
Banyak pendapat telah dimajukan oleh pelbagai pihak tentang konsep 1 Malaysia yang telah perkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak apabila beliau mengambil alih teraju kepimpinan kerajaan pada 3 April.
Matlamat konsep 1 Malaysia ini adalah murni iaitu bagi memupuk dan mengukuhkan perpaduan nasional satu matlamat yang telah menjadi keutamaan setiap Perdana Menteri Malaysia semenjak Almarhum Tunku Abdul Rahman lagi. Pemupukan dan pengukuhan perpaduan ini menjadi keutamaan kepada mereka kerana mereka sedar tanpa usaha tersebut mana mungkin Malaysia yang bersifat pelbagai kaum akan mampu mengekalkan kelangsungannya sebagai sebuah negara yang aman dan makmur. Hari ini misi dan visi mulia ini diteruskan pula oleh Najib.
Walaupun matlamatnya adalah murni namun ada pihak berkepentingan yang cuba memutarbelitkan hasrat beliau dengan menyamakan konsep ini dengan konsep Malaysian Malaysia atau Malaysia untuk orang Malaysia konsep yang menjadi teras perjuangan DAP. Penyamaan ini telah menimbulkan kegusaran kepada orang Melayu/bumiputera kerana ia satu konsep yang amat sensitif kepada mereka. Sensitiviti terhadap konsep ini terbentuk kerana walaupun konsep Malaysia untuk orang Malaysia ini berbunyi muluk dan bersifat halwa telinga kepada pendengarnya namun ia tidak berpijak di bumi nyata kerana gagal mengambil kira faktor sejarah dan realiti tempatan.
Teras asas konsep ini ialah penolakan kepada sebarang bentuk tindakan afirmatif dan pelaksanaan prinsip meritokrasi sepenuhnya di dalam dasar-dasar negara terutamanya dasar sosioekonomi. Di dalam konteks Malaysia ketiadaan tindakan afirmatif dan pelaksanaan meritokrasi yang tidak mengambil kira realiti ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum akan hanya menghasilkan ketidakadilan serta ketidaksaksamaan yang akhirnya akan mengakibatkan diskriminasi minoriti ke atas majoriti.
Konsep 1 Malaysia berbeza dari Malaysian Malaysia kerana konsep ini bertunjangkan kepada realiti tempatan dan sejarah negara. Memahami dan menghayati sejarah amat penting kerana seperti mana kata seorang Ahli Falsafah Amerika berketurunan Sepanyol George Santayana, "Mereka yang tidak belajar dari sejarah akan disumpah mengulanginya". Jika kita mengikuti ucapan Najib semasa merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan baru-baru ini kita akan mendapati beliau sebenarnya telah pun membezakan antara kedua-dua konsep ini apabila memperincikan tiga teras utama konsep 1 Malaysia iaitu penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial.
Teras pertama 1 Malaysia yang beliau nyatakan ialah mengubah asas perhubungan kaum di Malaysia dari konsep toleransi kepada konsep penerimaan. Transformasi dari toleransi kepada penerimaan ini amat penting kerana untuk Malaysia mencapai kemakmuran dan keharmonian ia memerlukan iltizam rakyat Malaysia dari pelbagai kaum. Ini termasuklah bagi merealisasikan matlamat untuk menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi serta bebas kemiskinan.
Untuk negara terus berada di hadapan keluk kejayaan semua rakyat Malaysia perlu terus membina di atas persamaan yang ada dan pada masa yang sama berlapang dada menerima perbezaan yang wujud di antara satu sama lain tanpa bersikap menghakimi atau menilai. Kita perlu meraikan perbezaan yang wujud sebagai sumber kekuatan bukannya terperangkap dengan polemik yang berpunca dari perkara titik bengik sehingga melupakan matlamat besar bersama.
Gundah-Gulana
Teras kedua 1 Malaysia ialah kenegaraan yang bertunjangkan prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Perlembagaan Persekutuan adalah merupakan undang-undang tertinggi negara manakala lima prinsip Rukun Negara bertindak sebagai ideologi kebangsaan adalah asas yang terbaik untuk memupuk dan mengukuhkan Perpaduan Nasional. Oleh yang sedemikian janganlah mana-mana kaum menjadi gundah-gulana kerana 1 Malaysia tidak sekali-kali bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Orang-orang Melayu/bumiputera juga tidak perlu bimbang bahawa 1 Malaysia akan menyimpang dari peruntukan yang sudah sedia ada di dalam undang-undang tertinggi negara terutamanya Perkara 153 (Hak-hak Istimewa Melayu/bumiputera).
Teras ketiga 1 Malaysia seperti mana yang diterangkan oleh Perdana Menteri pula ialah keadilan sosial. Tragedi hitam 13 Mei 1969 mengejutkan rakyat Malaysia kepada realiti bahawa perpaduan nasional tidak boleh menyubur jika ketidakseimbangan sosioekonomi berlaku. Bagi memastikan tragedi tersebut tidak berulang maka Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah digubal dengan bermatlamatkan perpaduan dengan menggunakan dua strategi, pertama membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan kedua menyusun semula masyarakat.
Walaupun DEB telah berakhir pada tahun 1990 semangatnya masih diteruskan melalui dasar-dasar pengganti sehingga hari ini. Hakikatnya tidak ada negara yang mampu maju dan makmur jika kaum majoriti terpinggir dan ketinggalan dari segi sosioekonomi jika adapun sejarah telah menunjukkan kemajuan dan kemakmuran tersebut bersifat sementara kerana negara berkenaan bukanlah sebuah negara yang stabil. Ia ibarat sebuah peti yang penuh dengan serbuk letupan yang tidak stabil dan hanya menunggu satu percikan untuk menyebabkannya meletup.
Namun semua pihak harus memahami hakikat bahawa dasar pengagihan yang adil melalui tindakan afirmatif tidak akan berjaya di dalam kek ekonomi yang gagal berkembang secara sihat dan mapan. Kita tidak boleh bersikap dogmatik di dalam mengurus ekonomi sebaliknya kita perlu bersikap pragmatik dan sanggup memikir di luar dari kotak kelaziman.
Malaysia hari ini berada di persimpangan jalan sementara kita bukan lagi sebuah pusat pelaburan menarik untuk sektor pembuatan yang berkos rendah namun kita juga belum mencapai tahap sebuah ekonomi yang mampu menarik pelaburan bernilai tinggi yang berasaskan inovasi dan kreativiti. Sehubungan dengan itu semua pihak mempunyai kepentingan di dalam memastikan ekonomi Malaysia meningkat ke rantaian seterusnya dan kekayaan negara bertambah.
