islam di Malaysia dan UMNO pasti mampu 'menulis' semula masa depannya dan perpaduan Melayu.

UMNO sebagai parti Melayu dan Islam perlu memberi keutamaan kepada ahli-ahlinya. Jangan sampai undi yang dikejar dari kaum lain tak dapat, undi Melayu sendiri pula keciciran.

Pas parti ekstrem

Pas yang kini dilihat mengambil pendekatan liberalisme dalam mencari sokongan politik sebenarnya sebuah parti ekstrem yang pernah meminta bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman merampas harta orang Cina tempatan selepas tragedi 13 Mei 1969. Parti berkenaan juga pernah menyokong Indonesia mengambil alih pemerintahan negara dan menangkap para pemimpin tempatan semasa era konfrontasi dengan negara jiran tersebut.

Justeru, tindakan itu mencerminkan Pas merupakan sebuah pertubuhan politik bersifat perkauman berasaskan ekstremisme kepada Islam yang bertentangan dengan ajaran agama berkenaan.Inilah permainan politik mereka. Mana ada mahu laksanakan hukum hudud sedangkan seorang wanita yang bogel dan terdedah di khalayak walhal berjawatan Ahli Dewan Undangan Negeri telah diterima oleh Nik Aziz sebagai satu keharusan, skandal dan sebagainya.

Bagaimana Pas boleh sesuaikan diri dengan aspek tidak bermoral begini?"

Kerjasama parti itu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini penuh dengan kepura-puraan dalam mewujudkan kerjasama politik antara pakatan pembangkang.

UMNO telah menentang keras pendirian ekstrem Pas itu dan mendedahkan ketaksuban parti itu dalam hal keagamaan seperti kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang pernah 'mengkafirkan' ahli-ahli UMNO.

Kita akan jadikan PAS lebih beradab dan bersopan. Mengapa sekarang mereka nak menuduh UMNO perkauman sedangkan UMNO sudah biasa buat penyesuaian melalui perpaduan Cina, Melayu, India dan kaum lain dengan lebih besar bertahun-tahun lamanya. UMNO bukan baru hari ini percaya kepada konsep liberalisme tetapi bersifat liberal sejak awal penubuhan negara lagi.

Mengenai DAP pula, parti itu yang kononnya mahu mencontohi PAP di Singapura tidak mampu berbuat demikian kerana PAP mengambil tindakan terhadap mana-mana ahlinya yang didapati terlibat dalam salah laku moral.

PKR pula adalah sebuah parti yang hanya mahukan kuasa dengan kegilaan tersebut berkisar ke arah perjuangan seorang individu sahaja. PKR parti yang belum matang di peringkat bawah dengan perjuangan yang tidak berprinsip iaitu cuba menyesuaikan diri dengan DAP apabila bersama parti itu dan menukarkan watak apabila bersama dengan Pas. Asal saja ia memberi pulangan kepada pemimpin atasannya untuk naik ke atas.

Saturday, July 31, 2010

YAYASAN SELANGOR MENUJU KEHANCURAN


Terima kasih buat rakan2 di kitagempur.com harap isu ini dapat meberikan penerangan penuh apa yang berlaku di dalam sebuah Organisasi yang membela nasib MELAYU terutama dalam bidang pendidikan iaitu YAYASAN SELANGRO.

untuk membaca seterusnya anda boleh KLIK pautan di bawah ini:-

YAYASAN SELANGOR

Thursday, July 22, 2010

Nik Aziz oh Nik Aziz, tok guru yang hebat...


SYABAS Pas kerana menolak gagasan perpaduan Melayu. Syabas Pas kerana bersekongkol dengan rakan-rakannya - yang asyik mengungkit mengenai isu biasiswa kepada anak-anak bumiputera miskin, isu untuk mengenyah DEB, isu-isu terlalu sensitif yang jika disebut di sini "orang-orang tertentu" akan mengecap kita ini sebagai rasis.

Cita-cita Pas ialah mahu memerintah Malaysia dengan rakan-rakannya itu. Mungkin Nik Abdul Aziz Nik Mat terlalu mengidamkan menjadi Perdana Menteri. Jika diizinkan tuhan cita-citanya akan tercapai. Tolong, janganlah sesiapa mengatakan dia tok guru yang hanya mengajar agama - sebenarnya beliau ialah ahli politik totok yang dalam istilah Inggeris disebut political animal.

Beliau tidak percaya kepada pengertian kebangsaan - atau dalam konteks gagasan perpaduan, Melayu. Melayu bagi beliau ialah elemen assabiyah yang menurutnya tidak sehaluan dengan ajaran Islam. Teras beliau ialah Islam semata-mata. Bagi beliau Melayu itu tidak wujud.

Itulah antara kegagalan gagasan tersebut. Awal-awal lagi Nik Aziz menolaknya, walaupun kumpulan lain dalam Pas mahu rundingan itu dimulakan. Presiden Pas, Hadi Awang yang mencetuskan idea itu. Ia disambut oleh kumpulan bukan-Erdogan, terutama Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa. Sambutan Nasharudin itu mengakibatkan beliau 'menghilangkan diri' beberapa hari kerana dimarahi teruk oleh Mursyidul Amnya, Nik Aziz.

Anwar Ibrahim yang bimbang melihat berlaku krisis keyakinan yang merugikannya dalam pakatan itu pergi menghadap Nik Aziz di Kota Bharu sebelah pagi Ahad - beberapa jam sebelum Hadi pulang dari luar negara malam itu. Ternyata dalam pertemuan itu Anwar berjaya mempengaruhi Nik Aziz, atau mereka berdua merancang untuk 'menyelesaikan' kemelut ini - tanpa pengetahuan pencetus idea, Hadi.

Keesokan harinya (Isnin lalu) pakatan pembangkang yang dihadiri Anwar, Lim Kit Siang, anaknya Lim Guan Eng tersenyum puas. Hadi yang turut berada di dalam mesyuarat sejam pakatan itu di bangunan Parlimen terpaksa 'malu alah' dan bersetuju mengeluarkan satu kenyataan sebulat suara menolak gagasan itu. Kenyataan tiga perenggan itu ditandatangani oleh Anwar, Hadi dan Kit Siang.

Malamnya sebelum pertemuan itu, Nik Aziz di Kuala Krai menyerang UMNO. Beliau menyifatkan UMNO sebagai parti sesat seperti ajaran Ayah Pin. Parti yang membawa negara ini sehingga ke tahap ini - berbanding Pakistan, Bangladesh, Afghanistan dan negara-negara Islam lain - dicercanya sebegitu rupa.

Itulah Nik Aziz, ahli politik totok yang kita kenali lama dulu. Seorang yang kononnya berperwatakan lembut, tapi keras berpolitiknya. Dia menyamakan UMNO seperti Ayah Pin. Dia juga menyamakan UMNO seperti pengganas komunis.

"UMNO ialah pertubuhan sesat, sama dengan Ayah Pin. UMNO dan komunis adalah sama. UMNO ialah parti sosialis kerana menolak Islam. UMNO ialah parti Melayu bukan parti Islam," kata Menteri Besar Kelantan itu di satu ceramah di Kampung Laloh di Kuala Krai malam Ahad lalu.

"Bagaimana kita mahu bersetuju dengan UMNO? Mereka sekarang mahu minta kita lupa yang lepas dan bersatu dengan mereka. Mereka ini tidak tahu malu," katanya di hadapan rakan-rakan pakatannya Anwar dan Timbalan Pengerusi DAP, Tan Seng Giaw.

Awal hari itu (sebagaimana yang dilaporkan akhbar) Nik Aziz sudah mulai berlembut. Tapi beberapa jam kemudian di ceramah di Kuala Krai itu beliau buat pusingan-U di hadapan 5,000 penyokongnya dengan menghentam UMNO dalam kempen menjelang pilihan raya kecil Manek Urai 14 Julai ini.

Itulah Nik Aziz yang kita kenali. Beliau boleh membuat pusingan-U yang tajam. Itu pasal kita kata beliau bukan tok guru ajar mengaji, tapi ahli politik totok yang berjuang atas nama prinsipnya yang kental.

Berkata di hadapan pengikutnya yang fanatik itu, Nik Aziz menganggap UMNO tidak layak memerintah negara ini. Semasa mengucapkannya, beliau langsung tidak sedar UMNO sudahpun memerintah negara ini selama 52 tahun dengan jayanya. Pas tidak pernah.

Tambah beliau, umat Islam wajib menolak UMNO jika mereka takutkan Allah.

Benar Pas sudah memerintah beberapa negeri di negara ini. Di Kedah dan Kelantan mungkin tiada masalah kerana ramai rakyatnya 'Melayu', tapi corak pemerintahan Pas di Perak yang terikat kepada master DAP telah menunjukkan hitam putih corak pemerintahannya.

