UMNO Teluk Belanga's Fan Box

UMNO Teluk Belanga on Facebook

Followers

Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan....... Dato' Seri Najib Tun Abd Razak (PERDANA MENTERI MALAYSIA)

Thursday, December 2, 2010

Ketuanan Melayu dan PKR


Kenyataan dan sikap Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR semasa menyampaikan Ucapan Dasar beliau di Kongres Nasional Tahunan Ke-7 PKR pada 27 November lalu memang boleh dipersoalkan.

Betapa demi semata-mata meraih sokongan bukan Melayu, beliau sanggup melontarkan sesuatu yang boleh membawa implikasi besar kepada negara. Dua perkara disebutkan itu terlakar di hati kita. Pertama, dengan penuh bangga beliau melambungkan pujian mengagung-agungkan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai seorang insan hebat.

Kedua, beliau mahukan konsep ‘Ketuanan Melayu’ ditongsampahkan sahaja, sebab pada beliau konsep itu hanya slogan digunakan sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa. Lebih tertusuk ke hati penulis, tuduhannya bahawa itulah cara elit Melayu memperdaya kaum sendiri untuk kepentingan diri… Na’uzubillah.

Tentulah buat Dr Wan Azizah, atas hubungan suami isteri beliau tahu segala rahsianya. Suami kesayangannya itu serba ‘super’, agaknya sehebat sang ‘Superman’. Insan hebat ini disifatkan beliau sebagai ‘anugerah Tuhan’ bagi memimpin rakyat Malaysia.

Kenyataan itu seolah-olah orang lain jika hebat setara mana pun, bukannya anugerah Tuhan. Dalam sejarah perjuangan dan kerjaya politik Anwar, beliau disenangi institusi ilmu dan gerakan rakyat kerana kebangkitan dirinya melalui jalur tersebut dan cintakan tradisi ilmu. Soalnya apakah Anwar dahulu itu sama dengan Anwar sekarang? Bagaimana idealisme perjuangan asalnya, akal budi dan peribadinya tatkala berhadapan dengan dilema persimpangan diri yang dipenuhi ranjau politik.

Kenapa dan bagaimanakah boleh terjadi sampai dirinya tersangkut ke julai pohon akhlak yang rapuh untuk digantungkan ketinggian maruah dan harga diri. Penulis pun tidak faham.

Prinsip perjuangan jangan sekali-kali dilakukan melalui strategi memburuk-burukkan ketokohan orang lain atau negara sendiri. Islam tidak mengajar kita pembohongan dan menabur fitnah. Budaya Melayu pun begitu.

Pesan orang tua-tua ‘kalau menepuk air di dulang, akhirnya terpercik ke muka sendiri’. Tunjukkan kehebatan idealisme perjuangan dengan gagasan dan program konkrit. Darjat seseorang manusia pasti merudum apabila terlibat dengan unsur-unsur kebejatan akhlak yang datang dari nafsu tidak terkawal.

Isu ‘Ketuanan Melayu’ bukan agenda politik mana-mana golongan semata-mata. Ketuanan Melayu itu satu kebenaran ilmu, sejarah dan hakikat kebudayaan. Di sini Dr Wan Azizah seperti tidak ada pengetahuan sejarah dan tidak mempedulikan budaya. Kita jangan terkeliru antara kata ‘tuan’ dengan ‘hamba’, sedangkan kata tuan itu digunakan dalam banyak konteksnya dalam tradisi kebudayaan Melayu. Ingatkah kita akan maksud pantun berbunyi ‘jika tuan mati dahulu, tunggu hamba di pintu syurga’; atau ‘tuan kuharapkan umpama payung, hujan dan panas tempat berlindung’; atau ‘apakah gila bagimu tuan, burung terbang dipipiskan lada’, bahkan ada puluhan lagi konteks penggunaannya.

Konsep ‘ketuanan’ di sini bukan pun ada kaitannya dengan ‘perhambaan’ seperti dalam sejarah permulaan Amerika itu. Pandangan yang meletakkan ketuanan Melayu itu sama dengan kekuasaan Melayu sehingga memperhambakan bangsa lain itu sangat tidak tepat dan menyerong.

Pemimpin-pemimpin Melayu sekarang semakin ramai kehilangan akar dan akal sejarah, terperangkap untuk bertolak ansur demi kerakusan kuasa dan kepentingan politik. Ada pula diri yang bersedia menggadaikan apa sahaja hak-hak atau milik Melayu turun-temurun itu. Soal PKR berikrar untuk tidak meneruskan konsep ketuanan Melayu, itu persoalan PKR.

Jika sejarah ditolak, maka PKR sendiri tidak melakukan keadilan bersandarkan prinsip penerimaan dan hak. Agaknya kerana itulah kelihatan pergolakan dalaman PKR adalah kesan daripada krisis keyakinan dan kepemimpinan yang begitu serius, lupa sejarah kelahiran sendiri. Para pengikut sudah hilang keyakinan dan tidak berpuas hati sehinggakan pada hari Kongres pun, suasananya dihiasi demonstrasi. Ada tanda-tanda kuasa ketiga atau keempat akan muncul.