1 Malaysia ini sebagai satu imperatif politik yang penting kepada perpaduan nasional. Janganlah kita membiarkan sentimen politik jangka pendek mewarnai cara kita berpolitik di bumi bertuah ini. Adalah satu kepelikan di negara ini apabila kita mendapati bahawa terdapat parti-parti politik yang kononnya mendakwa mereka bersifat pelbagai kaum dan memperjuangkan konsep Malaysia untuk orang Malaysia tetapi pada hakikatnya adalah jauh dari sifat kemajmukan. Jika parti-parti ini bersifat pelbagai kaum maka sudah tentu senarai keahlian dan kepimpinan mereka akan mencerminkan fakta tersebut. Kesimpulannya jika hampir keseluruhan ahli-ahli dan kepimpinan mereka datang dari satu kaum sahaja maka lebih eloklah parti politik ini menukar status mereka kepada parti satu kaum bukannya parti pelbagai kaum.
Adalah diharapkan bahawa usaha pemupukan dan pengukuhan perpaduan nasional akan mampu bergerak secara lebih terarah kemas dan jitu melalui inisiatif konsep 1 Malaysia. Kita semua adalah rakyat Malaysia yang lahir, mencari rezeki dan membina kehidupan di bumi bertuah ini. di sinilah bumi dipijak dan di sinilah juga langit dijunjung. Yakinlah bahawa pelaburan yang kita buat dalam usaha memupuk dan mengukuhkan perpaduan nasional adalah pelaburan yang berbaloi kerana masa depan anak-anak kita dan kelangsungan negara kita bergantung kepadanya.
UMNO Teluk Belanga's Fan Box
Followers
Tuesday, June 15, 2010
REALITI, SEJARAH TERAS 1 MALAYSIA
Sunday, June 13, 2010
Politik Sate!!!!!!!!!!!!

Ahli UMNO perlu berhenti mengamalkan budaya ‘politik sate’ yang berleluasa dalam parti itu kerana ia boleh menyemai perasaan benci di kalangan mereka sehingga menimbulkan perpecahan.
Sebarang perselisihan pendapat seharusnya diselesaikan segera supaya tidak berlarutan sehingga ke satu peringkat yang tidak boleh diselamatkan lagi. Semua organisasi tidak kira parti politik atau syarikat korporat mempunyai masalah masing-masing yang perlu ditangani secara bijaksana.
Jangan amalkan politik sate. Sate ada daging sama ada ayam atau lembu, ada tukang cucuk daging, ada tukang bakar dan paling jahat tukang kipas kerana dia akan bakar daging untuk orang lain makan.
Inilah yang sedang berlaku dalam parti. Jangan ada ahli yang menjadi seperti tukang kipas dan tukang cucuk, kini adalah masanya untuk kita bersatu.
Musuh akan kutip untuk dijadikan peluru membunuh kita. Dalam politik, di kalangan sahabat ada musuh tetapi di kalangan musuh tiada sahabat. Kalau tidak suka pemimpin, jangan lontar kata-kata kesat hingga orang lain benci kerana bila pemimpin itu kalah, kita pun kalah juga.
Sudah tiba masanya semua jentera dalam komponen BN bekerjasama bagi mewujudkan keakraban. Setiap parti komponen BN ada jentera masing-masing tetapi mereka ini jarang disatukan dalam mana-mana program.
Selepas ini, mana-mana parti yang buat program sama ada majlis rasmi atau tidak, jemputlah sama parti lain kerana keakraban itu lebih penting.
Saturday, June 12, 2010
Impak Laman Sosial
Semua negara yang sedang membangun telah menerima hakikat bahawa komunikasi begitu penting sebagai alat dasar dan bertindak sebagai wahana dalam merencanakan pembangunan. Negara kita, Malaysia juga tidak terkecuali dalam hal ini. Kini, dalam era globalisasi yang kian rancak, komunikasi boleh dilakukan melalui pelbagai saluran. Penggunaan media baru seperti internet dan blog telah menyebabkan komunikasi melalui perantaraan komputer semakin pantas mengorak langkah.
Semakin ramai pengguna terutamanya golongan remaja mula memilih untuk menggunakan laman sosial sebagai medium interaksi sesama mereka. Antara laman sosial yang popular dalam kalangan masyarakat Malaysia hari ini ialah Facebook, Twitter, Myspace, Friendster dan Tagged. Jika dibandingkan semua laman sesawang yang tersenarai, Facebook dan Twitter menjadi dua rangkaian komunikasi sosial masa kini yang paling digilai ramai. Malahan saya sendiri turut mempunyai akaun Facebook dan aktif melayarinya.
Pada asasnya, komunikasi dapat ditakrifkan sebagai proses yang berlaku apabila seseorang (atau lebih) menghantar atau menerima mesej yang disalurkan dalam konteks tertentu, serta berkesan dan menyediakan peluang untuk maklum balas (feedback). Kadangkala proses penyaluran mesej menerima gangguan. Oleh itu, pada dasarnya Facebook dan Twitter agak jelas menepati takrifan ini sebagai satu medium komunikasi.
Berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap rakyat Malaysia, mereka nyata lebih selesa menggunakan Facebook berbanding Twitter. Bersumberkan rangkaian pengiklanan dalam talian berasaskan carian iaitu Chitika, kajian mendapati pengguna Twitter mahukan berita manakala pengguna Facebook biasanya lebih berminat kepada topik-topik semasa.
Tidak keterlaluan jika dikatakan Facebook dan Twitter ini sebenarnya membantu kepada pembangunan sosial sesebuah komuniti. Dengan hanya melayarinya, pengguna dapat berinteraksi dengan rakan-rakan dari seluruh dunia. Pengguna boleh menambah rakan-rakan yang mereka inginkan sama ada mengenalinya ataupun tidak.
Kini, penggunaan Facebook dan Twitter tidak sekadar menjadi ruangan sembang kosong atau hanya untuk meluangkan masa lapang. Laman ini turut menjadi satu cara untuk kerajaan terutamanya pemimpin menyelami masalah rakyat dan mendekati golongan masyarakat. Bayangkan betapa besarnya pengaruh laman sosial kepada sesebuah negara. Hal ini terbukti apabila Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak juga membuat akaun Facebook. Di sini, jelaslah kita bahawa laman sosial sememangnya menjadi penggerak kepada pembangunan sesebuah negara.
Media baru telah dijadikan medium antara kerajaan dengan rakyat. Menurut akhbar Utusan Malaysia bertarikh 23 November 2009, populariti Datuk Seri Najib Tun Razak di laman sosial Facebook terus melonjak apabila sehingga pukul 4 petang pada hari tersebut seramai 24,052 pengguna telah mendaftar sebagai peminat beliau. Peminat Perdana Menteri meningkat begitu mendadak berbanding ketika beliau mengumumkan penyertaannya dalam laman itu pada 16 November 2009.
Peminat beliau di Facebook telah menggelarkannya sebagai Perdana Menteri 1Malaysia selaras dengan gagasan 1Malaysia untuk menyatukan rakyat negara ini yang bertemakan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Oleh itu, segala pandangan dan pendapat baik yang bersifat positif mahupun negatif dapat digunakan oleh Perdana Menteri dalam agendanya untuk membangunkan negara. Beliau dapat menilai pandangan rakyat terhadap kepimpinannya melalui laman ini, seterusnya mencorakkan pemerintahan dan pembangunan mengikut kehendak rakyat.