Belumpun panas duduk di kerusi Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin sudahpun meluluskan hak milik tanah di kampung baru untuk selama 999 tahun (atau dibulatkan 1,000 tahun). Orang Perak sendiri terkejut, teruja dengan tindakan Pas Perak itu. Kita yakin corak inilah yang akan diterapkan apabila mereka memerintah Malaysia kelak.

Kini Nik Aziz merasakan Pas dan pakatan pembangkangnya yang layak memerintah negara ini. Jika tidak layak pun jangan bimbang, mereka akan dipimpin (ditunjuk ajar) oleh sebuah negara jiran yang yakin Malaysia kini sudah pun berada di persimpangan jalan. Negara itulah yang kini melatih Pulau Pinang dengan menghantar beberapa penasihat ke negeri itu.

Kenapa mereka tidak mahu melihat ia berjaya? Kerana jika gagasan ini berjaya, pakatan itu akan hancur lebur. Dan orang Melayu akan kembali kuat.

Apa pun tahniah dan syabas sekali lagi kepada Anwar dan Kit Siang serta tentunya tok guru Nik Aziz kerana berjaya menggagalkan gagasan itu.


Atasi halangan perpaduan


Isu perpaduan Melayu tidak ubah seperti kata pepatah ‘sekali air bah, sekali pasir berubah’. Ia terasa penting apabila adanya pemimpin politik Melayu sama ada daripada Pas atau UMNO menimbulkannya secara tidak berkala untuk gimik politik. Akhirnya ia menjadi satu tanggapan umum bahawa pemimpin politik Melayu tidak menunjukkan kesungguhan dalam merealisasikan perpaduan kaumnya sendiri.

Sejarah politik Malaysia memperlihatkan kedua-dua parti politik yang didominasi oleh kaum Melayu ini sering bertelingkah antara satu sama lain atas isu yang tidak jelas. Kisah-kisah silam sering diungkitkan sebagai alasan untuk tidak bersatu.

Jika pendokong Pas masih tidak dapat melupakan bagaimana mereka dipaksa keluar daripada Barisan Nasional pada 13 Disember 1977 seperti diungkitkan Mursyidul Am Pas, demikian juga pendokong setia UMNO tidak dapat melupakan bagaimana mereka dituduh kafir, taghut, perceraian dan pernikahan semula serta pengasingan kubur kerana berlainan fahaman politik.

Persoalan yang sering bermain di minda rakyat masa kini, secara praktikal apakah sebenarnya bentuk perpaduan Pas-UMNO yang ingin diwujudkan?

Adakah muncul satu pakatan baru UMNO-Pas atas nama jawatankuasa bersama? Adakah Pas dan UMNO dibubarkan dan dibentuk sebagai sebuah parti politik Melayu baru?

Adakah UMNO dan Pas berpadu dalam bentuk persetujuan tidak akan meletakkan calon di kawasan pilihan raya yang dipertandingkan oleh salah sebuah parti?

Adakah Pas akan meninggalkan pakatan pembangkang dan menyertai BN? Atau tiada lagi Pas dan UMNO sebaliknya hanya wujud satu parti Melayu?

MIC Perlu Pemimpin Muda


KETIKA berlangsungnya Perhimpunan Agung MIC ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini, seorang rakan bertanya apakah Presiden parti, Datuk Seri S Samy Vellu yang sudah lebih 30 tahun memimpin parti itu akan mengumumkan tarikh persaraannya.

Ramai menjangkakan pada hari terakhir perhimpunan, Samy Vellu seorang pemimpin politik veteran akan membuat kejutan seterusnya menyerahkan tampuk kepemimpinan kepada timbalannya, Datuk G Palanivel yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Namun, jawapan bekas Menteri Kerja Raya itu amat ringkas apabila ditanya mengenai persaraannya; “Saya tidak mahu mengatakan apa-apa mengenai diri saya khususnya kedudukan saya sebagai presiden parti dan lain-lain,” katanya.

Mei lalu, Samy Vellu yang juga bekas Ahli Parlimen Sungai Siput mengumumkan akan melepaskan jawatannya sebagai Presiden MIC yang disandang sejak 1979 pada Ogos tahun depan.

Umum mengetahui selepas berlalu Pilihan Raya Umum Mac 2008, MIC selaku parti terbesar mewakili masyarakat India di negara ini melalui pelbagai cabaran sehingga Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) ditubuhkan bagi mendesak pemimpin tertinggi parti itu untuk berundur awal.

Namun semua itu tidak mematahkan semangat Samy Vellu untuk terus memimpin MIC dan seterusnya merancang pelbagai perkara bagi memastikan MIC terus relevan kepada masyarakat India.

Ramai bertanya, berdasarkan perubahan demi perubahan yang dilakukan MIC, mampukah parti itu mengembalikan semula sokongan masyarakat India kepada Barisan Nasional (BN).
Ada berpendapat perkara itu sukar dilakukan oleh MIC, lebih-lebih lagi selepas wujudnya GAS yang ditubuhkan bekas Timbalan Ketua Pemuda parti, V Mugilan.

Seorang pemerhati politik memberitahu, walaupun wujud pelbagai kumpulan kecil yang kini mendakwa bersuara untuk kepentingan masyarakat India, tidak boleh dinafikan bahawa sumbangan MIC untuk masyarakat itu besar maknanya.

Samy Vellu berkata, MIC berjaya mendapatkan semula 50 peratus undi masyarakat India yang ‘hilang’ pada Pilihan Raya Umum 2008 dan tegasnya, perkara itu dapat dibuktikan melalui Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Perkara itu bukan bermakna MIC kini boleh bergembira sebaliknya perlu melancarkan ‘serangan’ baru untuk menawan kembali hati pengundi masyarakat India secara keseluruhan khususnya golongan muda.

Banyak program diperkenalkan oleh MIC tetapi sudah tiba masa untuk parti itu perlu melakukan satu bedah siasat, apakah semua rancangan yang dilancarkan oleh MIC benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat India.

Wujud satu lagi persoalan, apakah semua program itu mendapat sokongan penuh akar umbi kerana kedengaran juga aduan daripada ahli parti bahawa segelintir ketua cawangan MIC gagal turun padang.

Kini satu lagi tugas berat menanti MIC iaitu seramai 120,000 daripada 475,000 ahli parti itu masih belum mendaftar sebagai pengundi dan kini lebih 3,000 ketua cawangan parti akan diberi tugas untuk mengenal pasti mereka.

Dalam satu statistik yang diberikan Samy Vellu menunjukkan 955 ketua cawangan MIC berumur lingkungan 41 hingga 50 tahun, manakala pemimpin berusia melebihi 66 tahun adalah seramai 482 orang dan 50 orang berumur 30 tahun.

Melihat kepada perkara itu, kelihatan pemimpin muda amat berkurangan dan ada yang berpandangan sudah tiba waktunya untuk tenaga muda dalam parti diberi peluang untuk memimpin lebih banyak cawangan MIC.

Bagi menjayakan setiap program yang dirancang oleh parti itu, sudah pastinya MIC memerlukan tenaga muda untuk menjayakannya, ia bukan bermakna pemimpin veteran akan diketepikan tetapi mereka seharusnya memberi laluan kepada orang muda menunjukkan kehebatan mereka.

Jangan Berhelah Tangani Isu Pasir


SUNGGUH malang bagi negara dan rakyatnya apabila setiap kali ada isu yang ditimbulkan, acap kali itulah ia dipolitikkan. Baik soal pelajaran, sekolah, biasiswa atau pun kemasukan ke universiti semuanya dipolitikkan.

Terbaru ialah isu perlombongan pasir yang berleluasa di Pulau Pinang, Johor dan Selangor khususnya di kawasan berdekatan Paya Indah Wetlands, dekat Sepang yang sudah pun diwartakan sebagai Rizab Tanah Lembap Negara.

Kini pihak berkuasa di Selangor menyalahkan media arus perdana kerana menimbulkan isu ini hanya untuk mempolitikkannya seolah-olah apa yang ditimbulkan tidak berlaku? Ada pula anggotanya mahu media memohon maaf kepada kerajaan negeri kerana mendedahkan kejadian itu.

Sepatutnya apa yang berlaku hasil daripada kegiatan perlombongan sehingga membawa kepada pencemaran alam sekitar dan kemusnahan alam semula jadi di kawasan Paya Indah Wetlands itu patut diberi perhatian serius.