Bahana buta sejarah menyebabkan ada orang memperlekeh Perlembagaan negara sendiri. Mereka kehilangan makna sebuah kontrak sosial. Faktor psikologi akan terus melanda anak buah PKR, apabila bahtera yang dilayari hampir karam, sanggup menjual apa sahaja hatta tiang layarnya. Soal ketuanan Melayu bukan soal kepentingan bangsa semata-mata dan bukannya slogan politik. Ketuanan Melayu itu ialah hakikat dan realiti kenegaraan Malaysia, kesimpulan beberapa perkaranya sudah termaktub dalam Perlembagaan. Kalau konsepnya ditinggalkan bermakna kita meninggalkan sejarah negara dan konsep bangsa Malaysia itu sendiri.

Untuk menjadi bangsa yang bermaruah sekali pun, ia perlu berlaku dalam suatu persaingan adil, tetapi perkara ini tidak berlaku kepada Melayu dan tidak diperbesarkan. Di Malaysia, padang permainan belum rata dan ada lompang digital yang luas antara bandar dengan luar bandar, antara Melayu dan bumiputera dengan bukan Melayu. Bandar-bandar di Malaysia itu lengkap dengan segala kemudahan, tetapi tidak menjadi milik kehidupan Melayu dan bumiputera.

Perlembagaan Negara Malaysia tergubal dari suatu kesinambungan sejarah dan kebudayaan. Manusia Melayu itu sudah memiliki tradisi pemerintahan yang sudah ribuan tahun lama usianya. Kenapa tidak baca sejarah peradaban Melayu?. Siapakah pemerintah politik tradisional itu, jika tidak tradisi kesultanan atau raja-raja Melayu.

Apabila Barat dengan segala tipu helah, baik Portugis, Belanda mahu pun Inggeris menjajah dan menjadi kuasa kolonial di Dunia Melayu, dari tangan siapakah mereka memperoleh kuasa?. Kenapa timbul Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat atau siapakah yang menandatangani Perjanjian Pangkor 1874 itu? Sewaktu pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan kemerdekaan Malaysia, kenapakah tanda tangan kuasa Raja-Raja Melayu itu penting? Raja-Raja Melayu dengan penuh hikmah melepaskan pemerintahan negara secara ‘demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan’.

Rasional para leluhur bangsa mengabadikan institusi Raja-Raja Melayu ke dalam institusi kenegaraan sebagai Ketua Negara dengan gelaran Yang di-Pertuan Agong atau Ketua Negeri dengan istilah Sultan, Raja dan Yang di-Pertuan adalah konotasi dari keMelayuan itu. Apakah PKR menolak Raja-Raja Melayu kerana di situ letaknya hakikat ketuanan Melayu? Kita menerima anugerah gelaran Tun, Tan Sri, Datuk Seri, Datuk atau anugerah kebesaran dan pingat jasa adalah bukti hakikat ‘ketuanan’ itu.

Jika ditolak konsep ketuanan Melayu, maka serahkan kembali segala gelaran anugerah lambang kebesaran peradaban Melayu zaman berzaman itu. Demikian juga kedudukan status Islam dan bahasa Melayu sebagai bahasa negara tidak lahir dari suatu kekosongan. Malaysia bukan seperti Amerika Syarikat, sebuah negara imigran, campur aduk segala warisan budaya menjadi ‘Americans’. Malaysia ibarat sepohon besar yang berakar tunjang, berbatang, berdahan dan berdaun rendang di rantau ini. Di sini akarnya mencengkam bumi dan rendangnya menggapai langit tinggi.

Setiap jiwa warga negara Malaysia hendaklah memahami hakikat sejarah dan kebudayaan tanah air tempat bumi dipijak ini. Ibu pertiwi orang Melayu adalah berindukkan Tanah Melayu. Kumpulan etnik mereka itu juga bertaburan mendiami segenap rantau Melayu. Bangsa serumpun Melayu di Malaysia terdiri daripada segala suku bangsa di Sabah dan Sarawak.

Kita tidak boleh menipu sejarah bahawa orang keturunan Cina di Malaysia itu berasal dari China, orang keturunan India-Pakistan dari India-Pakistan. Orang-orang keturunan lain pun ada tanah asal mereka dan memiliki kebangsaan masing-masing. Sejarah menjadikan nenek-moyang mereka memilih untuk menetap di Malaysia dan menjadi sebahagian warga baru dengan kebangsaan (nationality) Malaysia atau bangsa Malaysia. Generasi baru kelahiran Malaysia bukannya pendatang lagi.

Seluruh lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan etnik pun tahu bahawa ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’. Jadi keMelayuan dan keIslaman itu bukannya barangan untuk diniagakan ke pasar politik dan konsep ketuanan Melayu itu sedia ada di dalam akal budi kita bukan ciptaan mainan slogan digunakan sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa seperti dakwaan PKR. Juga sama sekali tidak kena apabila dikaitkan ketuanan Melayu itu diguna bagi memperdayakan kaum sendiri demi kepentingan diri. Ketuanan Melayu itu adalah sebuah konsep ilmu bukan slogan politik semata-mata.