Di sebalik kebaikan yang terserlah daripada penggunaan laman sosial yang semakin meluas, kita tidak dapat menolak bahawa laman ini juga membawa impak negatif kepada pembangunan sosial dan masyarakat. Penggunaan laman Facebook dan Twitter turut mempunyai isu dan kesan yang mendalam kepada komuniti.
Salah satu daripadanya ialah membuang masa dan melalaikan. Bayangkan jika golongan remaja asyik terperap di depan komputer peribadi mengadap Facebook dan Twitter, peranan mereka sebagai pemangkin pembangunan negara pasti tercalar.
Selain itu, penggunaan laman sosial sebagai rangkaian komunikasi yang tidak terbatas telah berpotensi menyebabkan wujudnya penyebaran berita dan fitnah yang boleh menggugat kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Tidak mustahil pembangunan negara akan terjejas dengan tersebarnya fitnah yang melampau. Hal ini berikutan satu laporan berita yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian bertarikh 14 Januari 2010. Laporan itu mengatakan, “Bukit Aman sedang memantau laman sosial popular, Facebook yang digunakan individu atau kumpulan tertentu bagi menyebarkan provokasi bertujuan menghasut orang ramai berhubung isu kalimah Allah dan cubaan membakar gereja sebelum ini”. Laporan akhbar tersebut menyiarkan, seorang lelaki berusia 25 tahun telah mengaku terlibat dalam rancangan membakar gereja di laman tersebut. Lanjutan daripada kes tersebut, pihak polis telah menyiasat perkara berkenaan menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Laman sosial yang disalah guna oleh pihak tertentu mengundang gejala kurang sihat yang berleluasa seperti seks bebas dan pergaulan bebas. Lantaran itu, wujud pula masalah pembuangan anak. Masalah ini jika berterusan pasti akan membawa kesan yang negatif kepada pembangunan social. Kebanyakan “chatters” laman sosial, menggunakan laman itu untuk bersosial. Justeru, tidak mustahil sekiranya ada segelintir yang cuba mengambil kesempatan terhadap laman ini untuk tujuan tertentu. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh pelajar dan pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam, 62 peratus “chatters” adalah lelaki yang memberi nombor telefon untuk dihubungi bagi tujuan bersosial dan selebihnya adalah perempuan. Kajian itu turut mendapati 45 peratus penggunanya lebih gemar membicarakan tentang seks.
Hakikat yang perlu kita terima, Facebook dan Twitter telah menjadi kegilaan sebahagian besar rakyat Malaysia tanpa mengira usia. Jika diaplikasi secara berhemah, penggunaannya jelas mampu berfungsi sebagai agen pembangunan sosial kerana melibatkan sebahagian besar masyarakat. Rakyat pada masa ini pula dekat dengan media baru. Namun, impak negatif yang wujud juga harus diberi perhatian serius. Kita boleh mencontohi apa yang baik, dan sebagai manusia yang dikurniakan dengan akal, pastinya kita perlu menangkis setiap perkara yang buruk. Begitu jugalah dalam soal ini, Facebook dan Twitter dapat mempercepat pembangunan namun apa yang negatif haruslah dihindari agar norma-norma dalam masyarakat terus terpelihara.
ETNISITI DI MALAYSIA

Malaysia telah berjaya melangkah keluar daripada kumpulan negara mundur kepada negara yang sedang membangun. Kini, Malaysia bergerak menuju ke arah negara maju, seperti yang dicita-citakan dan dinyatakan dalam wawasan 2020. Pergerakan daripada negara mundur kepada satu negara yang mampu berdiri kukuh setaraf dengan negara maju yang lain ini berlaku dalam tempoh selama 50 tahun (1957-2008) iaitu satu jangka waktu yang cukup singkat menurut ukuran sejarah. Rentetan dan kronologi peristiwa yang berlaku dalam negara ini secara tidak langsung telah mendewasakan negara dan mematangkan masyarakatnya dalam menjalani kehidupan sebagai satu bentuk masyakat yang berbilang kaum atau dalam erti kata lain wujudnya Etnisiti dalam Sistem sosial di Malaysia. Daripada pengalaman yang lepas, kerajaan khasnya dan rakyat amnya telah sedar bahawa kemajuan dalam setiap lapangan sosial yang sedia ada sebenarnya tidak akan lengkap selagi mana Etnisiti tidak diorganisasi dengan betul berlandaskan peraturan dan norma-norma yang telah disepakati umum.
Walaubagaimanapun, satu persoalan yang harus dijawab secara bersama melalui kerjasama dan perbincangan pelbagai kaum ialah sejauhmanakah pengaruh Etnisiti dapat dilihat dalam sistem sosial di Malaysia. Ianya, secara konseptual ilmiah mangajak kita semua untuk menilai akan keadilan, kebenaran serta keberkesanan pengaplikasian Etnisiti dalan sistem sosial tersebut. Sememangnya , banyak yang boleh diperjelaskan dalam merungkai setiap peranan dan tanggungjawab pelbagai kaum dengan berlandaskan batas-batas tertentu untuk dinilai kerelevenannya dalam sistem sosial di Malaysia. Maka dengan itu, segala isi kandungan perbincangan yang terkandung dalam esei ini, secara keseluruhannya akan menyentuh tentang sejauhmana pengaruh Etnisiti dapat dilihat dan dijelaskan dalam sistem sosial di Malaysia.
Perkataan Etnisiti adalah berasal daripada kata akar Etnik yang bermaksud sekelompok manusia yang mengamalkan budaya. Oleh yang demikian, konsep Etnisiti boleh didefinisikan sebagai rasa kekitaan kumpulan etnik tertentu. Hal ini bererti wujudnya kebudayaan atau sub budaya yang jelas yang menyatukan anggotanya melalui nilai,sejarah, sikap, paradigma dan tingkahlaku yang sama. Dan jika konsep Etnisiti ini diaplikasikan ke dalam sistem sosial, maka secara praktikalnya kita dapat melihat wujud satu kelompok manusia berasaskan kaum yang berkerja dalam pelbagai lapangan pekerjaan di malaysia. Dalam kehidupan tersebut pula, jelas manampakkan semangat kekitaan setiap kaum.
Sebenarnya, terlalu banyak pengertian tentang Sistem Sosial ,hasil daripada santapan ilmu para cendiakawan itu sendiri dalam mendefinisikan makna dan konsep tulin akan sistem sosial. Namun, apa yang pasti pengertian konsep Sistem sosial tersebut adalah disandarkan serta dilandaskan kepada ciri dan nilai sesebuah budaya, sejarah serta pemikiran sesebuah masyarakat.