Malangnya, oleh kerana ia dipolitikkan, kemusnahan kawasan perlombongan pasir yang dilakukan secara rakus oleh pihak tidak bertanggungjawab tanpa mempedulikan kemusnahan terhadap alam sekitar tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Sungguh menghairankan reaksi kerajaan Selangor yang memberikan permit perlombongan pasir itu membutakan matanya daripada perkara yang sedang berlaku di kawasan bersebelahan Paya Indah Wetlands, yang musnah akibat kegiatan manusia yang rakus.
Tidak dinafikan, usaha mendapatkan pasir amat diperlukan untuk sektor pembinaan. Tetapi dalam pada kebenaran diberikan untuk melombong pasir, apakah tidak boleh diwujudkan peraturan lebih tegas supaya kegiatan ini tidak memusnahkan alam sekitar? Dan dalam pada itu apakah kegiatan melombong pasir secara haram yang berleluasa tidak boleh dihapuskan?

Apakah kegiatan yang boleh menjejas kedudukan satu kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Rizab Tanah Lembap Negara yang dilindungi dan diwujudkan untuk memelihara kedudukan dan kepentingan pemuliharaan persekitaran Putrajaya dan Cyberjaya tidak boleh didedahkan?

Apabila didedahkan, kenapa pula ia dianggap helah politik Barisan Nasional (BN) untuk menjejaskan kedudukan kerajaan Selangor yang dikuasai Pakatan Pembangkang? Kiranya perkara ini tidak mahu ditimbulkan, apakah kerajaan Selangor tidak boleh lebih prihatin terhadap kegiatan perlombongan pasir, baik yang mendapat kebenaran, apatah lagi yang haram yang sedang berlaku secara berleluasa?

Apakah yang boleh dirumuskan daripada reaksi kerajaan Selangor, lebih-lebih lagi Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang mahu menunjukkan bahawa apa yang dilakukan hanya mengekori apa yang telah dibuat oleh kerajaan Selangor sebelum ini, ketika dikuasai BN dengan Datuk Seri Mohamad Khir Toyo sebagai Menteri Besarnya?

Maka itulah beliau mengancam hendak mendedahkan siapa yang telah mendapat faedah daripada beberapa syarikat yang diberikan permit untuk melombong pasir di Selangor ketika Mohamad Khir menjadi Menteri Besar.

Jika apa yang dilakukan dulu adalah salah, dua kesalahan tidak akan membaiki keadaan malah akan menjadikan keadaan lebih teruk.

Apa pun alasan ia tidak akan membaiki kemusnahan alam sekitar di kawasan bersebelahan Paya Indah Wetlands yang kini dipenuhi lubang yang dikatakan sedalam 60 meter. Kenapa perlu lubang begitu dalam dikorek? Apakah pasir masih terdapat sedalam itu?

Baik juga baginya mendedahkan siapa sebenarnya yang telah meraih keuntungan daripada perlombongan pasir di Selangor yang dikatakan amat menguntungkan kerana permintaan yang tinggi, bukan saja dari dalam negara, malah untuk dieksport.

Kita juga tahu bagaimana sebuah pulau di selatan Semenanjung amat memerlukan pasir, baik pasir darat – untuk industri pembinaannya – mahupun pasir air untuk kegiatan menambak membesarkan pulau berkeluasan sekangkang kera bagi menampung rakyatnya yang semakin berkembang.

Kerja-kerja melombong pasir bersebelahan Paya Indah Wetlands dikendalikan anak syarikat kerajaan negeri iaitu Kumpulan Semesta Sdn Bhd. Syarikat ini adalah satu-satunya yang dibenarkan menjalankan kegiatan melombong pasir. Ada dakwaan bahawa syarikat ini telah memberikan permit melombong pasir kepada sebuah syarikat lain untuk menjalankan kegiatan itu sejak akhir Jun lalu di atas kawasan seluas 20 hektar yang terletak hanya 50 meter dari taman rekreasi Paya Indah Wetlands yang dikhuatiri akan memberikan kesan jangka panjang terhadap ekologi dan habitat hidupan liar di kawasan itu.

Sebenarnya aktiviti syarikat itu didapati tidak mematuhi peraturan EMP (Prosedur Pengurusan Alam Sekitar) kerana kawasan itu sudah digali dan dikorek sedalam kira-kira 60 meter.

Oleh kerana kawasan itu tidak melebihi 50 hektar, maka kegiatan perlombongan yang dijalankan tidak memerlukan Kajian Penilaian Alam Sekitar (EIA). Kini sudah tiba masanya kerajaan menghalusi kehendak EIA untuk semua usaha pembangunan bagi menentukan penjagaan alam sekitar menjadi lebih berkesan.

Semua pihak harus ingat bahawa setiap kawasan kurniaan Allah inilah saja yang ada. Jika kita sendiri tidak menghiraukan pemuliharaannya, anak cucu kitalah yang akan berdepan dengan pelbagai masalah yang memudaratkan hasil kerakusan kita sendiri.

Tinjauan yang dibuat pegawai Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) mendapati sememangnya berlaku pencemaran yang teruk. Mereka juga mendapati tidak ada zon penampan selebar 20 meter dari kawasan sempadan bersebelahan Paya Indah Wetlands seperti yang digembar-gemburkan.

Agak menghairankan kenapa syarikat yang mengeluarkan pasir di situ perlu mengupah samseng jalanan atau tonto untuk menipu orang. Apa perlunya kumpulan untuk menipu ini diupah jika apa yang dilakukan mematuhi peraturan dan tidak menyalahi permit? Bagaimana pula samseng jalanan ini boleh dibiarkan bermaharajalela? Apakah negara ini tidak memiliki peraturan yang mendukung undang-undang?

Tuesday, July 20, 2010

Pertahankan hak Melayu


PERJALANAN orang Melayu untuk mewujudkan sebuah negara yang berpandukan perlembagaan bukan saja amat sukar, berliku-liku serta penuh onak dan duri, bahkan sebenarnya orang Melayu mengalaminya dengan amat dahsyat sekali.

Sungguhpun orang Melayu tidak mandi darah ketika perlembagaan diwujudkan, namun ia sukar untuk memberi jaminan sengketa antara kaum tidak akan berlaku pada masa akan datang. Peristiwa 13 Mei 1969 tercetus kerana orang bukan Melayu tidak memahami asas-asas pembentukan negara.

Pertama sekali, orang Melayu tidak menerima penjajah British dengan mudah. Sejarah penjajahan di Tanah Melayu ditentang oleh orang Melayu sejak dari zaman Melaka ketika dijajah oleh Portugis, Belanda, British, Jepun, Siam dan kembali kepada British.

Penentangan Datuk Maharajalela di Pasir Salak, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Haji Mat Hasan Tok Janggut di Kelantan, tentangan Haji Abdul Rahman Limbong dan lain-lain perjuangan Melayu yang berlaku antara kurun ke-19 dan kurun ke-20 menunjukkan dengan jelas orang Melayu tidak suka kepada orang asing, apatah lagi orang asing yang bernama penjajah dan kaum imigran.

Pada kurun ke-19, orang Melayu sebenarnya telah menentang kemasukan imigran Cina dan India ke Tanah Melayu. Beberapa orang wakil Melayu yang menduduki kerusi Dewan Mesyuarat Kerajaan telah mengambil peluang untuk mengkritik dan menentang kemasukan buruh-buruh asing dalam sektor perlombongan, pertanian, dan perkapalan.

Namun oleh kerana orang Melayu tidak mempunyai taring dan kekuatan, hanya gigi dan lidah, maka kemasukan orang Cina dan India ke Tanah Melayu terus bermaharajalela. Keadaan ini berlaku sehingga menjelang Perang Dunia Kedua sampailah kepada penyerahan kerakyatan kepada orang bukan Melayu oleh pemimpin-pemimpin Melayu pada masa itu.

Oleh kerana orang Melayu tersangat lemah, tidak bersatu dan terlalu taksub dan taat kepada Raja di negeri-negeri, maka pada ketika itu komunis yang mewakili Parti Komunis Malaya (PKM) mengambil peluang untuk menubuhkan kerajaan Republik Komunis Malaya.

Taksub kepada puak rugikan Melayu......


Politik sempit ini membawa lebih banyak keburukan jika dibandingkan dengan kebaikan. Sesama Melayu dan Islam bercakaran kerana ingin menegakkan benang basah, akhirnya membawa kepada perpecahan begitu serius dan merugikan kedua-dua pihak.

Mungkin orang Melayu dan umat Islam sudah sedar bahawa pertelingkahan berpanjangan antara kedua parti terbesar ini banyak membawa kerugian dan menguntungkan pihak ketiga, maka terdengar suara-suara kecil terutama daripada rakyat bawahan menyimpan impian untuk melihat UMNO dan PAS bersatu.

Apatah lagi hari ini perpecahan dalam kalangan orang Melayu semakin serius dan mempunyai tiga mazhab politik, bagaimanapun usaha untuk menyatukan UMNO dan PAS sehingga kini dilihat masih gagal walaupun UMNO sudah membuka pintu yang luas kepada PAS untuk duduk semeja.

