UMNO Teluk Belanga's Fan Box

UMNO Teluk Belanga on Facebook

Followers

Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan....... Dato' Seri Najib Tun Abd Razak (PERDANA MENTERI MALAYSIA)

Tuesday, March 22, 2011

Kelahiran Parti Politik Melayu : UMNO

Peringkat permulaan kesedaran politik dan status ekonomi Melayu hanya dipaparkan di dalam surat khabar atau majalah antaranya seperti Al - Iman, Seruan Azhar, Saudara, Lembaga Melayu dan Majlis. Usaha menubuhkan organisasi Pan - Malay secara besar-besaran telah dilakukan melalui Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada tahun 1938. Ia cuba menyemarakkan perasaan nasionalisme dan perasaan tidak puas hati terhadap pemerintahan British. Walau bagaimana pun KMM gagal untuk menubuhkan organisasi politik Melayu yang menyeluruh dan mempertahankan pergerakan nasionalisme sehinggalah pendudukan Jepun.


Cadangan Malayan Union yang diutarakan oleh Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan British di persidangan Parlimen pada bulan Oktober 1945 adalah pencetus kepada pembentukan organisasi politik dan nasionalisme orang-orang Melayu di Malaya. Seiring dengan pengistiharan itu, Sir Harold MacMichael pun sampai ke Malaya membawa pakej baru pemerintahan bagi penduduk Malaya ketika itu. Tanpa mengalusi objektif Malayan Union, ada dikalangan penduduk dan akhbar tempatan menyokong cadangan yang di bawa oleh Mac Michael. Raja Melayu yang pertama menandatangani perjanjian Malayan Union ialah Sultan Johor dan diikuti oleh Raja-Raja Melayu yang lain setelah diperdaya oleh Mac Michael untuk memberi persetujuan.

Terdapat tiga objektif Malayan Union yang tidak dipersetujui oleh orang Melayu:-

Pertama, mengintegrasikan kaum Cina dan India sama-sama dalam politik dan pemberian hak kerakyatan menerusi prinsip "jus soli"

Kedua, penubuhan kerajaan pusat dan mewujudkan pemerintahan sendiri. Orang-orang Melayu merasakan tindakan menubuhkan Malayan Union adalah tidak adil dan cuba menghapuskan Kedaulatan Raja-Raja serta mencabar hak politik orang Melayu. Orang-orang Melayu semakin bimbang akan kehilangan tanah air yang tercinta sekiranya Malayan Union menjadi kenyataan. Lantas mereka menyusun berbagai strategi untuk menjaga kepentingan negara bangsa Melayu. Pada 30hb. November 1945 satu kongres diadakan di Ipoh membincangkan penubuhan parti kebangsaan Melayu. Perjumpaan ini turut dihadiri oleh Raja-raja Melayu. Kemudian Kongres Melayu Se-Tanah Melayu telah diadakan pada bulan Mac 1946 yang melibatkan 48 persatuan Melayu dan di pengerusikan oleh Dato' Onn Jaafar. Dalam ucapan perasmiannya,

Dato' Onn menjelaskan:
"Apapun maksud dan tujuan kita itu ialah keyakinan diri kita bahawa nasib bangsa kita hanyalah akan dapat diperkekalkan dengan kesatuan hati diantara kita juga dan kesatuan kebangsaan kita itu hanya akan dapat dipeliharakan dengan berpegang teguh kepada suatu kepercayaan yang lebih besar dan lebih tinggi daripada (apa) bangsa sekalipun...Nenek moyang kita yang telah menghadapi merbahaya dengan gagah berani bersatu hati, dan oleh yang demikian itu bangsa kita masih hidup lagi dan Semenanjung Tanah Melayu masih diakui oleh dunia sebagai Tanah Melayu".

Di sini Dato' Onn telah mengajak orang-orang Melayu supaya bersatu untuk menentang Malayan Union demi memelihara keselamatan dan memertabatkan bangsa. Persidangan ini juga telah menjana semangat nasionalisme ke arah menubuhan parti politik Melayu yang menyeluruh.