Satu aspek penting dan utama yang menjadi penanda jati diri masyarakat Malaysia ialah elemen keagamaan. Kepelbagaian agama dalam kalangan penduduk malaysia merencamkan lagi pola perbezaan jati diri yang sedia ada seperti bahasa, warna kulit, adat resam dan lain-lain lagi. Hakikaktnya, agama merupakan penanda jati diri yang kuat dalam menentukan aras pembangunan sesebuah bangsa dan negara. Namum demikian, apakah pengaruh Etnisiti terhadap agama yang boleh diperhati dan difahami kita semua?. bagaimanakah Etnisiti tersebut berlaku dalam keadaan masyarakat yang pelbagai latar belakangnya?. Persolan seterusnya yang perlu dirungkaikan ialah mengapa dan apakan justifikasi kepada pengaplikasian Etnisiti tersebut terhadap masyarakat Malaysia?. Terlalu banyak tanda tanya berkaitan hal Etnisiti dalam agama yang sudah pastinya memerlukan jawapan rasional, logik dan adil. Maka dalam memahami hal ini, satu yang boleh dikongsikan secara ilmiah dan bersama ialah setiap agama di negara ini, mahupun di negara lain sebenarnya mempunyai keperluan untuk berkorban terhadap kepentingan agama masing-masing.
Mereka akan sentiasa berpegang kepada perjuangan berasaskan ajaran agama tersendiri. Justeru, situasi tersebut secara tidak langsung menampakkan rupa bentuk dan mekanisma Etnisiti dalam agama. Setiap masyakat bebas untuk mengamalkan ajaran yang terkandung dalam agama masing-masing. Ini termasuklah aspek Ibadah, Sambutan perayaan dan Ketuhanan. Jika sekiranya kepercayaan yang dianuti itu cuba diganggu oleh pihak tertentu, maka sudah pastilah ianya akan mewujudkan satu suasana negatif dalam masyarakat tersebut. Penganut agama tersebut akan cuba mempertahankan sistem kepercayaan mereka dengan sanggup melakukan apa sahaja sama ada melalui undang-undang mahupun kekerasan. Jika semua ini berlaku, maka jelas dapat dilihat oleh kita semua akan pengaruh Etnisiti dalam sesebuah. Walaubagaimanapun, pengaruh Etnisiti juga boleh mendatangkan kebaikan sekiranya masyarakat mengawalnya secara adil dan saksama.
Dewasa ini, masyarakat bukan Melayu mula menerima budaya orang Melayu dari segi pakaian dan makanan. Contohnya, orang bukan Melayu segak menggayakan baju kurung dan baju melayu terutamanya pada hari jumaat dan fenomena ini sesuatu yang biasa bagi masyarakat bukan melayu. Justeru, apakah penilaian yang patut diberikan terhadap pengaruh Etinisti dalam aspek adat dan budaya?. Di sini, sesuatu yang boleh diperhati dan ditanggapi kita semua ialah wujudnya satu bentuk kebudayan campuran yang menjanjikan banyak manfaat serta faedah terhadap masyarakat Malaysia. Masyarakat luar akan melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang unik, harmoni dan aman disebabkan wujud persefahaman dalam mengamalkan adat dan budaya masing-masing tanpa menyentuh kesensitiviti kaum lain. Masing-masing mempamerkan keunikan adat dan budaya tersendiri seperti cara hidup, cara berpakaian, makanan dan sebagainya. Misalnya, kaum Melayu sentiasa berbangga dengan cara hidup mereka yang sering dilabel umum sebagai sopan santun dan peramah. Mereka juga sentiasa menonjolkan pelbagai jenis adat sebagai ukuran kepada nilai-nilai ketinggian budaya yang dimiliki mereka. Kaum Cina dan India juga semestinya turut mengagung-agungkan adat serta budaya masing-masing. Keadaan ini pastinya akan menggalakkan lagi keharmonian amalan hubungan etnik di Malaysia.
Peri pentingnya kita memelihara, memupuk dan menjamin kelangsungan hubungan etnik yang harmonis di Malaysia ialah satu fakta yang telah diterima umum oleh semua lapisan rakyat Malaysia. Tanpa diungkap secara terbuka, kita juga menerima bahwa hubungan etnik yang harmonis merupakan anak kunci sebenar kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara kita termasuklah pengaruhnya terhadap Sistem sosial di Malaysia. Namun demikian, kita perlu berhati-hati dalam berhadapan dengan sebarang bentuk masalah etnik seperti pengaruh Etnisiti yang tidak terkawal tanpa mempertikaikan hak-hak kaum lain. Masyarakat kita mestilah mempunyai tahap kematangan yang tinggi dan rasional sebagai persediaan kepada pembentukan masyarakat malaysia yang lebih bersatu padu, kukuh dan sejahtera dimasa yang akan datang. Berkenaan dengan pengaruh Etnisiti dalam Sistem sosial di Malaysia, saya secara peribadinya beranggapan bahawa perkara tersebut merupakan sesuatu yang normal dalam situasi masyarakat yang berbilang kaum.
Sebenarnya, kita tidak mempunyai kekuatan untuk menghalang ianya daripada berlaku, malah besar kemungkinan ianya akan bertransformasi mengikut keadaan semasa. Tetapi kita mempunyai alternatif lain bagi membendung pengaruh Etnisiti dalam Sistem sosial tersebut daripada menjadi negatif. Nah! apa yang boleh kita lakukan? bagaimanakah proses tersebut? berkesankan ia?. Pertamanya, setiap kaum mestilah mencapai kata sepakat dan persetujuan terhadap hak-hak kaum Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan yang bersumberkan daripada Kontrak sosial. Hasil pemahaman itu, kemudiannya dipraktikkan ke dalam setiap aspek kehidupan dalam Sistem sosial untuk membolehkan kita mengawalnya dan mentadbir Etnisiti secar adil dan saksama berdasarkan pertimbangan yang wajar. Selain itu, proses penerangan terhadap masyarakat dipelbagai peringkat mestilah juga diteruskan melalui langkah-langkah tertentu seperti dialog, seminar, mahupun kempen-kempen yang berkaitan.
Friday, June 11, 2010
Agensi Persekutuan dinafi hak guna aset di negeri pembangkang

Pada kebiasaannya aset Kerajaan Persekutuan adalah bangunan, jalan raya dan hartanah belum dimajukan. Utiliti tidak lagi menjadi aset milik Kerajaan Persekutuan secara langsung sebab dimiliki syarikat kerajaan atau swasta.
Praktis sekarang ialah semua aset Persekutuan dimiliki kementerian berkaitan dan kementerian ini sama ada menguruskan aset secara sendirian atau melantik agensi tertentu seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) menjadi ejennya. Jadi, tidak seperti perancangan atau pelaksanaan projek, tiada agensi pusat yang dipertanggungjawabkan secara langsung bagi memantau kerja-kerja penyelenggaraan set Persekutuan pada masa ini.