Malah Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan, sendiri mengakui bahawa pertelingkahan politik antara UMNO dan PAS merugikan orang Melayu serta umat Islam di negara ini, selain mengakibatkan agenda pembangunan negara juga terbengkalai.
Bagi Nasruddin, UMNO dan PAS perlu mempunyai pelan damai bagi menghentikan persengketaan itu apatah lagi umat Islam diajar supaya bersatu dengan tali Allah dan bangsa Melayu tidak akan maju dan hebat jika asyik bercakaran, selain banyak masa hilang begitu saja tanpa membawa manfaat kepada umat Islam kerana persengketaan itu.

“Ahli UMNO rata-ratanya Melayu dan beragama Islam, demikian juga ahli PAS berbangsa Melayu dan beragama Islam. Malah seorang ahli UMNO pasti saja memiliki ahli keluarganya yang menjadi ahli PAS. Demikian sebaliknya, ahli PAS juga mempunyai ahli keluarganya daripada kalangan UMNO.

“Persoalannya sampai bila Melayu UMNO dan PAS ini mahu bertelagah sehingga menjejaskan keharmonian berkeluarga. Saya kira UMNO dan PAS perlu ada pelan damai untuk menamatkan persengketaan yang panjang ini. Kebanyakan kita umat Melayu tentu sudah berasa bosan dengan pertelagahan ini.

“Kita juga tidak mempunyai banyak masa untuk menjayakan pelan damai yang saya cadangkan ini, semua pihak mesti berlapang dada. Korbankan perasaan dan kemahuan untuk bertolak ansur mencari noktah damai atau gencatan senjata laksana Aus dan Khazraj,” katanya mengulas soal perpaduan Melayu melalui laman blog peribadinya.

Walaupun sudah ada pihak yang sanggup menjadi orang tengah bagi mendamaikan pertelingkahan berlanjutan PAS-UMNO, namun masih ada suara sumbang mempertikaikan hasrat murni berkenaan. Apakah mereka ini adalah golongan tidak mahu melihat penyatuan yang menguntungkan umat Islam dan orang Melayu.

Masih ramai suara sumbang pemimpin PAS yang menentang usaha parti itu untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO, Mengapa masih ada dalang sebegini dalam parti yang dikatakan mendaulatkan Islam. Mengapa begitu marah terhadap penyatuan Melayu, sedangkan pihak menentangnya juga adalah orang Melayu.

Salahkah jika PAS dan UMNO mengambil masa seketika untuk duduk semeja berbincang mengenai masalah yang melanda orang Melayu di negara ini, selain mencari kebaikan dan menutup segala persengketaan lama.

Cukuplah berpolitik dengan cara yang merugikan orang Melayu, jangan biarkan kaum majoriti ini terhimpit dan menjadi minoriti kerana perpecahan disebabkan oleh kepentingan politik pihak tertentu. PAS yang mendukung Islam rasanya lebih arif mengenai Islam dan Nabi Muhammad SAW sendiri sentiasa mementingkan perpaduan umatnya.

Kembalilah kepada landasan Allah dalam membuat perkiraan, jangan pula emosi dan kepentingan politik melebihi kewarasan akal, contohilah sifat pemaaf dan keterbukaan junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang sanggup berbuat baik dengan Yahudi yang menentangnya.

Inikan pula PAS dengan UMNO, sama-sama Islam yang memerlukan pertimbangan untuk mengadakan perbincangan secara bersama. Kepada pemimpin PAS jangan pula kerana kepentingan politik, ulama disanggah kerana tidak memihak kepada parti itu. Fikirkan seketika kepentingan Melayu dan agama Islam di negara ini.

Buang syak wasangka demi pembangunan ummah


KETIKA isu perpaduan Melayu antara UMNO dan Pas mencetuskan polemik perbincangan, kebanyakan kita melihatnya dari sudut politik - survival dan kekuasaan politik orang Melayu sahaja.

Bagaimanapun sebenarnya ada perkara lagi besar yang seakan-akan tertinggal iaitu perpaduan ummah Islam. Isu perpaduan ini sewajarnya tidak terbatas kepada perbincangan perpaduan Melayu UMNO-Pas atau pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu sahaja.

Ia sebaliknya perlu merangkumi perkara yang lebih besar iaitu perpaduan ummah yang menjadi paksi kekuatan Islam. Tanpa mengenepikan perpaduan Melayu dari sudut politik Melayu, perpaduan ummah Islam di negara ini mampu memberi kesan yang lebih besar dalam segala bidang kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Justeru tidak hairanlah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuannya dengan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam menekankan bahawa perpaduan dan kesepaduan umat Islam perlu merentasi batas politik. Dalam keadaan Islam diserang bertubi-tubi dari segala sudut dan dalam pelbagai bentuk, perpaduan dan ukhuwah di kalangan ummahnya adalah perisai terbaik.

Lebih besar daripada itu, ia bakal menjadi penyelesaian kepada pelbagai masalah dan isu yang sedang dihadapi oleh umat Islam di negara ini antaranya berkaitan pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan. Sebagai contoh gejala keruntuhan akhlak di kalangan generasi muda Islam sangat hebat. Ia merebak bagai api yang sedang marak dan seolah-olah tidak boleh dihalang lagi.

Kesannya sangat besar. Hampir setiap hari kita mendengar cerita-cerita yang sebahagian besarnya sangat menyayat hati dan meruntun perasaan. Gejala kelahiran anak luar nikah, pembuangan bayi atau penemuan mayat bayi dan janin sempurna sifat sudah menjadi cerita biasa akhir-akhir ini. Walaupun pelbagai kempen kesedaran dilaksanakan, statistiknya tidak pernah menurun.

Pada masa yang sama juga, pembangunan ekonomi orang-orang Islam masih berada pada tahap statik walaupun menjadi golongan majoriti di negara ini. Perkara yang sama juga berulang dalam bidang pendidikan yang mana sebahagian besar daripada umat Islam masih ketinggalan manakala sebahagiannya pula tercicir terus.

Di sinilah perlu pentingnya satu kesepaduan kukuh umat Islam di negara ini. Barangkali ia kelihatan sukar untuk dicapai tetapi ini tidak mustahil. Ketika UMNO serta beberapa NGO Melayu lain sudah mengorak langkah membuka jalan, tidak salah para pemimpin pertubuhan-pertubuhan Islam lain mengekori langkah murni ini. Hasrat murni ini perlu disambut oleh semua pihak.

Ahli-ahli akademik, tokoh-tokoh masyarakat serta mereka yang terlibat dalam pertubuhan-pertubuhan Islam perlu sama-sama menyahut seruan murni ini. Kita boleh melakukannya dengan memasang satu iltizam. Kita perlu mencari titik persamaan sambil membuang jauh-jauh syak wasangka demi satu matlamat iaitu membangunkan ummah.

Mana lebih penting?


SEJAK kebelakangan ini, isu perpaduan orang Melayu, khasnya penyatuan UMNO dan Pas mendapat perhatian ramai. Penekanan isu ini adalah untuk mengelak malapetaka orang Melayu kehilangan kuasa.

Tidak dinafikan tentang perpecahan orang Melayu, malah semua kaum, di negara kita, kerana perbezaan ideologi. Ini perkara lumrah yang berlaku di mana-mana.

Namun demikian, kita patut membezakan antara kewujudan banyak parti politik dengan pertelagahan di antara mereka. Parti-parti boleh bekerjasama seperti dalam gabungan Barisan Nasional (BN), dan sekarang dalam pakatan pembangkang atau parti-parti boleh bertelagah dan tidak boleh bekerjasama.

Nampaknya, mereka yang menganjurkan perpaduan UMNO-Pas menonjolkan isu orang Melayu hilang kuasa dalam pilihan raya akan datang. Mereka bimbang kehilangan kuasa ini akan membawa kepada pindaan Perlembagaan negara dan perubahan dasar-dasar yang penting tentang kedudukan bahasa Melayu, agama Islam dan hak-hak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera lain, dan juga kedudukan Raja-Raja Melayu.

Apa yang kita sebut dalam ayat akhir perenggan di atas memang perlu dielak. Kalau berlaku, satu lagi peristiwa berdarah 13 Mei tidak dapat dielak.

Siapa yang salah kalau ini berlaku? Tokoh-tokoh tertentu dalam pakatan pembangkang bukan manusia yang sempurna. Demikian juga dalam pakatan kerajaan.

Tidak ada manusia yang sempurna. Yang sempurna hanya Tuhan pencipta sekelian alam. Namun demikian, ada pihak yang perlu kita pertanggungjawabkan. Jika tidak ada pihak yang telah melakukan kesalahan-kesalahan besar, perkara ini tidak akan timbul.