Berita penentangan orang-orang Melayu terhadap Malayan Union telah disampaikan oleh Kapten L.D. Gammans semasa persidangan Dewan Orang Ramai British pada bulan Mac. Beliau menyatakan akan berlaku pertumpahan darah sekiranya orang Melayu terus menghalang penubuhan Malayan Union. Dalam perbahasan ini terdapat juga beberapa tokoh politik British yang tidak menyokong cadangan Malayan Union itu. Mr. Tom Driberg umpamanya, telah meyangkal seperti kenyataannya:


"I do not want to go back to the status quo... We must have a forward policy but it must not be merely imposed. There must be freer consultation than there has been hitherto...we are doing the right thing but in the wrong way. We cannot talk to colonial people...in the voice of a Whitehall Uncle...This scheme has been put cross so high-handedly, unimaginatively and smugly that I am sorry to say I cannot support it".

Akhbar Utusan Melayu pula mengulas:-

"The Labour Government disregard for the views of the Malay Rulers, subjects and press, will bring very bad effects in the future. We fear that Malaya will be more turbulent than Palestine".

Walaupun berbagai komen dan reaksi dari ahli-ahli parti Buruh telah dibahaskan, namun Kerajaan British masih mahu menubuhkan Kerajaan Malayan Union dan pada 31 Mac 1946, pemerintahan Tentera British (BMZ) di Semenanjung Malaya telah ditamatkan. Pada 1hb April 1946 kerajaan Malayan Union diwujudkan dan Sir Edward Gent telah dilantik sebagai Gabenor. Pada tarikh itu juga kita melihat orang-orang Melayu dan Raja-raja Melayu bersatu-padu memulaukan upacara tersebut demi maruah politik bangsa.

Seluruh umat Melayu berkabung dan berhimpun di hadapan Station Hotel Kuala Lumpur iaitu tempat bersemayam Raja-raja Melayu ketika itu untuk menunjukkan tentangan mereka terhadap Malayan Union. Mereka melaungkan "Daulat Tuanku!" dan "Hidup Melayu". Raja-Raja ketika itu amat terharu dan menitiskan air mata turut bersama-sama rakyat Melayu membantah pemerintahan Malayan Union. Kejadian ini telah memberi tamparan hebat kepada British yang tidak menjangka kesedaran politik orang Melayu amat kental bersatu padu mempertahan maruah bangsa dan institusi Raja-Raja.

Perjuangan menentang Malayan Union tetap diteruskan. Bagi memperkemaskan dan mengentalkan semangat politik bangsa Melayu, Dato' Onn telah mengadakan kongress Melayu Se-Malaya yang kedua pada 11 dan 12hb. Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru. Sebanyak 29 buah pertubuhan menghantar wakil masing-masing. Perlembagaan yang digubal oleh jawatankuasa yang dilantik pada bulan Mac 1946 untuk menubuhkan sebuah parti telah dibincangkan dan diterima sebulat suara.

Pada 11hb. Mei 1946 Rang Surat Tauliah Pertubuhan telah diluluskan dan disahkan, maka pada hari itu lahirlah sebuah parti politik Melayu yang dikenali Pertubuhan Melayu Bersatu (United Malaya Organisation -UMO) yang dicadangkan oleh Orang Kaya Menteri Dato' Hamzah dari Selangor dan disokong oleh Tuan Mohamad Arus (Ahmad Fawzi Mohd Basri). Kemudian Za'aba mencadangkan perkataan `National' atau kebangsaan dimasukkan menjadikan sebutan sepenuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau United Malays National Organisation (UMNO).

Mesyuarat Agung pertama telah diadakan pada 12 Mei 1946, yang dipengerusikan oleh Datuk Panglima Bukit Gantang (Tuan Haji Abdul Wahab) dari Perak. Dalam persidangan ini, Dato Onn bin Jaafar telah dilantik sebagai Yang Di Pertua UMNO pertama. Sejak itu British mengiktiraf UMNO sebagai "suara dan hati nurani" orang Melayu. Sejak itu juga UMNO sudah membina kekuatan sebagai satu daya kuasa baru dan "pelindung baru" bagi orang Melayu. Slogan "hidup Melayu" telah menggegarkan kedudukan British dan menyemarakkan perpaduan dan semangat kebangsaan orang Melayu seluruh Tanah Melayu buat pertama kali dalam sejarah.