Sekiranya projek sesuatu kementerian bermasalah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (UPP) boleh memberi ulasan, tetapi sekiranya penyelenggaraan aset Persekutuan tidak sempurna tiada suatu agensi pusat boleh berbuat demikian. Misalnya penyelenggaraan 16,000 km jalan raya Persekutuan tidak dilakukan dengan baik maka tidak ada agensi pusat boleh beri ulasan sebagaimana UPP boleh memberi ulasan terhadap kelewatan penyiapan sesuatu projek.
Jadi beban penyelenggaraan merupakan beban sesuatu kementerian sahaja dan kementerian ini secara bersendirian menangani segala masalah penyelenggaraannya. Jadi, apabila kelemahan berlaku dalam penyelenggaraan sesuatu aset, kita cuma boleh salahkan kementerian berkenaan padahal adakalanya agensi pusat sendiri kurang memberi keutamaan dari segi pengagihan peruntukan terhadap penyelenggaraan aset Persekutuan tersebut.
Kalau diperhatikan kelemahan besar agensi Persekutuan dalam menyelenggarakan aset Persekutuan ialah tidak menekankan keperluan mendapatkan surat hak milik atau pewartaan setiap aset yang dimilikinya di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) 1965. Akibatnya tanpa instrumentasi ini tindakan untuk menghalang pencerobohan terhadap aset Persekutuan tidak dapat dilakukan sebab aset ini masih lagi hak Kerajaan Negeri, walaupun pembayaran pampasan atau premium telah dibuat.
Apabila BN kalah Pilihan Raya Umum ke-12 di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PKR) telah menghalang JKKK Persekutuan dan agensi Persekutuan untuk menggunakan kemudahan awam seperti dewan orang ramai, kompleks sukan dan balai raya di negeri berkenaan, terutama di Selangor. Agensi Persekutuan tidak dapat mengambil sebarang tindakan terhadap Kerajaan Negeri berkenaan sebab kemudahan awam ini bukan hak milik Persekutuan, walaupun terdapat kemudahan awam ini dahulunya dibina dan dibiayai Kerajaan Persekutuan.
Sebenarnya melalui instrumentasi pewartaan dan surat hak milik ini sahaja sesuatu aset layak dikategorikan sebagai aset Persekutuan. Pendapat yang mengatakan aset Kerajaan Persekutuan yang dibina agensi persekutuan ini tidak perlu memperoleh surat hak milik atau diwartakan di bawah KTN sebab tapak aset ini telah diambil balik melalui Akta Pengambilan balik Tanah 1960, adalah tidak benar. KTN secara jelas menyatakan suatu aset menjadi milik Persekutuan, setelah aset tersebut sama ada pewartaan atau menerima surat hak milik di bawah KTN.
Setelah diamati, isu tidak mewartakan atau mendapatkan surat hak milik sesuatu aset Persekutuan boleh terjadi berpunca dari pemikiran kementerian yang bertanggungjawab terhadap aset Persekutuan bahawa aset Persekutuan akan terus selamat dalam jagaannya walaupun tanpa pemilikan melalui KTN.
Kedua, agensi Persekutuan sendiri kurang peka tentang perlunya pemilikan aset di bawah jagaannya kerana jarang sekali ditegaskan agensi pusat. Ketiga, agensi pusat sendiri tidak tahu kaedah bagi memohon hak milik dan mewartakan aset sebagai rezab Persekutuan dan sehingga kini tiada pekeliling mengenainya dikeluarkan agensi pusat.
Suatu perkara lagi yang menjadi tabiat agensi Persekutuan adalah memandang remeh terhadap penyelenggaraan aset Persekutuan dan biasanya aset Persekutuan dalam bentuk kemudahan awam tidak diguna secara optimum. Di mana-mana kita pergi kita ternampak kompleks sukan yang lengang, dewan orang ramai dan balai raya sentiasa kosong, pusat latihan jarang berpenghuni dan ruang pejabat masih kurang minat menggunakan konsep ‘open space.’
Sebenarnya tabiat ini suatu yang tidak baik untuk diamalkan. Di negara maju bangunan pejabat kerajaan yang berusia bukan sahaja akan terus digunakan tetapi menjadi kebanggaan sebab nilai estetiknya meningkat mengikut usianya. Contohnya No 10 Dawning Street terus menjadi kediaman dan pejabat Perdana Menteri British sejak beberapa kurun lalu.
Pengurusan aset Persekutuan terus bertambah kompleks setiap tahun. Permasalahan yang besar dalam penyelenggaraannya ialah berpunca dari tiadanya rekod yang lengkap mengenai aset milik Kerajaan Persekutuan.
Beri-ribu aset Persekutuan seperti dewan orang ramai, balai raya, kompleks pejabat, sekolah, kuarters di seluruh negara belum pasti sama ada sudah diwartakan atau tidak. Walaupun JKR telah dilantik untuk mengetuai penyelenggaraan aset Persekutuan, tetapi agensi ini berkepakaran mengenai kaedah penyelenggaraan bangunan dan jalan raya bukan strategi pengurusan aset terutama hartanah. Jadi penyelenggaraan aset Persekutuan bukan setakat memastikan insiden sedih seperti bumbung runtuh di Galeri Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang tidak berlaku, tetapi untuk memastikan pengurusan aset Persekutuan secara berstrategi terjadi.
Oleh sebab bilangan dan nilai aset Persekutuan terus bertambah besar, maka suatu agensi pusat perlu diwujudkan. Agensi ini yang pasti bukan JKR, tidak perlu besar tetapi diberi tanggungjawab pengurusan strategik seperti penyediaan pelan induk penyelenggaraan, penggubalan dasar, bajet, memantau kerja penyelenggaraan atau pembangunan semula dan latihan.
Monday, June 7, 2010
Israel Buat Lawak

Di seluruh dunia, orang ramai masih mengadakan protes, pemimpin dunia terus berbincang langkah perlu berhubung isu serangan konvoi kemanusiaan ke Gaza dan aktivis yang baru dibebaskan menceritakan peristiwa pahit lagi mencemaskan itu.
Dalam keadaan menyedihkan itu, Israel masih mengeluarkan pelbagai kenyataan 'menghalalkan' serangan berdarah itu kerana kononnya, mereka diserang dengan ‘keganasan terancang’.
Ini bermakna aktivis di atas kapal didakwa sudah merancang taktik berperang dengan Israel, iaitu menggunakan kerusi, batang kayu dan apa sahaja barang boleh dicapai. Kalau benar itu ‘keganasan terancang’, ia pastinya rancangan paling tidak masuk akal.
Rejim Zionis mendakwa tentera yang ‘turun dari langit’ dipukul aktivis ketika turun ke atas kapal Mavi Marmara yang membawa 10,000 tan barangan ke Gaza.
Mereka tidak malu menggunakan alasan terpaksa menembak aktivis kononnya mempertahankan diri, sedangkan mereka sedar tindakan menyerang kapal konvoi itu menjadikan mereka lanun dan penjenayah.