Kemenangan besar yang diperoleh oleh pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 tidak boleh dipersalahkan kepada rakyat, atau kepada dakyah pembangkang semata-mata. UMNO dan BN sendiri perlu mengambil tanggungjawab utama. UMNO dan BN sendiri perlu membaiki dirinya.

Saya percaya, kalau UMNO dan BN boleh memberi kepimpinan yang baik, dilema ini tidak akan timbul.

Sekarang UMNO sedang mengadakan mesyuarat-mensyuarat Bahagian. Kita boleh membaca dalam akhbar-akhbar yang melaporkan ucapan-ucapan pemimpin-pemimpin tinggi UMNO yang merasmikan mesyuarat-mesyuarat ini, termasuk Presiden UMNO, serta mendapat maklumat yang berguna tentang beberapa masalah dalaman UMNO.

Pemimpin-pemimpin ini menyeru supaya ahli-ahli UMNO jangan berbalah sesama sendiri, jangan berpuak-puak, mesti memperjuangkan kehendak dan hasrat rakyat dan mesti kembali kepada perjuangan asal UMNO.

Perkara-perkara ini sudah kita dengar lama dulu. Ringkasnya, kita boleh membuat kesimpulan bahawa UMNO telah gagal menampilkan kepimpinan yang baik.

Jika UMNO ada kepimpinan yang baik, perkara-perkara ini tidak akan disebutkan dalam ucapan-ucapan perasmian itu.

Inilah masalahnya. Bukan penyatuan UMNO-Pas yang diperlukan, tetapi kepimpinan orang Melayu yang baik. Bukanlah UMNO tidak pernah ada kepimpinan yang baik. Tetapi sejak satu dua dekad yang lalu, sejak timbul apa yang dikatakan ‘politik wang’, kepimpinan itu merosot teruk.

Pas pula dengan slogan-slogan Islamnya yang kosong. Siapa tidak tahu tentang kegagalan kepimpinan Pas mengembangkan ekonomi Kelantan? Pas sekarang, di bawah kepimpinan ulama, langsung tidak mempunyai konsep pembangunan ekonomi.

Mereka tidak belajar atau mengkaji secara serius subjek ini. Mereka mengutamakan konsep ‘pembangunan kehidupan akhirat’. Tahukah mereka apa ‘pembanganun akhirat’ itu sebenarnya? Jadi, kalau Pas memimpin negara, ekonomi negara akan merosot.

Banyak rencana telah disiarkan dalam akhbar-akhbar tentang pelbagai macam penyelewengan dalam UMNO dan kerajaan: rasuah, keborosan, kronisme, perpecahan kepada puak dan kehilangan semangat perjuangan atau idealisme.

Kepimpinan Najib sekarang mestilah menyelesaikan masalah-masalah ini. Kerja besar dan berat inilah yang harus difikirkan dan ditangani, bukan saja oleh kepimpinan UMNO, tetapi juga oleh kepimpinan Pas dan kepimpinan seluruh bangsa Melayu, termasuk kepimpinan pakatan pembangkang lain.

Contohnya, kalau kita ada sebuah dusun, pokok-pokok seperti durian, rambutan, manggis, mempelam, langsat dan sebagainya hendaklah subur dan berbuah selalu atau dalam musim-musimnya. Buah-buahnya pula mestilah sedap. Begitulah yang kita mahu dilakukan oleh kepimpinan, baik dalam kerajaan mahupun pembangkang.

Kita bukan meminta langit. Kita harus realistik. Semua manusia, termasuk pemimpin-pemimpin ada kelemahan. Tetapi kita berhak meminta komitmen yang ikhlas dan tinggi daripada pemimpin-pemimpin kita.

Kepimpinan UMNO dan BN mestilah memperbaharui dan memperkuat semangat perjuangan mereka serta melaksanakan transformasi (meminjam istilah Najib) UMNO dan kerajaan dalam masa sesingkat mungkin.

Kalau mereka boleh melakukan ini, saya percaya kita tidak perlu bimbang tentang orang Melayu kehilangan kuasa. Tetapi kalau mereka gagal, malapetaka besar padahnya.

Friday, July 16, 2010

Doakan Pas-UMNO bersatu....


SAYA melihat masanya telah tiba untuk kita sama-sama berdoa dan ikut berusaha agar jalinan murni perpaduan Pas-UMNO menjadi kenyataan. Ini bukan persoalan Pas atau UMNO semata-mata. Ini adalah persoalan pembinaan sebuah negara bangsa. Sebagai permulaan saya ingin melontarkan beberapa saranan untuk perhatian kita semua.

* Kita usah terlalu mengharapkan kerjasama ini akan berlaku dengan segera. Kita harus menyedari Pas dan UMNO mempunyai tanggungjawab besar untuk memberi kefahaman kepada ahli masing-masing. Saya yakin dengan hati terbuka, penjelasan yang baik dan niat yang murni tidak mungkin akan ada ahli mana-mana parti menolak usaha ini. Kejayaan paling awal yang perlu dicapai ialah mengadakan pertemuan. Bertemulah kerana Allah.

* Meminimumkan perbincangan melalui media. Ini bukan gosip artis berkahwin atau bercerai. Ini bukan kisah Maradona yang celupar tetapi pulang awal dari Afrika Selatan. Ini persoalan tentang sebuah tamadun unik, sebuah bangsa yang menjadi Melayu kerana beragama Islam dan hilang Melayunya jika meninggalkan Islam. Perbincangan terbuka dikhuatiri akan mengundang salah tafsiran.

* Elakkan terlalu ramai jurucakap. UMNO dan Pas perlu menentukan ‘siapa’ yang perlu dirujuk untuk memperkatakan perkara ini. Isu ini bukan isu peribadi. Ini akan menentukan bentuk negarabangsa yang ingin kita wariskan kepada anak cucu. Kelangsungan agama, bangsa dan negara menjadi taruhannya.

* Elakkan campur tangan pihak lain apabila membicarakan sesuatu perkara berkaitan Melayu Islam. Praktis ini dilakukan oleh DAP, MCA dan Gerakan apabila bercakap tentang kepentingan kaum Cina. Ini adalah sesuatu yang wajar sebenarnya. Barangkali NGO, para ulama dan mufti boleh dijemput untuk berkongsi pandangan.

* Elakkan sebarang syarat. Rasullullah SAW sendiri sentiasa menekankan ‘sangka baik’ sewaktu mendidik dan memimpin usaha dakwah dan mengembangkan Islam dahulu. Teruskan kaedah ini.

Akhirnya marilah kita berdoa, mudah-mudahan usaha murni ini diredhai. Duduklah, berbincanglah kerana Allah.

Bertaubatlah PAS!!!!!!


PAS perlu mengambil tindakan tegas termasuk memecat individu yang jelas tidak lagi mendokong asas perjuangan parti tetapi membawa parti alternatif bangsa Melayu itu ke kancah perpecahan dan ketidaktentuan yang amat serius hari ini.

Individu ini digelar sebagai Anwarinas kerana menjadikan Anwar Ibrahim sebagai kiblat mereka. Mereka inilah yang mengorbankan asas perjuangan yang PAS dokong sejak sekian lama.

Penyokong Anwar dalam PAS ini bukan saja bersekongkol dengan DAP, bahkan banyak menonjolkan isu lain serta berkompromi dalam hal agama semata-mata kerana tidak mahu mengecilkan hati DAP. PAS kena ambil tindakan tegas ke atas Anwarinas ini pecat saja mereka atau pindah ke PKR, tegas Ahli Parlimen Kulim Bandar Bahru, Zulkifli Nordin (Bebas) yang masih menganggap dirinya sebagai penyokong setia PAS, walaupun bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Zulkilfi ialah ahli PAS sebelum dipinjamkan untuk bertanding atas tiket PKR. Ahli Parlimen itu mengumumkan keluar PKR selepas tidak lagi sanggup terus berbohong dan berjuang atas dasar yang dianggap semata-mata untuk menyelamatkan manusia bernama Anwar Ibrahim.

Suara lantang Zulkifli sering mengecutkan perut kepemimpinan pembangkang kerana segala rahsia dan strategi terutama PAS serta PKR memang dalam genggamannya. Apatah lagi pernah menjadi peguam Anwar serta berada dalam kumpulan perancang dalam misi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen itu membetulkan gelaran yang paling wajar diberi kepada pemimpin PAS yang menjadikan Anwar sebagai kiblat perjuangan sebagai Anwarinas menggantikan perkataan Erdogan yang dianggap tidak tepat.

Panggilan Erdogan yang pernah digunakan bagi kumpulan penyokong Anwar sebenarnya tidak tepat. Erdogan di Turki walaupun dianggap sebagai Islam liberal tetapi tidak pernah bersekongkol dengan kafir dan tegas dalam pendirian serta perjuangan menegakkan agama Allah.

"Apa yang paling saya bimbang ialah PAS semakin rosak jika terus mengekalkan semua Anwarinas ini. Kalau ikut perspektif, PAS masih menjadi alternatif orang Melayu. Namun keadaan itu semakin terhakis apabila ia mengubah haluan menerima agenda pakatan pembangkang dan hilang arah dalam agenda sendiri", katanya.

Semakin ramai pemimpin PAS terutama Ahli Parlimennya syok sendiri, melupakan asas perjuangan parti, rancak menukar penampilan diri dan mula mencari kekayaan peribadi.

"Sebab itu saya panggil ini politik ngranimah selepas menang kita mula nampak harta rampasan, jawatan dan kedudukan".

Ini yang berlaku pada Perang Uhud. Rasulullah mengarahkan pasukan pemanah jangan berganjak walau apapun terjadi. Tetapi selepas berasa mencapai kemenangan dan nampak harta rampasan, pasukan itu meninggalkan kubu dan membiarkan tentera Islam diserang dari belakang. Tentera Islam kalah sebab harta perang.

Inilah politik ngranimah yang berlaku dalam PAS sekarang. Dulu kalau nak bertanding ramai tak mahu namun sanggup berkorban wang dan harta benda untuk perjuangan. Tapi sekarang, sampai jawatan pemeriksa kira-kira pun kena bertanding, busuk-busuk pun boleh jadi Ahli Majlis, semua ini gara-gara ngranimah.

Kepemimpinan PAS yang terlalu bergantung dengan DAP, seolah-olah tidak percaya dengan diri sendiri sehingga kelebihan yang ada tidak digunakan sepenuhnya.

Cuba PAS ambil contoh parti Liberal Demokrat di Britain, sebuah parti yang hanya menang kira-kira 20 kerusi tapi pemimpinnya boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri. Dalam keadaan menjadi penentu, kelebihan yang ada pada PAS sebenarnya boleh membawa faedah terutama kepada dasar perjuangan Islam dan bangsa Melayu, tapi ini tidak berlaku.

Yang kasihan ialah pengikut akar umbi, mereka bimbang dan keliru dengan pendirian kepemimpinan PAS terutama membabitkan hal bertentangan dengan agama. Ramai pemimpin PAS yang bukan saja berubah perwatakan, bahkan cara berpakaian.

Dulu kalau ustaz PAS tak pakai kopiah, orang tak nak dengar ceramah. Tapi sekarang berapa ramai pemimpin PAS pakai kopiah?

Dalam Parlimen begitu juga, dulu masa baru menang ramai berkopiah, sekarang dia sendiri buka. Bukan saya kata kopiah itu penting, tapi pertukaran mentaliti (yang semakin kebendaan), tegurnya.

Dewan Ulama PAS tidak lagi menegur pemimpinnya yang jelas terpesong daripada dasar perjuangan parti, sehingga membuatkan ramai ulama yang dulu menyokong parti ini mula menyepikan diri.

Antara paling dikesalkan apabila Dewan Ulama PAS tidak menegur pemimpin yang memaki hamun parti lawan terutama sesama bangsa dan agama.

Islam tidak mengajar kita memaki hamun. Walaupun Islam galakkan kita berpolitik, tapi ia tidak membabitkan dengan politik kepartian kerana kita kena berkompromi. Sebagai pendakwah, kita akan duduk di surau dan masjid, jadi kalau menyertai parti politik - hendak tak hendak kita terpaksa memihak.

Apabila meletakkan diri pada dasar moral yang tinggi, kita kena tunjuk contoh yang baik.

Friday, July 9, 2010

Malaysia diperintah diktator fasis?


ZAID Ibrahim memberi amaran semasa di London kononnya Malaysia kini menunjukkan bunga- bunga pemerintahan diktator fasis.

Mungkin ada pihak yang mengambil ringan kata-katanya itu. Tetapi bagi generasi muda yang mentah, bersikap radikal, anti-establishment dan mereka yang taksub dengan pemikiran Barat begitu mudah mempercayainya.

Di mana letaknya fasisme dan diktator yang dimaksudkan Zaid itu?

Hampir lima negeri di tangan pakatan pembangkang dan mereka masih bebas berekspresi.

Adakah pemimpin pembangkang dibunuh? Adakah mereka digantung oleh orang ramai di khalayak ramai seperti pernah berlaku di bawah pemerintahan fasisme Mussolini di Itali atau nazisme di Jerman? Tidak bukan.

Zaid sudah pandai menggunakan taktik gempar dan menakutkan audiensnya.

Thursday, July 8, 2010

Melayu akan kehilangan kuasa? (Part 2)


Ada banyak kemungkinan kenapa Melayu tidak mahu mendaftar. Pertama, mungkin mereka merasakan bukan suatu keperluan dan tidak mendesak pun. Kedua, generasi muda Melayu agak santai, selesa, memadai dengan memperoleh kerja, hidup menyara diri dan berhiburan. Mereka tidak minat dengan politik dan masa depan bangsa. Ketiga, SPR belum cukup agresif. Ketiga, gerakan parti Cina seperti DAP jauh lebih berpengaruh dengan mendampingi orang Cina, sedangkan MCA dan Gerakan, komponen BN kurang bertindak, tidak seagresif pembangkang. Keempat, faktor geografi dan tempat tinggal yang jauh. SPR mesti mencari jalan terutama bagi penduduk di kawasan pedalaman. Kelima, orang muda tidak mahu bersusah payah menukar alamat untuk mendaftarkan diri di tempat tinggal masing-masing. Ada sikap ‘tidak apa’ dan menganggap remeh.

Situasi politik mutakhir sudah menjadi lebih kacau dengan kebangkitan semangat kekauman dan perkauman. BN berjaya memerintah Malaysia dengan kemajuan dalam semua bidang serta kesepakatan dalam erti perkongsian kuasa atau pembahagiannya secara bijak sentiasa dicemburui. Parti seperti DAP tidak senang dengan MCA dan Gerakan kerana akur dengan kontrak sosial, manakala Pas tidak akan sekata dengan UMNO kononnya tidak menjulang konsep negara Islam sebenar. Kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara, bagi Pas belum cukup memberi makna. Lalu Pas lebih senang bersekongkol dengan DAP yang terang-terang menolak Islam dan kepentingan Melayu dan bumiputera. Pas dikatakan gadai gagasan negara Islam demi kepentingan politik, menerima kesamarataan bukannya keadilan. PKR yang agak cacamerba, bercampur baur dalam matlamat perjuangan, tetapi menaruh cita-cita untuk berkuasa penuh di atas landasan PR. Dengan sifat dan citra pembangkang sekarang, mana mungkin aspirasi Perlembagaan akan mereka pertahan dan tegakkan. Tinggal lagi sebelum ini, BN lemah kerana kepemimpinan UMNO dan komponen BN itu lemah. Melayu mesti sedar, jika salah langkah Melayu akan hilang kuasa. Kuasa politik mereka boleh terhapus. Mahukah Pas bermuzakarah dengan UMNO?

Dalam fenomena pertarungan politik di negara demokrasi berparlimen seperti Malaysia ini, apa pun boleh jadi. Penulis terkilan kerana Pas, masih menaruh harap kepada DAP. Karpal Singh terang-terangan menolak konsep negara Islam dan sudah timbul percanggahan dengan Nik Abdul Aziz. Status Malaysia yang sudah diterima dunia sebagai sebuah negara Islam pun dipertikaikan mereka. Kenapa Pas memilih DAP dan PKR yang tidak stabil itu? Apakah rakyat tidak berfikir bahawa gagasan negara Islam tergadai demi kepentingan politik. Pas sepatutnya kaji semula kedudukannya dalam PR. Sesungguhnya rakyat benar-benar belum ada pilihan. Jadi untuk PRU 13, lihatlah jauh ke hadapan jangan emosional tetapi rasional. Buruk baik Kerajaan yang ada, itulah yang terbaik buat semua. Kerajaan pun kena bermuhasabah dan para pemimpin perlu memperbaiki dan membuat penambahbaikan. Buangkan kesombongan politik sebelum tahun 2008 itu dan jangan memperkecilkan kebolehan sesama sendiri.