Menurut laporan forensik Turki, Furkan Dogan, rakyat Amerika Syarikat berdarah Turki yang berada di atas Mavi Marmara, ditembak lima kali, termasuk di belakang kepala dan muka. Adakah itu tindakan mempertahankan diri askar Israel?
Rejim itu juga mendakwa terdapat aktivis di atas kapal itu yang merampas senjata api askar dan menembak ke arah tentera, meletakkan nyawa tentera Israel dalam bahaya sehingga terpaksa membunuh aktivis. Walhal angkatan tentera rejim itu sering disenaraikan sebagai terbaik dunia. Mana boleh diterima akal orang awam yang diserang menewaskan seorang komando tentera terlatih sehingga senjata api bertukar tangan. Jika benar, askar Israel tidak sehebat dicanang. Sungguh melucukan.
Seperti kebiasaannya, Tel Aviv menggunakan media bawah kawalannya sebagai alat propaganda. Rakaman Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang menunjukkan tentera dipukul aktivis disiarkan media Barat untuk meraih simpati dunia. Selain gambar kabur, rakaman itu boleh dipersoal kerana setiap video disiarkan dikawal IDF.
Pendedahan itu hanya menunjukkan kelemahan askar rejim itu. Pertama, ia menunjukkan tiada perancangan rapi apabila Israel menurunkan tentera kecil untuk berhadapan ratusan orang awam yang dilabel Tel Aviv sebagai pengganas.
Kedua, tidak pernah dunia melihat anggota tentera sanggup terjun dari kapal untuk mengelak daripada diapa-apakan, bermakna askar Israel memilih untuk lari dari medan pertempuran dan tidak sanggup mati untuk negaranya sendiri.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam kenyataan rasmi mengenai insiden itu menegaskan, Israel tidak akan membenarkan askarnya dibunuh ‘penyokong Iran dan Hamas ini’.
Beruntung sungguh tentera Israel. Mereka dilayan seperti putera raja sehingga tidak boleh diapa-apakan. Jika Netanyahu tidak mahu askarnya dicederakan, mungkin mereka patut disolek dan dihantar menyertai pertandingan ratu cantik. Tetapi jika terjatuh semasa ‘catwalk’ di atas pentas, risiko mendapat kecederaan tetap ada.
Semua aktivis yang ditahan sudah dihantar pulang selepas tiada dakwaan dibuat terhadap mereka, termasuk yang dituduh memukul tentera Israel. Namun, Netanyahu tetap dengan kenyataannya, bahawa terdapat kumpulan pengganas dalam konvoi itu.
Israel cuba menegakkan benang basah, namun ia tidak mungkin berjaya kerana dunia sudah muak dengan keganasan rejim Zionis yang baru 62 tahun wujud di muka bumi, tetapi mengakibatkan kehancuran bangsa Palestin dan Lebanon yang akan mengambil masa ratusan tahun untuk diperbaiki.
Sunday, June 6, 2010
Masalah Golongan Muda Akan Diatasi

Resolusi Makmal Pemuda Barisan Nasional (BN) yang dijangka dibentang awal Julai ini dijangka menyentuh mengenai beberapa masalah golongan muda termasuk membeli rumah untuk mereka yang baru mendirikan rumah tangga.
Selain itu, masalah lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) yang sukar mendapat pinjaman bagi memulakan perniagaan juga akan disentuh pada sesi pembentangan itu.
Kedua-kedua masalah berkenaan merupakan antara contoh isu-isu berkaitan orang muda yang telah dibincangkan secara mendalam di dalam makmal berkenaan.
Ada banyak lagi resolusi lain yang akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan semuanya berkaitan empat teras utama melibatkan orang muda iaitu tentang soal hidup, pendidikan dan biasiswa, demokrasi dan perpaduan.
Makmal Pemuda BN ditubuhkan Januari lalu untuk memahami kehendak golongan muda, sekali gus membantu kerajaan membentuk dasar terbaik untuk golongan itu. Semua lapan kumpulan fokus di bawah Makmal Pemuda BN itu sedang giat membuat perbandingan maklumat yang diperoleh daripada perbincangan dan kajian, sebelum tampil dengan resolusi masing-masing.
Selain kumpulan fokus, satu lagi kumpulan terdiri daripada 30 anak muda yang dipilih secara rawak daripada pelbagai golongan dan taraf hidup yang tidak ada sebarang jawatan dalam mana-mana parti sedang menyiapkan resolusi masing-masing.
Usaha memahami denyutan nadi golongan muda tidak akan berakhir dengan sesi pembentangan resolusi tetapi perlu disusuli sesi bersemuka antara golongan itu dengan Perdana Menteri.
Mereka yang hadir akan dipilih secara rawak bagi mewakili semua peringkat golongan muda tanpa mengira fahaman politik.
Perlu diingat bahawa terdapat tujuh juta golongan muda layak menjadi pemilih pada pilihan raya akan datang dan cabaran kita adalah untuk memastikan mereka memilih UMNO dan BN.
Hentikan Projek Aniaya Rakyat

Tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengarahkan projek perumahan Perda yang dalam pembinaan di kawasan Kuala Sungai Pinang dihentikan sementara kerana masalah perparitan disifatkan satu perbuatan untuk menganiaya rakyat.
Berikutan arahan tersebut, peluang golongan miskin untuk mendapatkan rumah lebih cepat tersekat sedangkan punca sebenar berlakunya kejadian banjir kilat di sebuah taman perumahan berhampiran projek tersebut 18 Mei lalu disebabkan pintu tali air rosak.
Guan Eng dan kerajaan negeri harus berhenti menuding jari kepada Perda sebaliknya bertanggungjawab membaiki pintu tali air tersebut yang sehingga kini masih belum dibaiki oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.
Punca banjir bukan disebabkan parit itu tetapi pintu tali air yang rosak. Untuk menyiapkan parit, ia tanggungjawab Perda dan sedang jalankan kerja-kerja infrastruktur tersebut.
Tetapi kerajaan negeri juga perlu bertanggungjawab membaiki pintu tali air tersebut. Kenapa Ketua Menteri mahu lepas tangan dan meletakkan kesalahan tersebut kepada Perda pula.
Selagi pintu tali air itu tidak dibaiki, parit macam mana sekalipun yang dibuat tidak akan berjaya menghalang kejadian banjir kerana bila air dari parit masuk ke tali air, pengalirannya juga akan tersekat.Guan Eng telah mengarahkan Perda menghentikan projek mereka sehingga sistem perparitan diperbaiki kerana kedudukannya yang berdekatan dengan taman berkenaan dikatakan menjadi punca kejadian tersebut berlaku. Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah mengeluarkan arahan supaya Perda memberhentikan kerja-kerja berkenaan sehingga sistem perparitan dibaiki.
Kerja-kerja infrastruktur di projek perumahan kos rendah yang dibangunkan Perda itu kini hanya tinggal empat peratus lagi untuk disiapkan dan dijangka selesai sepenuhnya bulan ini juga.
JPS berada di bawah kerajaan negeri, patutnya bila berlaku banjir, salahkan mereka. Tapi apa yang berlaku sebaliknya. Perda pula dipersalahkan.
Friday, June 4, 2010
ROS tolong siasat PKR!!!!!!

Bekas Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ipoh Barat, Fauzi Muda hari ini mendakwa parti itu melakukan penipuan dalam penyediaan laporan tahunannya. Aduan telah dibuat kepada ROS agar dapat menjalankan siasatan bahawa selama ini PKR adalah sebuah parti yang menipu.
Rakyat harus sedar, PKR sudah tenat dan mereka tidak harus tertipu dengan menyokong parti didokong oleh pemimpin berkepentingan diri sendiri. Kebanyakan cabang PKR Perak yang menjalankan mesyuarat agung tahun lalu tidak sah kerana tidak cukup kuorum.
Ada cabang-cabang yang tidak menjalankan mesyuarat tetapi menghantar laporan palsu kepada ROS kononnya mereka sudah mengadakan mesyuarat. Laporan yang diberikan oleh cabang-cabang berkenaan, adalah palsu dan hanya direka-reka bagi memenuhi kehendak ROS untuk mengelak kedudukan mereka dibatalkan.
Kongres Nasional Tahunan PKR yang berlangsung pada 28 hingga 30 Mei lalu di Kelantan juga terbatal kerana perwakilan yang hadir adalah tidak sah. ROS didesak supaya menggantung parti itu daripada beroperasi sehingga siasatan menyeluruh dijalankan.
PKR Ipoh Barat dibubarkan kerana lebih daripada dua pertiga Ahli Jawatankuasanya (AJK) termasuk sayap Wanita mengambil tindakan keluar parti.
Presiden PPP diminta hormati keputusan PM

Senator Datuk T. Murugiah mahu Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas menilai dirinya terlebih dahulu dan menghormati keputusan Perdana Menteri yang masih mengekalkan beliau dalam Kabinet.
Kayveas sepatutnya menilai peranannya dalam parti dan keberkesanan PPP sebagai komponen Barisan Nasional (BN) sebelum mempersoalkan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak itu.
Apakah niat beliau mengeluarkan kenyataan seperti ini. Jika tidak berpuas hati, beliau seharusnya bersemuka dengan Perdana Menteri sendiri. Tidak sepatutnya beliau membuat kenyataan terbuka yang menggambarkan seolah-olah tidak wujud persefahaman dalam BN.
Kenyataan Kavyeas yang keliru dengan tindakan Perdana Menteri mengekalkan Murugiah sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas membuat rombakan kecil dalam Kabinet.
Menurut Kavyeas, beliau ingin mengetahui atas dasar apa Murugiah dikekalkan walaupun telah dipecat sebagai ahli PPP. Kavyeas sepatutnya menggunakan masa yang ada untuk memperkemaskan partinya yang dilanda masalah berpanjangan termasuk ketidakupayaan PPP untuk memenangi beberapa kerusi semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Beliau perlu memperbaiki dirinya yang telah ditolak oleh pengundi di Taiping pada pilihan raya umum lalu dengan majoriti sebanyak 11,298 undi. Ia merupakan rekod buruk bagi seorang Presiden parti. Kavyeas harus bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri yang memberi peluang kepada wakil PPP untuk berada dalam Kabinet dengan pelantikan Datuk Maglin Dennis D'cruz sebagai Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Sunday, May 23, 2010
Selepas MCA, kini MIC pula

MIC diminta untuk menyelesaikan segera kemelut kepimpinan yang melanda parti itu ketika ini. Sebagai salah sebuah komponen parti dalam Barisan Nasional (BN), kepimpinan MIC yang utuh dapat memberi kebaikan kepada BN untuk meraih keyakinan dan sokongan rakyat.
Nampaknya semakin hangat. Banyak juga pemimpin MIC yang berpendapat bahawa perlu berlaku perubahan. Perkara ini harap dapat diselesaikan MIC. Apa yang penting, MIC sebagai komponen parti dalam BN turut berperanan memberi keyakinan kepada rakyat untuk menyokong BN.
Desakan beberapa pemimpin parti terbesar kaum India itu supaya Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu berundur lebih awal berbanding pada September tahun depan. Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan telah mendesak Samy Vellu supaya berundur lebih awal, bukan lapan atau sembilan bulan dari tarikh penggalnya tamat pada Mei 2012.
Bagaimanapun, Mugilan memberitahu, beliau telah menerima surat pemecatan serta-merta daripada parti ekoran desakannya itu. Dua Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, G. Kumar Aamaan dan KP. Samy turut menyokong desakan Mugilan yang meminta Samy Vellu bersara awal.
Pergolakan yang melanda MIC ketika ini diharap boleh ditangani dengan baik oleh kepimpinan parti itu kerana ia bukanlah terlalu serius. Barisan kepimpinan tertinggi BN tidak akan campur tangan dan membiarkan ia diselesaikan secara dalaman.
Yang penting jangan parti berpecah. Kalau perpecahan berlaku, ini akan melemahkan kedudukan BN.
Monday, May 17, 2010
Pembohongan kerajaan Guan Eng
Janji manis untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai 'oasis demokrasi' merupakan satu lagi pembohongan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng ekoran tindakan mereka membatalkan permit ceramah politik di Balik Pulau semalam.
Tindakan membatalkan permit di saat-saat akhir itu menunjukkan kerajaan negeri gentar dan takut dengan siri ceramah untuk mendedahkan kelemahan pentadbiran sedia ada. Tindakan itu membuktikan ruang demokrasi rakyat ditutup dengan janji kosong Guan Eng yang berselindung di sebalik kuasa yang ada padanya sedangkan sebelum ini dicanangkan negeri ini bakal menjadi 'oasis demokrasi'.
Mengapa perlu ada 'double-standard' dan berpilih-pilih dalam membenarkan ceramah yang berniat menyatakan kebenaran ke telinga dan minda rakyat?. Jika benar mahukan negeri ini menjadi 'oasis demokrasi' keluarkan arahan pihak Ketua Menteri supaya tiada lagi pembatalan siri ceramah selepas ini.
Guan Eng perlu lebih berani dan membuka ruang demokrasi seluas mungkin, bukannya menggunakan alasan untuk menutup kelemahan diri sendiri. Kerajaan negeri perlu ingat, rakyat juga sudah muak dengan mainan politik dan ayat manis yang tidak pernah pun dilaksanakan di negeri ini sepanjang kepimpinan Guan Eng.Friday, May 14, 2010
Dikuasai oleh satu keluarga

Parti Tindakan Demokratik (DAP) bukanlah parti yang demokratik seperti namanya kerana ia dikuasai oleh satu keluarga yang terdiri daripada bapa, anak dan menantu. Walaupun mereka menuduh Barisan Nasional (BN) dengan pelbagai tuduhan tetapi dalam parti itu sendiri bapa pernah menjadi ketua pembangkang, anak menjadi setiausaha agung dan menantu menjadi pemimpin kanan.