Program baru kerajaan dengan gagasan 1Malaysia, transformasi kerajaan, Model Baru Ekonomi (MBE) dan RMK10 sudah disediakan sebagai penawar ‘kedukacitaan rakyat’. Kerajaan juga mahu dilihat tidak mudah bermain dengan dasar-dasar yang sudah mantap dan terbukti. Misalnya Dasar Pendidikan Kebangsaan atau dasar-dasar tonggak yang lain, jika tidak perlu berubah maka jangan diubah. Kita sudah ada pengalaman dengan penolakan PPSMI. Jadi kenapa perlu dimansuhkan UPSR, PMR dan mungkin SPM. Itulah tahap kita mengukur keupayaan pelajar dan kualiti pendidikan kita. Jika rancangan ini diteruskan, dibimbangi sekolah-sekolah dan institusi pendidikan swasta akan melaksanakan sistem peperiksaan mereka sendiri dan pastinya akan meminggirkan bahasa kebangsaan. Matlamat perpaduan dan kesatuan bangsa seperti mana gagasan 1Malaysia sukar tercapai.

Kuasa politik itu berada di tangan pengundi. Rakyat melihat bagaimana kerajaan menangani isu dan dasar-dasar negara. Kuasa boleh kekal atau tidak terletak di bahu kerajaan dan di tangan rakyat. Maknanya Kerajaan boleh kekal dengan keyakinan rakyat. Untuk kuasa Melayu dalam Kerajaan, Melayu dan bumiputera mesti sedar. Kini lebih dari 60 peratus belia Melayu masih di atas pagar. Mereka dengan penuh insaf mesti mendaftarkan diri beramai-ramai sebagai pengundi, bangkit dari alpa dan keluar mengundi bagi menyelamatkan Malaysia sebelum dijadikan Malaysian-Malaysia dengan konsep kesamarataan dan menolak kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera. Orang Melayu jangan tersesat jalan tetapi tahu akan hakikat kuasa politik dan pemerintahan demi masa depan anak cucu, bangsa, agama dan tanah air.

Melayu akan kehilangan kuasa? (Part 1)


Kecenderungan generasi muda Melayu yang tidak mahu mendaftar sebagai pengundi sangat berbahaya untuk masa hadapan politik Melayu. Mereka mesti mengubah sikap. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula perlu mengambil tindakan yang lebih drastik dari segi pendaftaran pengundi. Situasi sekarang boleh mengubah pola pengundian antara kawasan pilihan raya. Kita bimbang nanti akan terbentuk sifat pengundian kerana kaumnya. Perjuangan perkauman yang menjadi-jadi sekarang akan tergambar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU- 13). Bagi mereka yang berdaftar pula, ada anggapan apakah tidak kena kalau mereka mengubah selera, menolak Kerajaan. Mana-mana parti pun boleh membentuk Kerajaan asalkan parti atau gabungan pakatan parti itu memenangi majoriti undi sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan. Kerajaan boleh dengan teraju pemerintahan yang baharu, tetapi risikonya amat besar. Implikasi kepada Perlembagaan, struktur negara, sistem pemerintahan, dasar dan konsep bernegara akan berubah dengan mudah.

Rakyat berhak memilih mempertahankan Barisan Nasional (BN) atau memberi peluang kepada Pakatan Rakyat (PR). Banyak alasan yang diberikan, termasuknya kononnya BN sudah lama memerintah, kenapa rakyat harus takut mencuba yang baru. BN bersifat perkongsian dan PR menggunakan konsep yang sama. Apakah itu yang rakyat mahu? Banyak pihak terkejut apabila kajian Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda UMNO mendapati nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu dalam pendaftaran sebagai pengundi baru sejak PRU Ke-12, tahun 2008, jurangnya 1:40 (1 Melayu dan 40 bukan Melayu). Kajian tersebut merangkumi seluruh aspek dari segi umur dan jantina membabitkan golongan tua dan muda. PR mendakwa dan menyelar kajian berkenaan yang dikatakan bermotifkan politik. Bagi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, itulah tandanya kelemahan SPR kerana tidak menggunakan mekanisme daftar pemilih secara automatik. Katanya SPR lebih menjaga kepentingan politik UMNO dan BN kerana melihat kecenderungan pengundi muda menyokong PR.

Isu di hadapan kita ialah kenapakah terjadi lebih ramai bukan Melayu mendaftar sebagai pengundi selepas PRU 2008? Rakan penulis, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Timbalan Pengerusi SPR menyebut DAP paling agresif menjalankan program pendaftaran pemilih baru dengan tumpuan khusus di kalangan belia Cina. Malahan DAP jauh lebih aktif menjalankan kerja mendaftar itu di bandar, PKR menumpukan perhatian untuk semua kaum dan Pas mensasarkan belia Melayu. Datuk Seri Mohd Ali Rustam (Melaka Hari Ini, 30 Jun 2010), mengatakan pembangkang terutama DAP di Melaka kini meniru cara atau kaedah yang pernah dilakukan BN dengan membuka kaunter pendaftaran pengundi di kawasan pasar malam. Bagi beliau DAP kerja kuat tetapi BN bekerja lebih kuat. Soalnya bukan siapa dulu, tetapi Melayu jangan ketinggalan. Pengundi Melayu memberi signifikan besar terhadap BN yang diterajui Melayu atau UMNO. Bagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafei Apdal, UMNO kini dianggotai 3,159,484 ahli di seluruh negara (Utusan Malaysia, 28 Jun 2010). Apakah semua ahli UMNO, terutama golongan mudanya sudah berdaftar? Sepatutnya UMNO di peringkat bahagian tanpa henti mempergiatkan usaha mendaftarkan para pengundi baru. Sebenarnya demi Melayu dan Islam, UMNO dan Pas sama-sama bertanggungjawab, jangan kira lagi siapa undi siapa, sebab siapa undi siapa tidak siapa yang tahu. Usahakan pendaftaran.

Kalau sehingga kini masih ada kira-kira 1.9 juta orang Melayu daripada 4.3 juta rakyat yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pengundi, maka kepada siapa mahu dipersalahkan. Kerja-kerja pendaftaran bukan kerja parti, tetapi parti boleh membantu. Tidak bolehkah SPR turun padang, termasuk membuka pusat pendaftaran, meskipun bermusim, selain di pejabat-pejabat SPR sendiri, buka sahaja di taman-taman perumahan, ke institusi pengajian tinggi, di kompleks beli belah, pasar raya, di dewan orang ramai di kampung dan sebagainya. Itu kaedah alternatif selain secara internet dan selagi pendaftaran automatik belum boleh dilaksanakan. Orang Melayu dan bumiputera mesti disedarkan bahawa undi itu kuasa, bahkan satu undi pun adalah kuasa. Gerakan dan kempen mesti diperhebatkan. Parti-parti Melayu dan bumiputera jangan berdiam diri, kaji coraknya dan proaktif.

bersambung bahagian 2......

Monday, July 5, 2010

Perisik DAP


NAMPAKNYA Pengerusi DAP Karpal Singh tetap mempertahankan pendiriannya menolak konsep negara Islam. Pemimpin parti itu mahu Pas menghormati pendirian itu. Ketegasan tersebut bukanlah sesuatu yang baru bagi Karpal.

Dalam erti kata lain, Pas tidak usah berangan-angan untuk membentuk negara Islam sekiranya pakatan DAP- Pas-PKR berjaya menjejakkan kaki di Putrajaya.

Sebagai pemimpin parti politik, sudah tentu kenyataan Karpal itu mencerminkan pendirian sebenar DAP berhubung negara Islam. Bukannya pendapat peribadi.

Pas boleh mengeluarkan pelbagai kenyataan berhubung pendirian Karpal tetapi hakikatnya, DAP tidak peduli dengan cita-cita Pas itu.

Dalam hal ini, saya melihat DAP sama sekali tidak dapat menerima konsep negara Islam yang dibawa oleh Pas. Parti itu juga tidak peduli dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Persoalannya adakah Pas masih menaruh harapan untuk membentuk negara Islam bersama DAP?

Untuk memerintah, Pas tidak ada pilihan lain kecuali mengharapkan DAP dan PKR. Lihat sahaja di Perak dan Selangor. Pas hanya bergantung harapan kepada DAP dan PKR.

Maka apakah cita-cita Pas mahu membentuk negara Islam akan terlaksana sekiranya pakatan pembangkang itu berjaya menjadi pemerintah?

Ahli-ahli Pas tidak ada pilihan lain sama ada sekadar mahu menjadi tempelan kepada kerajaan sekiranya menjejakkan kaki di Putrajaya atau meneruskan konsep negara Islamnya secara bersendirian.

LU PIKIRLAH SENDIRI!!!!!

Anwar Bersikap Fanatik Di Amerika


BERJINAK dengan sikap fanatik di Malaysia begitulah tajuk komentar Jackson Diehl, kolumnis akhbar Washington Post. Sikap fanatik atau zealot yang dimaksudkan Timbalan Editor ruang lidah pengarang akhbar utama Amerika Syarikat ini merujuk kepada tindakan seseorang yang menghentam Zionis atau Israel.