Mana ada parti macam ini.., BN tidak seperti itu. DAP walaupun belum berkuasa tetapi anak-beranak sudah menguasai parti dan kalau tidak menyokong bapa, anak atau menantu itu, mereka akan kena buang.
Inilah sebenarnya parti "berkuku besi", parti BN lebih demokratik daripada DAP. Sejak penubuhan DAP pada 1966, struktur kepimpinan tertinggi DAP tidak berubah dengan diterajui Lim Kit Siang dan kemudian anaknya, Lim Guan Eng.
Ketika ini, Kit Siang merupakan Penasihat DAP dan Guan Eng pula Setiausaha Agung. Isteri Guan Eng iaitu Betty Chew Gek Cheng adalah Naib Pengerusi Wanita DAP dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana di Melaka.
Pengerusi DAP ketika ini ialah Karpal Singh dan dua anaknya, Gobind Singh Deo ialah Ahli Jawatankuasa Pusat DAP yang juga Ahli Parlimen Puchong manakala Jagdeep Singh Deo pula Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang dan ADUN Datuk Keramat.
Thursday, May 13, 2010
Politik Bangsawan

Penduduk Sibu jangan terpedaya dengan lakonan pemimpin pembangkang yang boleh disifatkan seperti 'pelawak' terbaik kerana hanya bijak membuat persembahan yang menghiburkan penonton. Pendekatan politik bangsawan oleh pembangkang mampu menarik perhatian tetapi cakap-cakap kosong 'si pelawak' seperti mereka tidak boleh diharapkan.
Berbanding dengan Barisan Nasional (BN), pendekatan para pemimpin adalah melalui politik pembangunan dan tidak pandai berlakon seperti mereka. Pendekatan politik bangsawan atau berpura-pura yang digunakan oleh pembangkang itu sangat ketara sekali terutama ketika kempen Pilihan Raya Kecil Sibu sedang berlangsung.
Sebagai contoh, kita dapat melihat seorang pemimpin pembangkang memakai 'songkok haji' ketika hari penamaan calon tetapi sanggup membuangnya apabila berjumpa dengan penganut Kristian di gereja. Budaya banyak bercakap yang dibawa oleh pemimpin pembangkang di bandar ini juga tidak sesuai dengan masyarakat di sini kerana orang-orang Sibu terkenal dengan budaya bekerja kuat.
Tuesday, May 11, 2010
Tuduh kerajaan kuku besi

Parti pembangkang perlu mengkaji semula sejarah tanah air sebelum menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai pemerintah kuku besi. Pembangkang sengaja melemparkan tohmahan itu untuk meraih simpati rakyat.
Sejak pilihan raya bandaran pada 1951, rakyat negara ini mula diberikan kebebasan untuk memilih pemerintah daripada parti-parti yang bertanding. Banyak calon bertanding pada setiap pilihan raya umum tetapi rakyat negara ini terus memberikan mandat kepada BN untuk memerintah.
Peluang terbuka luas untuk mana-mana parti bertanding dalam pilihan raya dan ia jelas membuktikan kerajaan BN tidak pernah melanggar prinsip demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini. Kerajaan juga tidak pernah mewujudkan undang-undang untuk menyekat penubuhan mana-mana parti pembangkang.Parti pembangkang di negara ini bukan sahaja boleh terus berkembang tanpa sebarang gangguan, malah kepimpinannya juga diwarisi dalam sesebuah keluarga.Demokrasi yang diamalkan oleh negara ini tidak mungkin akan diperoleh di negara-negara lain. Parti pembangkang sengaja mendakwa demikian kerana sehingga kini mereka masih gagal mendapat kepercayaan rakyat untuk menjadi pemerintah.
Sebenarnya pemerintah negara ini adalah bukan kuku besi tetapi 'terlampau' demokrasi kerana sanggup melayan tuntutan dua tiga orang sahaja atas alasan tidak puas hati di atas sesuatu perkara.
Slogan 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan kerajaan begitu mengutamakan rakyat dan jauh sekali daripada bersikap kuku besi. Slogan ini sudah cukup tepat bahawa kerajaan bersedia untuk mendengar dan cuba menyelesaikan apa jua masalah rakyat.
Tuduhan parti pembangkang bahawa pemerintah sekarang adalah kuku besi perlu ditolak sama sekali oleh rakyat.
UMNO BERUBAH LAH!!!!!
Ahli-ahli UMNO disaran keluar daripada kepompong tradisi parti dan cuba melakukan pembaharuan yang lebih berani serta efisien dalam usaha mengekalkan kestabilan parti dan semangat perjuangan di kalangan orang Melayu.
Pembaharuan dimaksudkan termasuklah memberi lebih banyak peluang dan kepercayaan kepada ahli wanita serta golongan muda untuk menjadi pemimpin. Sudah tiba masanya barisan kepemimpinan UMNO menonjolkan kumpulan baru untuk seiring dengan orang-orang lama menerajui parti keramat itu.
Kebanyakan daripada mereka terdiri daripada golongan cerdik pandai yang telah berjaya. Mereka boleh menarik pengundi di luar sana yang rata-ratanya berpendidikan dan matang dalam dunia politik, jika UMNO memilih untuk berubah ke arah itu Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang pasti memberi kemenangan besar kepada UMNO.
Ahli-ahli lama tidak perlu risau tentang kebolehan golongan muda untuk menjadi pelapis, golongan itu hanya perlu dibimbing dengan cara yang betul. Pembaharuan di dalam UMNO sangat penting untuk parti itu terus kekal relevan.
Perubahan tersebut bukan sahaja dalam bidang politik malah di dalam kerajaan serta pelbagai dimensi lain bagi memastikan parti sentiasa selari dengan pembaharuan dunia dari aspek ekonomi dan persekitaran antarabangsa.
UMNO perlu konsisten untuk berubah sepanjang masa, jika ini berjaya dilakukan UMNO akan mempunyai tempat di dalam hati setiap orang Melayu. UMNO sangat berperanan dalam membangunkan bangsa dan negara, justeru cara lama yang tidak sesuai perlu diberi nafas baru tetapi prinsip asasi masih perlu dipertahankan.
UMNO perlu mengalih tumpuannya daripada kumpulan pemodal atau usahawan kepada kumpulan tidak berpengaruh atau masyarakat luar bandar. ketika era Tun Abdul Razak, golongan tidak berpengaruh itu sering didahulukan dalam segala perkara tanpa ada agenda yang tersirat.
Namun, sejak akhir-akhir ini, kumpulan berkenaan semakin terpinggir malah sokongan mereka kepada UMNO juga sudah mula terhakis kerana UMNO mahu mengejar kemajuan negara.
Jika perkara ini berlarutan terutama ketika pembangkang cuba menarik perhatian pengundi, kumpulan besar ini semakin menjauh dan UMNO akan berhadapan dengan masalah yang besar.