Bagi kebanyakan wartawan di Amerika Syarikat mahupun di Eropah, antara dosa paling besar ialah untuk menulis sesuatu yang negatif mengenai Zionis atau Israel walaupun ia benar. Zionis dan Israel diangkat oleh mereka ini sebagai terlalu maksum untuk dikecam.

Walaupun wartawan di Amerika dilindungi dengan kebebasan akhbar melalui peruntukan First Amendment dan rakan sejawatan mereka di Eropah melalui Artikel 10 Konvensyen Hak Asasi Manusia, tidak ramai di kalangan mereka berani mengecam Zionis atau Israel walaupun ia harus dilakukan demi menegakkan kebenaran.

Berikutan itu apabila seseorang berani berbuat demikian, orang itu dengan sewenang-wenangnya dilabel zealot atau fanatik seperti dilakukan Diehl dalam komentarnya itu yang disiarkan, Rabu lalu.

Orang yang dirujuk Diehl dalam komentarnya adalah ketua pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kolumnis Washington Post itu menulis dengan nada kesal retorik kasar Anwar terhadap Israel dan tuduhannya mengenai pengaruh Zionis (melalui Apco) di Malaysia.

Anwar yang dianggap Diehl sebagai foremost advocates of liberal democracy in Muslim countries (pelopor terulung demokrasi liberal di negara Muslim), dilihat pula cuba berjinak dengan sikap fanatik.

Namun, Diehl tidak sepenuhnya menyalahkan Anwar. Sebaliknya, Presiden Barack Obama pula dipersalahkan oleh kolumnis Washington Post ini. Bayangkan pemimpin negara kuasa dunia dipersalahkan atas keterlanjuran seorang tokoh politik Malaysia.

Menurut hujah Diehl, demokrat tertekan ini (Anwar) yang memperjuangkan kelangsungan hidup politik dan peribadinya, kurang dapat pertolongan Washington. Anwar, katanya, tidak lagi mendapat sokongan Amerika Syarikat seperti dinikmatinya ketika Al Gore menjadi Naib Presiden negara itu dulu.

Obama, kata Diehl, tidak langsung membuat kenyataan awam mengenai Anwar ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Washington April lalu.Dialog pegawai kanan kedua-dua negara bulan ini juga, kata kolumnis akhbar itu, tidak menyentuh perbicaraan liwat terbaru Anwar.

Jabatan Negara Amerika Syarikat, katanya menjelaskan isu itu tidak disentuh kerana ia sudah dibincang dengan panjang lebar baru-baru ini. Kolumnis itu menyindir bahawa Obama nampaknya tidak suka berulang kali membangkitkan isu sama walaupun ia berkaitan hak asasi manusia.

Walaupun Anwar sudah melakukan dosa paling besar, agak jelas Diehl tidak mahu imej ketua pembangkang itu terus tercalar di Amerika Syarikat, terutama di kalangan masyarakat Yahudi di negara itu.

Mengapakah Diehl berpendirian imej Anwar penting dipertahankan hanya boleh dijawab oleh beliau sendiri. Apa yang jelas kolumnis Washington Post itu berpuas hati Anwar sudah menebus dosanya itu.

Menurut Diehl, Anwar berkunjung ke Washington beberapa hari minggu lalu, untuk memberi penjelasan kepada kawan lama termasuk Pengerusi Hal Ehwal Luar Negara dewan perwakilan, Howard Berman, dan seorang dua pemimpin masyarakat Yahudi.

Menurut Diehl, Anwar menyatakan kekesalannya kerana menggunakan istilah seperti sikap agresif Zionis. Kenapa saya harus menggunakannya jika ia mencetuskan banyak salah faham? Saya harus lebih berhati-hati, Diehl memetik Anwar sebagai berkata. Jika betul petikan kata-kata Anwar oleh Diehl ini, tidaklah boleh dikatakan pemimpin pembangkang ini seorang yang berani.

Apa salahnya jika kita menyatakan Zionis ganas atau pengganas, kalau itu istilah yang tepat untuk menggambarkan tindakan mereka menzalimi penduduk Palestin sejak lebih setengah abad lalu. Mengapakah perlu kita apologetik jika kita menyatakan sesuatu yang benar? Bukankah benar rejim Zionis Israel selama ini berlaku kejam terhadap penduduk Palestin? Jika benar mengapakah kita tidak berani menegakkan kebenaran ini?

Tidak ada salah faham mengenai istilah Zionist aggression. Memang benar rejim itu mengganas di Palestin dan kenapa pula kita harus lebih berhati-hati untuk menggunakan perkataan ganas ini terhadap mereka.

Penindasan terhadap rakyat Palestin bukanlah sesuatu yang direka-reka. Ia sedang berlaku dan akan terus berlaku untuk sekian lama lagi jika masih ada pemimpin Muslim hanya berani mengecam kezaliman rejim Zionis ini di depan kelompok sendiri di kampung tetapi apabila berada di Washington, berhati-hati memilih perkataan yang tidak menimbulkan salah faham.

Tidak salah jika Zionis di Amerika melabel kita sebagai zealot atau fanatik. Itu fahaman mereka kerana kita menentang kezaliman mereka. Jika kita fanatik sekalipun ia adalah untuk menegakkan kebenaran dan menghapuskan kezaliman.

Jika tidak kerana keberanian beberapa rakyat Malaysia menyabung nyawa untuk menyertai konvoi kapal bantuan antarabangsa ke Gaza bulan lalu, tidak mungkin Israel rasa tertekan untuk melonggarkan sekatan mautnya terhadap wilayah Palestin itu. Mengapa ada pula tokoh pembangkang berkunjung ke Washington tidak pula mengambil kesempatan berjumpa dengan tokoh berpengaruh di sana untuk memberi tekanan tambahan kepada Tel Aviv. Apakah memulihkan imej peribadi beliau lebih utama daripada memperjuangkan nasib rakyat Palestin?

Retorik Pas (Part 3 @ terakhir)


Menurut pemimpin Pas, semua rakan di dalam pakatan pembangkang telah bersetuju dan menghormati dasar perjuangan Pas. 'Justeru, tidak timbul soal penolakan oleh mana-mana pemimpin DAP termasuk Karpal sendiri. Bagi saya, itu pandangan peribadi beliau. katanya

'Pandangan peribadi' - inilah istilah yang digunakan oleh hampir keseluruhan pemimpin Pas apabila diminta mengulas mengenai kenyataan terbaru Karpal itu.

Apa yang pasti Karpal bukanlah ahli biasa, tetapi Pengerusi DAP. Jadi, pandangan beliau sudah tentu dikongsi bersama oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Adakah kenyataan pemimpin Pas itu bermaksud Guan Eng akan membela Pas?

Sepatutnya Pas belajar terhadap apa yang berlaku di Selangor kerana biarpun Pas menyumbang kerusi kepada pembentukan kerajaan negeri tetapi suara Pas seolah-olah tidak didengari.

Beberapa usaha Pas untuk menerapkan nilai-nilai Islam ditentang hebat bukan sahaja oleh DAP tetapi juga pemimpin bukan Melayu dalam PKR. Kini, Pas tidak boleh melenting dengan kenyataan Karpal kerana Pas tidak ada kuasa untuk melawan kekuatan politik DAP mahupun PKR.

Sepatutnya, Pas menghormati Karpal kerana sentiasa konsisten dalam membuat sesuatu kenyataan. Keadaan tersebut berbeza dengan pemimpin-pemimpin Pas yang tidak pernah konsisten dalam pendirian mereka.

Akibat sikap tidak konsisten inilah, ia memungkinkan Pas hanya menjadi 'kawan mainan politik' kepada PKR dan DAP.

Mungkin pujian boleh diberikan kepada Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan yang dengan tegas menyatakan Pas bersedia mengkaji semula hubungan dengan DAP pada masa depan jika DAP terus mengamalkan sikap menikam dari belakang.

Sebenarnya, DAP selama ini bukan sahaja sudah menikam dari belakang, malah boleh disifatkan 'sudah menetak' Pas dari hadapan apabila sering sahaja melakukan tindakan yang kadangkala dilihat tidak menghormati Pas. Tetapi apa yang Pas boleh buat?

Oleh itu, apa juga penegasan dan kenyataan yang dibuat oleh Pas dalam isu negara Islam boleh dianggap retorik semata-mata. Pemimpin Pas terpaksa bersuara apabila ia disentuh oleh Karpal bagi menunjukkan kononnya Pas tetap ingin memperjuangkan konsep berkenaan.

Namun, ia hanyalah mainan lidah politik Pas sahaja. Hakikatnya, langkah bagi memperjuangkan konsep negara Islam tersebut semakin ditinggalkan oleh parti itu demi mencari kuasa bersama PKR dan DAP.